Saturday, 9 November 2013

Menulis Yang Baik-baik Sahaja

Teks  : Monalita Mansor
Gambar  : rakaman kamera Ayahanda Chik (rakan FB)

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Alhamdulillah, hari ini hari yang sangat mengujakan.  Semoga perjalanan saya berada dalam ruang lingkup raudah di Bengkel Penulisan Islami di Wangsa Melawati mendapat keberkatan.  Bengkel ini dianjurkan oleh Galeri Ilmu.  Pemudahcaranya ialah Tuan Khairy Tajuddin, penulis Budak U 1 dan 2, Tariq United, Budak Komik, Pemanah Handalan Bersenjatakan Doa dan Menghunus Pedang Kerana Allah.  Beliau juga turut terlibat menghasilkan e-book berkaitan penulisan novel Islami.  Manakala, seorang lagi penulis Web Sutera, yang memencakkan karya sejarah islam dengan karyanya Macedonia Alexander Agung, Hijab Raja Zulkarnain dan Konstantinopel, Kibaran Panji Al Fateh.  Panelis terakhir ialah editor Galeri Ilmu dan juga penulis Eee...Sayur, Amir Abdul Hamid.

Sesi bengkel dibahagikan kepada tiga bahagian dengan aspek-aspek teknikal dalam penukangan karya islami dibentangkan oleh Tuan Khairy Tajuddin.  Berturutan selepas itu ialah sesi bedah ilmu menyingkap rahsia dan kehendak-kehendak editor oleh Tuan Amir Abdul Hamid.

Selepas rehat, Tuan Web Sutera mengambil tempat dalam pembicaraan panjang lebar mengenai penghasilan novel sejarah.  Bengkel ini ternyata berbeza daripada bengkel-bengkel yang pernah saya hadiri.  Pengisiannya sangat berbeza.  Baik daripada segi pengisian, suasana dan penting sekali ilmu yang tercurah membuatkan saya tidak merasakan masa berlalu begitu pantas.

Alhamdulillah, bagi pencinta sejarah seperti saya, perkongsian Tuan Web Sutera ternyata sangat bermanfaat.  Ternyata kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya dimanfaatkan sepenuh jiwa raga kerana terbukti dengan keterbukaan hati seorang hamba Allah untuk mendekati Islam.  Kisah benar ini dikongsi oleh sahabat beliau setelah menghadiahkan kepada hamba Allah tersebut novel bertajuk Konstantinopel, Kibaran Panji Al Fateh.

Ternyata ia sangat membakar semangat dan keinginan untuk menulis yang baik-baik sahaja sebagai bekalan di alam sana.  Ingatan Tuan Web Sutera, "kita mati sekejap aja, lepas tu dihidupkan semula untuk ditentukan hidup akhir sama ada ke syurga atau neraka."

Maka, secara moralnya, hidup di duniapun sekejap sahaja.  Adalah lebih baik melakukan sesuatu yang baik-baik agar kehidupan kekal kita di sana nanti terjamin dengan kebaikan kita.

Wallahualam.

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung