Friday 16 May 2014

Mentua Aku Shogun Tokugawa - Bab 2


“KAU bergayut dengan dia tu lagi, eh? Kenapa kau tak pernah nak dengar cakap mak? Kau ingat mak ni Radio Malaya? Mak…dengan abah tak suka kau berkawan dengan dia!” Suara Puan Mariam menggegar gegendang. Mendudu-dudu denyut, rebah rempah menyerang urat kepala menghasilkan gelombang migrain.

“Dalam dunia ni, bukan dia sahaja kawan orang…mak,”  ujar Nayla mengerutkan dahi. Dipicit-picitnya. Kerutan yang sama melebar di hati. 

“Tapi itu kawan yang paling kau sayang kan?” terjah Puan Mariam, sengaja dan dengan sinis pula.

“Mak… berkawan tak semestinya berkahwin,” patah Nayla kembali. ‘Aduh, dia buat dah. Aku letak kang! Aku letak kang!’ Nayla menggugut sendiri.

“Kau masih nak berdegil…Nayla. Kalau ikutkan hati mak… mak nak ganyang si tak sedar diri tu!!!” Tengkingan Puan Mariam mengegar. Tidak tergambar geram dan amarah yang bekerjasama dengan baiknya daripada kata-kata itu.

Nayla memutuskan talian dan membiarkan panggilan bertalu-talu dari Puan Mariam menjerit masuk. Terusik hati dengan sikap orang tua yang tidak meletakkan kewajaran di tempat yang sepatutnya.  Kalau diukur dengan penilaian derhaka, memang dia boleh dicampakkan dalam kategori derhaka.  Masih berdegil meneruskan apa yang dilarang keluarga.  
Tetapi penentuan jodoh (sekiranya jodoh telah menyeru) adalah hak milik istimewa dirinya sebagai tuan punya diri. Sebagai manusia yang nanti akan mengorbankan keseluruhan aspek rohani dan jasmani. Menerima kesan langsung daripada lafaz ijab dan qabul yang menyatu dua hati dunia dan akhirat. Lantaran itu, tidak ada sesiapa lebih-lebih lagi emaknya yang dirasakan diktator dalam hal ini menentukannya.
Tambahan pula, di hati Nayla belum terdetik keinginan untuk memberi komitmen kepada rumahtangga biarpun Aizat beberapa kali memberikan petunjuk bersulam makna. Bukanlah dia bodoh benar. Bukannya tidak dapat dibaca niat daripada bicara lelaki berbadan gempal berwajah tenang itu hanya, Nayla mengabaikannya buat masa ini.
Dia mencapai alat kawalan jauh. Kecelaruan akalnya yang terganggu dengan panggilan tadi cuba disalurkan kepada History Channel yang menayangkan siri Pawn Stars. Kisah realiti kedai pajak gadai. Juga informasi-informasi menarik tentang barangan antik dan vintaj yang menjadikan ia siri kegemarannya di saluran  itu. Saluran biasa menyiarkan drama-drama realiti tidak mampu ditonton lagi kerana begitu sinonim dengan hidupnya. Teragak hati untuk menyentuh komputer riba yang terbiar semenjak tadi. Laju tangannya menaip menyusur laman sosial. Gambar profil semasa konvokesyen masih setia di situ.  Tangannya menekan pada paparan event.

‘Alumni pengurusan perniagaan’

Tarikh, masa bla..bla. Dia membacanya dengan hati berbunga riang. Tiba-tiba. Kesempatan menguak kembali memori zaman kampus memekar. Alam peralihan menginjak dewasa dalam cara yang tersendiri. Dia meneliti senarai bekas pelajar yang sudahpun menjanjikan kehadirannya. Nama Jijat Pijat sudahpun berada di dalam senarai.
Dada Nayla kembali senak.  Puan Mariam boleh menghidu kehadiran lelaki itu di bumi semenanjung ini.  Entah apa ilmu yang dipakai perempuan separuh abad itu.  Atau mungkin, kerana dia yang salah; memberikan kata laluan untuk akses ke akaun laman sosialnya. Bukan sukarela, suka tak rela. Dipaksa memberi! Kerana itu setiap gerak-gerinya seolah-olah diperhatikan. Puan Mariam tentu tidak melepaskan peluang menyoalsiasat Nayla seandainya terdapat bukti dia masih berhubungan dengan Aizat. ‘Emak terlalu melindungi hingga ke taraf mengongkong,’ Nayla menghambur kesal.

“Kau jangan ingat…kau duduk seorang di KL ni, mak tak tahu gerak geri kau. Sekilas dengar suara kau pun mak tahu kau berbohong.” Nasihat atau lebih tepat lagi amaran itu keluar sebaik sahaja Puan Mariam melangkahkan kaki meninggalkan perkarangan kondominium yang disewanya itu. 

Setelah setiap sudut rumah termasuk bilik air diselidik dan ditentukan tahap keselamatannya. Ketika itu dia baru melapor diri di cawangan yang menjadi rumah keduanya itu. Dia sayangkan Nayla, sungguh. Tapi itulah caranya mempamer kasih sayang, semenjak dulu.

“Jaga diri baik-baik. Jangan abaikan solat.” Pesan Encik Nasir pula. Lirih.

Abahnya itu adalah anggota parti pendiam. Jika tiada keperluan, tiada suara akan kedengaran. Berbeza dengan Puan Mariam yang tidak perlukan apa-apa pencetus untuk mengeluarkan kata-kata. Dan, jarang perkataan yang dikeluarkan berlapik, lebih-lebih lagi pada anak gadis yang berlainan iras dengannya itu. Semakin Nayla dewasa, dirasakan jurang itu semakin melebar dan menjunam dalam menjadi gaung. Dia cuba memahami Nayla dengan caranya, tetapi dirasakan sikap Nayla terus dingin dengannya.
Berjauhan daripada keluarga merupakan merdeka kecil buat diri Nayla.  Bertembung dengan emaknya sentiasa hari akan meledakkan api kontroversi yang setiap hari akan diisi dengan agenda yang berbeza. Terkadang, akal fikirnya bejat memikirkan apa kehendak Puan Mariam sebenarnya. Mahu dia sentiasa di depan matakah? Mahu kemahuannya yang Nayla rasakan bukan-bukan itu diikuti atau mahu Nayla terbentuk mengikut acuannya.
Semenjak di zaman persekolahan lagi, kawan-kawan Nayla arif dengan hati budi Puan Mariam. Mereka hanya mampu menampakkan diri di rumah Nayla hanya pada hari raya.  Terkecuali untuk kawan lelaki, langsung tiada kompromi. Jangan cuba muncul di muka pintu rumah, akan disilat dek Puan Mariam dengan soal siasat ala Nazi. Cuma Eza, anak Mak Ngah Jamilah yang paling bongsu mampu bertahan leteran emak dan akan menjadi penyampai setia buat Nayla. Selain itu, Nil! Dia masih menyusur laman sosial dan mesej daripada Jijat Pijat terpapar.


Sengaja Nayla menyakat lelaki yang setakat ini berada di sudut hati yang paling sipi. Kali terakhir dia menjejakkan kaki ke kampung adalah hari raya tahun lepas.  Jika dia rindukan abahnya, hanya melalui talian mereka berhubung. Untuk berdepan dengan Puan Mariam, Nayla masih belum bersedia selepas insiden di bank tahun lepas.

     Nayla menekan opsyen log out dan membiarkan perbualan itu tergantung di situ. Gementar, resah, riang bergulat dalam diri. Nayla tidak mahu membayangkan mimpi ngeri di depannya seandainya dia membiarkan perasaannya hanyut.

Ayat yang mana yang buat awak menyampah?” Suara Aizat kedengaran lembut dalam malam yang semakin dingin. Telefon bimbit dialihnya ke telinga kanan. Nayla menghenyak tubuh di sofa.  Dia tahu Aizat akan menggunakan sepenuh talian yang ada untuk terus mengurai kekusutan hatinya.

“Sayang…saya memang sayangkan awak. Saya memang rindukan awak.”

“Awak tak faham Zat.” Nayla menghela nafas. Segala-galanya ini tak akan ke mana-mana. Kalau Aizat mengistilahkan ini sebagai percintaan, percintaan ini tidak akan berakhir dengan indahnya gerbang perkahwinan.

“Awak yang tak pernah nak bagi saya faham,” Aizat memejalkan bicara.

 “Bukan saya…”


“Habis tu. Siapa? Awak ada orang lain ya? Yang lebih macho daripada saya? Yang lebih kaya dari saya? Kenapa tak cakap dari dulu. Kenapa berdolak-dalik?” Kasar, meninggi dan kebudak-budakan, bicara Aizat. Nayla membuat tafsiran. Terdengar talian di corong sana dimatikan. Nayla terperosok di dalam timbunan kusyen penghias sofa. 

‘Merajuklah pulak.’


NANTIKAN DI PASARAN - JUN INI, INSYA-ALLAH


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung