Monday 29 September 2014

Kabus Rindu : Bab 4 Bahagian 2

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri

“Ha, dah sampai pun.  Encik Azhari, ini ibu Wafi Ikhmal.  Pelajar yang di..er.. “
           
“Tumbuk!  Atau saya boleh kata mencederakan anak saya.  Awak tak pandai jaga anakkah?  Adakah patut anak saya ditumbuknya.  Saya nak tuntut balik bil klinik daripada awak.  Saya nak saman anak awak dengan awak-awak sekali…”  Azhari terpempam dengan letusan kata-kata tanpa henti bagai murai cabut ekor daripada mulut perempuan itu.  Berdedai-dedai perkataan di dalam bahasa Inggeris keluar.
           
Azhari memandang tepat ke arah Puan Salbiah.  Puan Salbiah mengerutkan dahi.  Petanda buruk bahawa masalah ini tidak akan selesai di sini sahaja.
           
“Awak belum tahu lagi saya siapa.  Saya akan saman awak sekeluarga.  Saya nak tuntut ganti rugi kecederaan, ganti rugi teladan, awak tunggu saya di mahkamah,”  wanita itu masih lagi belum mahu berhenti di dalam slanga Britishnya.
           
“Assalamualaikum…”  Salam suci kesejahteraan kedengaran sekali lagi.  Disambut  Azhari dan Puan Salbiah.
           
“Puan Hidayati, inilah ibu Wafi Ikhmal.  Pelajar yang ditumbuk Zaweeya tu,”  kali ini bicara pengetua yang bertubuh rendang itu tidak lagi tersekat-sekat.

“Oh! Bawa satu angkatan bersenjata, kalian ingat saya ta..”

“Izzie,”   tegur Hidayati.
           
“Yatt,”  wanita itu meletakkan beg tangan Coachnya di kerusi bersebelahan  Azhari. Azhari sendiri belum sempat duduk.
           
“Yatt!”  Dia merangkul Hidayati lama.  Sebelum mereka bertukar-tukar ciuman di pipi.

“Cantiknya kau Izzie.  Kau buat apa kat sini.  Tengoklah penampilan kau… datuk mana kau dah ‘rembat’ ni?”  Kalau tadi Azhari sekadar memandang tepat ke arah Puan Salbiah, sekarang mereka bertukar renungan.  Tidak mengerti apa yang berlaku.
           
“Kau ingat aku papa kedana sangat nak ‘rembat’ datuk?  Aku cari yang antarabangsa tau,” perjelas Izzie sambil menarik tangan Hidayati duduk di sofa tetamu berhampiran pintu masuk bilik Pengetua itu.
           
“Iyakah?  Tercapai juga cita-cita kau nak dapatkan anak Pan Asian ya..”
           
“Ini bukan Pan Asian lagi,  Pan Europe,”
           
“Gila kau?”
           
“Netherland, kau!”
           
“Wah, Oranje.  Nasib baik Belanda tak menang Euro hari tu.  Kalau tak makin ‘oren’ lah kau,” giat Hidayati.
           
“Jap…sekejap.   Saya minta nyawa sekejap.  Kalian berdua ni siapa?  Yang awak, Cik Yati.  Kita datang sini nak selesaikan masalah Zaweeya.  Bukannya nak makan buah oren bagai,”  Azhari bangun dan berdiri menghadap mereka. Keliru dengan perbualan yang sepatutnya hangat dengan tuduh menuduh dan saman-menyaman itu.
           
“Budak perempuan tu anak kaukah?”  Barulah Izzie kembali ke pangkal jalan.  Setelah jauh kesesatan sehingga ke Belanda dan buah orennya.
           
“Namanya Zaweeya.”  Hidayati membetulkan.
           
“Patutlah garang benar.  Kuah dah tumpah betul-betul dalam nasi.  Nasipun dah kena gaul betul-betul.”  Tawa mereka berlambakan mendengar peribahasa yang dirosakkan oleh Izzie tadi.
           
“Kasihan kat anak aku.  Lebam dibuat dek anak kau.  Kan dulu kita dah janji nak berbesan.  Kalau macam ni, tak sanggup aku,”  Izzie berterus-terang. Ketawa masih bersisa dari bibir Hidayati.
           
Setelah bersalaman dengan Puan Salbiah, mereka beriringan keluar dan menuju ke kantin sekolah.  Hidayati meminta izin daripada suaminya untuk meneruskan sessi kutuk-mengutuk yang terbantut semenjak puluhan tahun lamanya.

Handsome lagi suami kau, kat mana kau orang jumpa ya?”  Tanya Izzie, tertoleh-toleh ke belakang.  Memerhati gerak gagah Azhari meninggalkan bilik pengetua.
           
“Tak payah kau nak sibuk.  Kita selesaikan hal anak-anak kita ni.” Tukas  Hidayati. 

Membeli dua kotak air minuman kotak.  Dihulurkan satu kepada wanita berdarah bangsawan itu.  Mereka berdua mengambil kerusi yang paling jauh.  Bersilang kaki menyandar diri di meja kantin.  Menghadap padang sekolah yang kosong.
           
“Aku rindu kat kau, Yatt.”  Izzie bersuara.  Jemari  Hidayati diraih dan digenggam erat.  Kaca mata hitam yang bertenggek di atas kepalanya tadi, disimpannya.

“Aku rindukan zaman pengajian kita.”  Ada sebak yang tidak dibuat-buat dalam bicara itu.
           
“Aku rindukan Mai, Misha, Annie, Yus, Ati, MekDa, Jalilah, Kak Long, Ina, Cipah, Erra, Zura, Noqya…”  Izzie cuba mengingat.
           
“Semuanya ada dalam FB aku.  Kau cari sahaja budak DSK.  Mereka semua ada kat sana…,” terang Hidayati tetapi pandangannya jauh merayau membatasi padang bersebelahan lebuh raya itu.  Sudah melewati jarak dan masa. 
           
“Tapi…yang aku tak faham sungguh tu, kenapa anak kau tumbuk anak aku, eh?  Wafi ada ganggu…”  Izzie mengangkat telunjuknya dan meletakkan di dahi.
           
“Zaweeya…”  Sekali lagi Hidayati mengingatkan.  Tak berubah-ubah dengan perangai pelupanya.  Terbanglah ke langit hijau sekalipun.  Begitulah juga Izzaidah yang dikenalinya.
           
“Dulu lagi aku pesan, lawan lupa ilmu, kalam.  Macam Nabi cakap.  Kalau dah tahu pelupa, lain kali bawa pen.  Tulis.  Takpun bawa marker pen.  Tulis besar-besar,” giat  Hidayati.  Izzie tersenyum sahaja.  Sudah biasa disindir dikutuk begitu.

“Betul ni, aku nak tanya.  Wafi ada kacau Zaweeyakah?  Kalau tak, takkan sampai dia tumbuk si Wafi tu.  Wafi tu, badan aja besar, bukan kuat manapun.  Anak manja,”  Puan Izzie mengekek ketawa sendiri.  Lucu benar terasa selepas menyebut perkataan yang akhir itu.
           
“Entah.  Tak ada Yaya ceritapun.  Aku tengok dia tak ada masalah di sekolah.  Sampailah hari tu,” Puan Hidayati cuba mengingat sejelas-jelasnya.
            

Novel di atas boleh diperolehi dengan menghubungi penulisnya melalui wahana komunikasi di bawah.

Anda juga boleh beriklan di SOHO Directory bersama kami, di hampir 800 blog.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung