Sunday 21 September 2014

Kabus Rindu Bab 4 bahagian 1

hubungi penulis jika anda belum memiliki novel ini.
Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor   

         “SAYA tak kira.  Saya tak mahu terima apapun alasan cikgu.”  Wanita anggun yang baru sahaja menanggalkan kaca mata hitam dengan perkataan CK di bingkainya itu bersuara. 

Dalam bahasa Inggeris dan dalam loghat England Utara yang sangat pekat.  Puan Pengetua sedaya upaya bersangka baik.  Membuang rasa meluatnya.  Dia melabuhkan punggungnya ke kerusi tidak berapa empuk di dalam bilik Puan Salbiah itu.  Kipas dari sutera China yang dibelinya juga di negara paksi komunis itu dikeluarkan.  Biarpun kedinginan udara dari pendingin hawa di atas kepala Puan Salbiah itu baru sahaja menyapanya.

            “Sabar, puan.  Kes ini masih dalam siasatan.  Saya sudahpun memanggil ibu bapa pelajar yang menumbuk anak puan itu.  Seboleh-bolehnya kita tidak mahu melibatkan banyak pihak,”  Puan Pengetua yang sudah hampir pencen itu memberi penjelasan.  Kisah Wafi Ikhmal ditumbuk Zaweeya kini menjadi kisah gosip terhangat di dalam carta gosip sekolah.

Ada yang mengatakan cinta Wafi ditolak.  Ada juga yang mengatakan sebaliknya.  Ada juga versi masala dan versi-versi yang telah ditokok tambah dengan jayanya.  Baik Pengetua mahupun guru-guru lain, siasatan masih diteruskan dengan menyoal kedua-dua mangsa dan pemangsa.  Beserta saksi-saksinya sekali.  Terutama sekali gadis pingitan yang berdua itu.  Ain dan Budiwati.
           
“Saya nak budak tu dibuang sekolah.  Kalau tak, saya akan sebarkan pada media.  Biar masyarakat di luar tahu.  Di dalam sekolah berprestij macam ini pun, ada samseng.  Perempuan pula tu!”  Gemerincing gelang emas wanita itu ikut turun naik sebagaimana tangannya juga.
           
“Janganlah macam tu, puan.  Perkara ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan pihak media.  Saya berjanji akan membuat siasatan seadil-adilnya.”  Kalut seketika Puan Salbiah yang berkaca mata itu dengan ugutan sebegitu.  Wanita di depannya melemparkan senyum tipis dan sinis.
           
Penglibatan pihak media akan lebih memanjangkan cerita.  Mana lagi hendak dijawab dengan media.  Mana lagi hendak menyediakan laporan untuk dihantar kepada pihak atasan.  Semuanya nanti menuntut pengorbanan semua pihak yang terlibat.  Juga menuntut pengorbanan daripada pelbagai segi.  Masa, ketenangan dan tidak dinafikan, sillaturrahmi.
           
“Saya nak jumpa budak perempuan samseng tu!  Biar saya ganyang dia!”  Wanita berkurung moden dengan tudung warna senada itu mengancam. 

Puan Salbiah masih bermanis muka.  Di dalam hatinya mengutuk juga.  Berpakaian segah ini, buruk benar rupanya kalau pergi memaki hamun orang.  Dengan budak-budak.  Tidak berpadanan umur langsung.
           
“Err.. maaf, puan.  Sekarang ni proses Pembelajaran dan Pengajaran sedang berlangsung.  Saya tak boleh izinkan.  Mungkin kalau betul puan nak bertemu dengan dia, selepas waktu sekolah.  Saya sudah pun menelefon ibu bapa pelajar tu.  Sekejap lagi mereka sampai,” janji Puan Salbiah. 


Wajah Hidayati yang lembut dan suka berjenaka itu menggambar di ruang mata.  Ringan tulang dan sering menyokong apa juga aktiviti-aktiviti di sekolah.  Dapatkah wanita itu mendepani wanita berwajah bersih tidak berseri yang agaknya dilahirkan di dalam dulang emas itu.
           
“Ya, elok juga.  Saya nak bertemu dengan ibu bapa yang tak pandai menjaga anak tu!”
           
“Macam mana cikgu boleh benarkan pelajar macam tu..”
           
“Assalamualaikum…”
           
Promosi Bengkel Asas Akaun Secara Offline untuk Bulan September. Daftar RM350 untuk dua orang. Hubungi untuk maklumat lanjut. Tempat terhad.

WA/SMS : 011-19737269
Facebook : Monalita Mansor
Fan Page : Kafe CMV

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung