Tuesday 30 September 2014

Cerita Magik

gambar : carian google

"Aku tak tahu sama ada aku perlu cerita atau tidak kat kau."


"Cerita apa?" tanya aku. Dia ni kawan baik aku. Baru setahun dua jadi blogger, baru setahun dua juga jadi suri rumah.

"Cerita magik," kata dia, serius. Aku nak tergelak, tapi aku tak nampak garis mesra atau tanda-tanda nak bergurau pada muka dia. Aku batalkan niat nak ketawa. Nanti dia tersinggung pula.

"Ceritalah," kata aku. Aku pun nak dengar juga. Se'magik' mana cerita dia.

"Tadi aku buat solat dhuha. Aku memang dah lama tak buat. Masa hati aku rusuh, lepas tu keluarga buat hal, aku macam hilang punca." Aku menelinga sahaja. Tak mahu menyampuk. Teruskan, beritahu aku melalui pandangan iris yang menikam irisnya.

"Lepas solat aku menangis. Mintak sangat dijauhkan daripada fitnah hutang. Mintak dipermudahkan rezeki."

Okay. Aku tak menyampuk. Dia ni kalau bercerita, memang lambat. Banyak sangat iklannya. Ambil nafas la, pergi ke dapur ambil air la. Kadang-kadang siap goreng keropok dulu, baru sambung cerita. 

"Aku kemaskan kain sembahyang dengan mulut tak habis berselawat. Lepas tu aku dengar pintu depan diketuk."

Jeng...jeng...aku rapatkan diri pada dia yang jauh lebih besar saiznya daripada aku. Tumpang berlindung.

"Habis tu? Kau buka pintu tak?"


"Bukalah. Siang. Waktu dhuha." Suaranya meninggi sedikit. Itulah yang buat aku malas menyampuk. 

"Rupa-rupanya jiran aku datang. Nak beli barang yang aku jual. Siap bagi duit terus. Padahal aku kenalah order dulu."


"Jadi?" Tiba-tiba, tahap kekaburan berfikir aku datang. 

"Jadi. Mak aku cakap. Kalau apa-apa hal, mintak pada Allah. Jangan minta pada manusia. Kau tahu tak, masa aku berdoa tu, Allah gerakkan hati jiran aku sarung selipar terus jalan ke pintu depan rumah aku?"

Aku geleng.

"Aku pun tak tahu. Jadinya, selama ini aku baca kisah orang aje tentang perkara-perkara ajaib yang sebenarnya tak ajaib pun di tangan Allah. Hari ni aku rasa sendiri," katanya lirih sambil membiarkan air mata bertakung di birai mata. 

Aku terdiam. 


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung