Sunday 11 May 2014

Mentua Aku Shogun Tokugawa (Sememangnya Aku Cinta)

BAB SATU (1)

 
gambar hiasan




NADA ketukan yang kelang-kabut masih menghuni meja sebelah. Sesekali dia mengerling kepada empunya jari. Tiada respon diterima. Seolah-olah ketukan dan kalau dikatakan tarian pen itu beserta tuan punyanya juga tenggelam dalam kotak dunianya sendiri.
Nayla menyelak-nyelak malas helaian pelbagai service request yang menadah di depannya. Jujur sejujurnya dia benci bekerja dengan kertas; dengan komputer yang tidak memberi reaksi dan sekadar mendengar dan menadah apa sahaja luahannya.
Di sebalik dinding sebelah sana, petugas kaunter hadapan masih sibuk melayan pelanggan yang semakin ramai menjelang waktu makan tengahari. Kaunter perbankan komersial di kawasan sibuk itu bertambah sibuk terutama pada awal minggu dan akhir minggu.
Kadang-kadang kerana rutin begitu, para petugas kaunter memperlahankan kelajuan setiap satu transaksi mereka. Bagi pelanggan mereka diberi dua pilihan. Menunggu atau beredar. Pilihan ketiga; yang kadang-kadang ada; ialah pelanggan mengemukakan aduan. Kadang-kadang terus ke media tempatan dan satu salinan kepada Bank Negara. Ketika itu, akan menari zapinlah para pegawai atasan di kerusi empuk mereka.
Tarian pen yang memekakkan itu terhenti serentak beriring dengan sebuah keluhan. Nayla tidak bereaksi waima mengerti ada yang membutuhkan bantuannya.

“Tolong aku sekejap…”  Wanita lebih kurang sebayanya itu bersuara juga akhirnya. Nayla menolak kerusi, bangun mendapatkan Hanisah tetapi tersentak dengan nada dering paling biasa di pendengaran yang menjengah lagi.

“Ya mak….” Suaranya perlahan sebaik sahaja melafazkan jawapan salam. “Tak ada.” Dia menguis jatuhan rambut di dahi yang menganggu perbualan sambil menjawab dengan wajah yang sukar dimaniskan, “betul. Orang tak tipu…” Nayla melontar keluhan kecil sambil mengetuk-ngetuk pen di tangannya ke meja. “Itukan dah lama… cuba mak tengok tarikhnya.”

Wanita kelahiran bumi Cik Siti Wan Kembang yang berwajah manis di meja sebelah itu tersenyum simpul setelah berjaya mencuri dengar perbualan mereka.

“Buat apa nak tipu mak kau?”

Nayla tidak menjawab soalan itu tetapi menarik kerusi. Duduk betul-betul mengadap komputer di meja sebelah membuatkan Hanisah terpaksa mengengsot memberikan ruang.

“Dah tahu gemuk tu…beranjaklah sikit,”  rungut Nayla tanpa menjawab soalan itu dan matanya lekap pada helaian Electronic Journal yang terpapar pada perisian Words di komputer.

“Hey! Dengar aku cakap ni.” Serentak dengan kata-kata Hanisah itu, Nayla spontan mengibas-ngibaskan jarinya yang diketuk dengan pen. Hanisah ketawa tanpa kesal.

“Zalimnya kau ni.  Aku dah suka dan rela nak tolong, kau sakitkan aku pulak.” Digosok-gosoknya belakang jarinya. Hanisah melambakkan tawa lagi. Surana, yang berada di meja kanan bersebelahan meja Nayla meletakkan jari ke bibirnya.

“Berdosa tipu mak tau,” asak Hanisah.

“Mana ada. Aku cakap yang betullah.”  Nayla membela diri sambil matanya dikecilbesarkan ke skrin monitor di depannya.

“Betullah sangat,” ejek Hanisah, sinis. 

“Okey puan, sekarang comparison kau tak balance berapa dan EJ kau tak balance berapa? Nak aku tolong ke tak nak?” Nayla membanting tubuh ke kerusi seraya berpeluk tubuh. Bicaranya beralih serius.
Hanisah mencantumkan kesemua tapak tangannya sambil memandang Nayla. Nayla kemudian berdiri bercekak pinggang dalam kebaya Kota Bharu yang menyerlahkan keanggunannya sebagai gadis graduan bertaraf eksekutif. Kulitnya putih kuning dengan hidung mancung diapit mata bulat besar yang dikawal kening tebal di atasnya. Waktu hampir menujah ke jam dua belas. Bermakna giliran mereka untuk keluar berehat sudah hampir.

‘Wei…ma ada telefon kau?’ sebuah mesej pesanan ringkas terpapar daripada Eza sebaik sahaja dia mematikan nada dering telefonnya. Eza, sepupunya yang baru habis sekolah, kawan baiknya dan juga kawan ‘teramat baik’ ibunya. Dia membalas melalui mesej juga kemudian berlalu ke mesin pengimbas untuk mengimbas service request yang akan dihantar ke Loan Center melalui e-mel. CCTV yang melata di mana-mana akan memperlihatkan kerja sebenarnya nanti kalau dia asyik melayan telefon bimbit.

‘Ma nampak kau ada like post Pak Tam, dia tengah naik hantu ni. Kau ni suka sangat cari penyakit lah.’ – Eza. Sebuah keluhan lagi terhambur daripada bibir Nayla sebaik membaca mesej tersebut.

‘Naik hantu ke naik syaitan ke, aku tak ada masa nak layan.’ Rungutnya, sedikit mengkal namun hanya kedengaran di dalam hati. Nayla duduk kembali di kerusinya. Hanisah sudahpun mengemaskan meja. Membetulkan tudung dengan tuntutan janjinya agar Nayla menyelesaikan kes tertangguh mengenai transaksi pelik di dalam jurnal imbangan mesin deposit cawangan. Nayla mencapai pengikat rambut dan mengemaskan mahkota kesayangannya yang separas bahu itu. Diikat tinggi seakan-akan sanggul. Menyerlahkan lehernya yang sederhana jinjang.

“Macam dalam pantanglah pulak. Besar masalah ni,” sela satu suara. Nayla berpusing ke arah kanannya. Surana tersenyum sambil menutup mulut.

“Aku nak fokus ni. Hari ni nak balik cepat.” Nayla menetapkan matlamat untuk hari itu.   

“Cepatlah sangat! Kalau mak tiri kau kata cek tak balance nanti… kau ingat boleh balik ke?” Sindir Surana, merujuk kepada teman sekerja yang berbadan dua dan berangin dua, Nalini. Kerana itu dia mendapat gelaran mak tiri. Angin kus-kus yang sukar dibaca walaupun pada hakikatnya hatinya memang baik.
Teman bekerja yang juga teman bertekak. Mengisi hari-hari bekerja dan membuatkan masa seakan tidak memberi izin untuk menarik nafas. Biarpun cabaran bekerja dalam organisasi pelbagai bangsa ini terasa semakin hari semakin mencabar.  Sebenarnya ia lebih memberikan dia ruang untuk menjauhi apa yang dirasakan lebih menyesakkan dada. Namun, sepulang bekerja nanti dia akan sendiri. Rumah sewa di belakang rumah kedai bertaraf kondominium itu menjanjikan sepi dan tambah membuarkan rindu pada setiap inci kenangan yang telah berlalu di dalam hidup.
Benarlah, sepi itu menyiksa jiwa. Rindu itu membakar hati. Lantas, apalah lagi daya seorang Nayla untuk mengucainya andai setiap kali dia ingin keluar dari kotak itu; ada dinding yang terlalu kebal menghalang. Malam hanya terisi dengan luahan rasa di laman sosial atau setidak-tidaknya mencuci mata dengan membaca post kawan-kawan. Jarang sangat dia melepaskan komen kecuali untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan sepejabat atau alumni universiti atau persekolahan.

‘Wei, kenapa tak balas mesej aku siang tadi?’ Mesej SMS Eza yang tinggal sekampung di belakang rumahnya dan bersaudara pula memenuhi ruang telefon bimbitnya.

‘Sibuk.’ Belum sempat Nayla meletakkan telefon itu ke sisi, nada mesej mengaum lagi.

‘Ma tak habis marah lagi,’ Adu Eza.

‘Biarlah.’ Pendek-pendek jawapan ditaipnya menandakan dia mulai bosan dengan soalan-soalan serta cerita yang sama dibawa Eza.

‘Kau ada telefon Pak Tam?’ soal Eza dalam mesej barunya. Nayla sekadar menaip ‘x’ bermaksud tiada. Sekejap saja masuk pula imej emoticon botak sedang menjelirkan lidah sambil ketawa. Nayla menaip perkataan ‘tak ada’ dan menghantarnya semula apabila merasakan Eza tidak mempercayai jawapannya tadi. ‘Pak Tam ada telefon kau?’ Eza meminda soalan.

‘Ada.’- Nayla.

‘Ha.. patut la ma marah. Jin kepala tujuh dia dah dapat bau.’ Balas Eza. Tersenyum Nayla membacanya.

‘Habis takkan aku tak nak jawab?’ -Nayla. Telefon bimbitnya tiba-tiba tidak disinggahi nada dering mesej lagi.

‘Kau rindu Pak Tam eh?’ Oi…nanti aku bayar baliklah.’ Mesej Eza menyusul selepas mesej pertama meminta Nayla menambah kredit pra-bayar ke dalam telefonnya.

‘Rindu jugaklah.’ – Nayla. Tersenyum dia ketika menaip mesej tersebut. Seakan-akan ada Eza di depannya yang memerhati kedua-dua belah pipi yang memanas, kemerah-merahan.

‘Apa kata. Kau ambil cuti kita pergi makan angin. Kita pergi Sabah.’ - Eza. Menggeleng-geleng Nayla membaca mesej cadangan itu walaupun hatinya girang dan lapang.

‘Siapa yang rindu kat Pak Tam ni.  Aku ke engkau?’ – Nayla. Pantas Nayla menekan lembut opsyen menghantar mesej itu.

‘Alah…menyelam sambil minum air. Macamlah aku tak tahu apa yang ada dalam hati perut kau tu.’ - Eza

‘Apa pulak aku? ‘Dah tua bangka takut kat Ma lagi.’ Ejek Eza apabila Nayla mengugut tentang keberadaan ibunya, Puan Mariam. Nayla tersenyum. Aksi pandir manusia masa kini bersama gajet, tersenyum, ketawa dan bercakap seorang diri.

‘Kalau kau berani sangat pergi cakap kat ma lah.’ - Eza.

‘Aku bukannya takut. Aku hormat. Okey lah. Ada orang telefon ni.’ - Nayla

Nayla tidak lagi membalas mesej Eza dan terus sahaja menjawab salam yang dilantunkan dari corong sebelah sana.

“Kenapa lambat angkat telefon?  Ni mesti sibuk layan mesej Eza.”  Suara Aizat kedengaran ceria di corong sana. Nayla menjawab kata-kata itu dengan ketawa pendek. “Rindu kat saya tak?” Aizat mengumpan dengan persoalan hati yang tidak pernah terjawab sejak dulu.

 ‘Tidak pernah seminit pun hati ini tidak merinduimu.’ Seakan mengalir air jernih di birai mata saat rasa mengungkap pernyataan itu.

“Adalah sikit.” Nayla menjawab sombong.

“Hari ni apa pula masalah awak? Apa yang tak balance? Siapa pelanggan yang kacau awak lagi. Bos awak meroyan lagi ke…saya nak dengar ni. Saya tak pernah penat nak mendengar.” Sinis ajuan bicara di Aizat di hujung sana sebelum ketawa kecil menyusul.

“Hari ni tak nak cerita pasal kerja.” Nayla menjawab sedikit manja.

“Awak tak nak tanya pasal kerja saya. Susah saya kat sini. Rindu macam nak mati kat awak. Nayla… saya rindukan senyuman awak. Kan seronok kalau kita tak payah habis belajar. Hari-hari saya boleh tengok muka awak.” Aizat membariskan kemungkinan yang tidak mungkin berlaku.

“Lepas tu, pinjaman PTPTN tak payah bayar. Pinjaman FAMA tak payah bayar. Suruh mak ayah pandang aje kita yang dah habis belajar ni?” tukas Nayla. Aizat ketawa kecil lagi. Sebak hati saat menyebut perkataan FAMA. ‘Mak dan abah saya tak pernah menyukai awak, Aizat. Apa yang terhubung di antara kita memekar di taman larangan.’ Rintih hati Nayla.

“Maaf, Zat.  Saya rasa ada panggilan masuk ni.  Nanti saya telefon awak semula.”


“Awak sembunyikan se…”  Aizat tidak sempat menghabiskan kata apabila talian telahpun diputuskan.


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung