Monday, 12 October 2015

Tugasan 8 Protege KABPK


Teks : Siti Zaiton Ahmad
Gambar : Google

Bismillah. Assalamualaikum salam sehati sejiwa.


Pada hari Ahad yang lalu aku mengajak suamiku ke pasar minggu. Lagipun memang suamiku cuti pada hari minggu. Sudah lama sangat rasanya tidak ke sana. Sejak badanku tidak berapa sihat ini, jarang benar aku hendak keluar rumah. Kalau tidak ada hal mustahak aku lebih rela memerap di dalam rumah menghabiskan masaku dengan kerja-kerja yang aku minat. Sejak sudah berisi ini kesihatanku merosot. Sekejap-sekejap rasa hendak muntah kemudian kepala rasa berpusing. Nasib baik suamiku faham. ‘Pembawakan budak’ pujuk suamiku tatkala aku mengadu ketidakselesaan yang kualami.

Ketika sampai ke pasar minggu itu kelihatan gerai-gerai jualan berceratuk banyaknya. Aku yang mengidam sangat hendak makan sate terus menuju ke gerai sate. Teruja betul aku melihat sate yang menimbun. Macam-macam jenis sate ada terjual di situ. Penjual sate itu pula begitu peramah sekali walaupun aku tidak bertanya dia memberitahu jenis-jenis sate yang dijual. Naik terliur aku bila dia menyebut nama sate-sate itu.

“Sate ayam ada, sate lembu ada, sate arnab pun ada.” Jerit penjual itu.
“Sate rusa ada tak?” soalku.  Penjual itu menggeleng dan memberitahu sukar hendak mendapatkan daging rusa sekarang memandangkan tidak ramai yang menternaknya. Kalau sate arnab memang banyak sebab bukan sahaja mudah memeliharanya, cepat pula membiaknya. Penjual itu rancak bercerita tentang khasiat daging arnab yang langsung aku tidak tahu sebelum ini. Tiba-tiba aku teringin hendak mencuba sate arnab.

Semakin lama semakin ramai yang datang memilih sama sate yang dikehendaki. Aku masih terkial-kial memikir sate apa yang hendak kupilih. Suamiku yang dari tadi berdiri di sisi cuma munurut.
“Pilihlah sate apa yang mahu. Abang tak kisah.” Suamiku memegang bekas untuk aku masukkan sate yang telah dipilih.
“Ngandung ke ni?” soal penjual itu sambil mengunjuk kea rah perutku. Aku cuma mengangguk sambil menahan rasa loya yang tiba-tiba datang. Wanita itu cuma tersenyum kemudian menyusun sate-sate agar kelihatan menarik. Aku masih lagi berkira-kira untuk memilih yang mana. Suamiku sudah mula berbisik ke telingaku agar cepat sedikit memilih untuk memberi peluang kepada orang lain pula. Aku akur dan akhirnya aku cuma memilih tiga cucuk sate ayam. Tiba-tiba aku merasa malu kerana lama sangat memilih sampaikan penjual itu perasan aku ini sedang mengandung. Mungkin kerana mukaku yang pucat kerana setiap kali aku makan mesti hendak termuntah semula. Harap-harap apabila dapat makan sate ini nanti aku tidak muntah lagi.

Pembeli di sebelahku juga sedang memilih sate kegemarannya. Nampaknya dia lebih arif dariku kerana tidak perlu bertanya tentang jenis sate dia sudah tahu jenis sate itu hanya dengan melihatnya. Mungkin dia sudah terbiasa dengan sate-sate di gerai itu.


Baca lagi di blog
http://sitizaitonahmad7.blogspot.my/

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung