Tuesday 23 September 2014

Fragmen Mentua Aku Shogun Tokugawa

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Wajah Puan Saadiah terbayang di mata Eza. Wanita yang sanggup mengorbankan harta benda, masa dan dirinya sendiri untuk anak-anak gadis ‘tercalar’ sepertinya. Ketika mata dan jari lain menuding pada kesalahan dan perut mereka, Puan Saadiah tampil menghulur tangan dan senyum untuk menjadi pelindung. Memberi setidak-tidaknya secucur atap kasih sayang. Nayla diam memproses kata-kata Eza. Kebisuan untuk membantu saraf otaknya mengesani memori kepada kedua-dua kata kunci Mama dan Mawwaddah.

‘Aku ada kenal siapa-siapa yang bernama Mawwaddah ke?’ Nayla duduk menghadap Eza yang sedang memayam sebahagian daripada bawang besar di depannya. Sebelah lagi dihiris untuk dimasukkan sebagai hiasan akhir. Tiga ulas bawang putih dketuknya dengan pisau.

“Dah,” Eza menolak pengalas cincang ke depan Nayla. Muncung Nayla menghala ke arah brokoli yang diam pegun tak berusik.

“Mengada-ngada betul kau ni. Udang tu kau cuci. Aku tak nak. Nanti muntah billah kat sini.” Arah Eza.

Nayla bangun membawa udang yang masih berbungkus kemas di dalam bekas styrofoam itu ke singki. Membuang kepala dan ekor. Kulit tengah ditinggalkan. Eza selalu meninggalkan komen jika Nayla berbuat begitu. Pemalas, katanya.

“Kau ingat tak rumah perlindungan yang aku pernah tinggal sekejap tu?” terang Eza.  Nayla mula memulih ingatan.  Rumah lot tepi dua tingkat di kawasan perumahan di pinggir bandar Kajang.

“Semua yang tinggal kat situ ada masalah macam kau ke?” Nayla menenggekkan kuali. Sedikit minyak dimasukkan. Udang yang dimasukkan akan menghasilkan aroma dan airnya sendiri. Jadi tidak perlu terlalu banyak minyak.

“Kebanyakannya. Ada jugak kes dadah. Kes lari dari rumah. Sumbang mahram pun banyak…..” Eza terbersin kecil beberapa kali apabila aroma tumisan itu menyesakkan hidung. “Kecilkan sikit apilah,” arahnya tetapi melarikan diri ke ruang tamu. Nayla memasukkan udang yang dibasuh dengan air bilasan beras tadi.

Sakit sosial bukan milik mutlak remaja sahaja. Golongan berumur malahan veteran juga menjadi haruan ganas tak mengenal mangsa. Kalaupun sakit sosial ini tidak digelar masalah, ia masih cabaran buat perawatnya. Kesedaran untuk kembali kepada agama sebagai pencegah dan perawat sakit kronik ini secara mutlak berdepan dengan pro dan kontra. Remaja umpama anak pokok yang sentiasa perlukan perhatian.  Dipupuk dibelai sambil mata harus meliar bimbang haiwan liar atau tangan gatal mengetusnya membuatkan tumbesarannya terbantut.

“Kalau aku banyak duit, aku pun nak jadi macam Puan Saadiah tu. Berbakti.  Besar pengorbanan dia untuk masyarakatkan?”  Dalam-dalam Nayla memanjat doa. Berharap tindakan dia membela Eza ketika dilakukan wewenangnya oleh keluarga menjadi perintis.

“Kau bayangkan masa semua orang menghentam kau. Menyalahkan kau. Tiba-tiba bila kita datang pada dia, dia kata Allah nak uji kamu. Allah nak uji kamu kerana dia sayangkan kamu. Dalam bercinta pun, kalau nak tahu orang tu sayangkan kita atau tidak, tentu kita akan uji dia,” ujar Eza cuba mengingat kata-kata pujukan Puan Saadiah.

“Siapa yang hantar kau ke sana?” Nayla meletakkan semangkuk brokoli bersama udang yang berkuah merah jambu kerana air udang tadi.  Perbincangan mengenai perkara itu tidak pernah dibuka sebelum ini.

“Ma bagi cadangan. Mak lang yang carikan. Tu pun pasal kawan Emma tinggal kat situ.  Masa mula-mula sampai kat situ, aku memang dendam dengan semua orang. Bila aku ada masalah, semua nak lepaskan tangan. Buang aku kat situ. Ikutkan hati, aku memang tak mahu mengaku ada keluarga lagi. Masa baik kita ditatang. Masa jahat kita dibuang…” Eza menyambung lagi selepas berjeda.

Stigma negatif masih memerangkap minda masyarakat. Yang jahat harus disingkirkan dari bercampur yang baik bimbang berjangkit. Walhal sepatutnya yang bermajoriti baik harus memulihkan yang jahat sambil berjaga-jaga.  Barulah unsur positif meresapi yang jahat dan mengubahnya sedikit demi sedikit.

“Ibu kau tak cakap apa-apa? Eh! mak lang kan kat Mekah bersama aku?”

“Ibu tak benarkan. Abah pun tak bagi. Tapi ma berkeras nak aku pergi, dia telefon mak lang di Mekah.  Kau tahulah ma. Takut orang kata. Takut orang ni kata.”


2 comments:

  1. salams mona, singgah membaca sambil muka malu2 kucing :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumsalam. jangan le malu kucing, saya takde kucing nak malu kucing sama...

      Delete

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung