Friday, 29 August 2014

Kaedah Didik Hibur dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Foto : Carian Google
Bertitik tolak daripada keperluan mengisi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan maka, kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah dipastikan memenuhi aspek penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan dan pemulihan.   Kita semua maklum bahawa mata pelajaran Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh murid-murid terutama di sekolah rendah sebagai langkah awal mempercepatkan proses penyebatian perpaduan antara kaum menerusi bahasa.
            Bahasa Melayu, walaupun ditutur secara meluas oleh kelompok kaum Melayu dan bukan Melayu, masih memerlukan penambahbaikan dari segi  penggunaan Bahasa Melayu Tinggi yang tidak kedapatan di dalam bahasa rancu pertuturan harian kita.   Begitu juga dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah, dari masa ke semasa memerlukan penambahbaikan untuk memastikan ia berlangsung dengan seronok di samping mencapai matlamatnya sebagai bahasa utama di Malaysia.
Jean Piaget menegaskan murid-murid berumur 7 -11 tahun berada di dalam tahap operasi konkrit di mana mereka sudah membuka minda untuk bersosial iaitu berkawan, bermain dan bergaul dengan rakan-rakan sebaya.  Teori tahap ketiga ini memungkinkan minda mereka penuh dengan kecurigaan dan sedikit demi sedikit menguasai pemikiran logik.  Begitupun, seadanya kanak-kanak, perasaan mereka tidak terhindar untuk bermain dan berseronok walaupun kesedaran berfikir secara egosentrik semakin menipis. 
Kabinet Malaysia pada 8 Julai 2009 telah memutuskan untuk memansuhkan PPSMI dengan mata pelajaran Sains dan Matematik kembali diajar di dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan pada tahun 2012.  Untuk melaksanakan pendekatan menguasai Bahasa Melayu sebagai salah satu transformasi kurikulum  di sekolah rendah maka kaedah didik hibur diperkenalkan.    Didik hibur bermaksud mendidik dengan maksud mengajar atau memelihara tetapi dengan cara yang menggirangkan dan menyenangkan hati.  Secara asasnya ialah adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran santai tanpa rasa tertekan oleh guru mahupun murid-murid di mana mereka bebas berekspresi di dalam konteks pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu yang mungkin meliputi unsur estitika, lakonan, lelucon dan sebagainya.
Menurut (Amy 1964: Fagen), kanak-kanak bermain dengan diarah oleh diri mereka sendiri tanpa mengambil kira tujuan bermain.  Ini menunjukkan betapa polosnya kanak-kanak yang hanya mementingkan keseronokan bermain.  Lalu, di sinilah terselitnya cirri-ciri masukan didik hibur yang antaranya mestilah ceria kerana berunsur kelakar walaupun tidak lari daripada cakupan unsur pembelajaran bahasa seperti lakonan,  muzik, puisi dan lawak jenaka.   Apabila kedapatan elemen-elemen demikian,  ia akan mengurangkan rasa cemas atau tidak yakin murid-murid terhadap guru apabila sesi dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan kesemua murid.  Guru berperanan sebagai pemudahcara dan secara keseluruhannya aktiviti dijalankan oleh murid-murid.    Dengan itu, murid-murid diharapkan dapat berinteraksi di dalam kumpulan dan bereksperimen dengan wahana seperti nyanyian, lakonan, bacaan berirama sebebasnya tetapi masih di dalam kawalan para guru. 
Sebagai contoh, guru boleh memperdengarkan murid-muridnya lagu Rama-Rama (lihat Lampiran 1) nyanyian Ella.  Lagu ini dipilih kerana ia agak moden berbanding lagu-lagu puisi berima yang ‘keanak-anakan’ Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan berasaskan lirik lagu ini seperti aktiviti nyanyian.  Aktiviti nyanyian adalah untuk aplikasi teknik ajuk hafaz untuk membiasakan murid-murid dengan liriknya.  Boleh juga dilakukan aktiviti bacaan berirama dengan bantuan guru. 
Apabila lirik tersebut telah diingati, aktiviti lanjutan boleh dilakukan seperti aktiviti lakonan.  Guru boleh melibatkan jumlah murid yang ramai berdasarkan lirik lagu tersebut.  Sebagai contoh watak rama-rama, bunga, pokok, matahari, manusia dan penyanyi latar atau pencerita.  Aktiviti boleh dijalankan berasaskan lirik tersebut tetapi menggunakan skrip yang kreatif dan melucukan.  Guru-guru mungkin boleh merujuk kepada klip video persembahan akhir tahun siri Upin dan Ipin, sebagai contoh. 
Selanjutnya guru boleh memulakan sesi memahami bahasa puitis dan makna puisi sebagaimana yang tercatat di dalam lirik sebagai contoh memahami rangkap

Ekspresi dirimu menawan hatiku
Ingin aku terbang bersamamu
Melihat kerenah melihat telah
Manusia yang sering telagah


Murid-murid boleh digalakkan mencari makna dan diajar membaca kamus seterusnya memahami rangkap demi rangkap.  Semasa sesi ini berlangsung, murid-murid boleh dibahagikan kepada kumpulan kecil dan mereka akan diminta menulis semula rangkap tersebut secara kreatif.  Secara kreatif mungkin bermaksud kebolehan mewarna dan melukis boleh diaplikasikan sekaligus memberi peluang mereka menggunakan kedua-dua otak kiri dan kanan secara maksimun.   Untuk sesi ini, pendekatan komunikatif digunakan dimana pengajaran berpusatkan murid di dalam proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.  Guru-guru menjadi pemimpin dan pemandu serta pemudahcara.
Sebagai intihanya, kaedah didik hibur merupakan kaedah yang sesuai dengan situasi generasi Y pada masa sekarang.  Pendekatan berasaskan keceriaan tanpa meninggalkan aspek pendidikan amatlah diperlukan memandangkan kaedah pembelajaran tradisional memungkinkan suasana pembelajaran dan pengajaran berlangsung hambar.  Akhir kalamnya akan menjadikan murid-murid lesu dan hilang minat mendepani subjek tersebut.  Ini akan meninggalkan impak negatif terhadap perkembangan bahasa melayu itu sendiri dan melayukan proses menjadikan ia sebagai bahasa utama penyatuan kaum di Malaysia.





Lampiran 1
Lirik Lagu Rama-Rama - Ella

Seumpama rama-rama
Terbang bebas di udara tanpa ada halangan
Aman damai suka-suka, riang ria
Tanpa ada rasa duka sengketa
Rama-rama

Ekspresi dirimu menawan hatiku
Ingin aku terbang bersamamu
Melihat kerenah melihat telatah
Manusia yang sering telagah

Ekspedisi ini bagai tiada henti
‘Kan menjadi antologi diri
Terhentilah mimpi terhapuslah sepi
Sanubari yang lebih berani

Terminal yang pasti satu fitrah hati
Kerana yang sejati tiada kekal lagi
Terbanglah ke sini mencari abadi
Terbanglah ke mari mencari hakiki

Seumpama rama-rama
Melewati panorama yang penuh warna warni
Taman bunga taman damai
Dengan aksi lincah berputik hidup yang harungi
Rama-rama










Bibliografi

Ahmad Kamal bin Ramtan. (2013, Januari 17) Keperluan Didik Hibur Dalam Pengajaran, diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada http://jpn.moe.gov.my/jpnmelaka/index.php/ms/  
S. Fauzan dan Azam Dungun (tiada tarikh) Lirik lagu Rama-Rama, Ella diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada  http://www.liriklagumuzika.com/2008/03/lirik-rama-rama-ella.html
Ain.  SKPX 2083 Psikologi Perkembangan  (2007, Januari 29) Tahap Operasi Konkrit (7-11 Tahun)  diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada http://teoripiaget.blogspot.com/
Catatannota. (2011, Ogos 15) Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada http://catatannota.blogspot.com/

Monalita Mansor (2013, Oktober 12) TGFU dalam Pendidikan Jasmani, diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada http://monalitamansor.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung