teks : monalita mansor
gambar : koleksi peribadi
SATURDAY, 24 NOVEMBER 2012
PKRS 1 : Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial,Kepentingan dan Implikasi
Deklarasi Penghapusan Diskriminasi sudah dimajukan ke tangan PBB untuk diiktiraf. Permintaan di dalam artikel 16 (a) di dalam deklarasi itu di antaranya mahukan masyarakat dunia mengiktiraf dan meluaskan definisi gender. Iaitu mengiktiraf kehadiran LGBT atau Lesbian Gay, Biseksual dan Transgender sebagai gender selain gender azali yang ditetapkan agama iaitu lelaki dan perempuan.
Ia menggambarkan betapa bercelarunya dunia dengan pengertian reproduktif dan sosial itu sendiri dan perkembangan ini harus disekat di peringkat awal lagi. Langkah memperkenalkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (selepas ini disebut PKRS) sebagai subjek khusus adalah tepat pada masanya berasaskan kebimbangan ini.
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dijadikan mata pelajaran tunggal pada November 2011 setelah menumpang mata pelajaran Pendidikan Kesihatan sebelum ini. Dengan penambahbaikan modul sedia ada dan ia digerakkan sebagai proses pembelajaran yang berterusan bertujuan membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni terhadap diri sendiri, masyarakat dan persekitaran.
PKRS bukan semata-mata pendidikan seks melulu sahaja seperti tanggapan beberapa pihak. Ia merangkumi pengetahuan dari cabang biological, sosiobudaya dan kerohanian ke arah tatacara hidup yang sihat untuk membentuk individu-individu yang sihat secara total dan memenuhi matlamat Kurikulum Pendidikan Kesihatan itu sendiri.
Kurikulum Pendidikan Kesihatan terdiri daripada tiga aspek utama termasuk PKSR sendiri. Ia adalah:-
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial 75 %
Pemakanan 15 %
Pertolongan Cemas 10%
Kuruikulum Pendidikan Kesihatan pula disusun agar bersesuaian dengan ciri-ciri dan keperluan murid berasaskan tiga modul utama:-
1.1. Modul 1 : Kesihatan Fizikal
Tumpuan terhadap ciri-ciri perkembangan fizikal dan penjagaan kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Keutamaan adalah terdapat kesihatan diri dan reproduktif, pemakanan dan penyalahgunaan bahan-bahan terlarang.
1.2. Modul 2 : Kesihatan Mental, Emosi dan Sosial
Modul kedua ini memfokuskan terhadap perkembangan emosi, mental dan sosial serta keboleh mengurus risiko, konflik dan perubahan dalam kehidupan. Tumpuan diberikan terhadap kemahiran pengurusan mental dan emosi, kekeluargaan, perhubungan dan keintiman sesama manusia.
1.3. Modul 3 : Kesihatan Persekitaran
Keselamatan persekitaran menumpukan kepada pencegahan penyakit, keselamatan persekitaran dan pertolongan cemas.
2.0. Kepentingan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial dalam Kurikulum Kesihatan
2.1. Membentuk pandangan positif terhadap kesihatan reproduktif diri, keluarga dan masyarakat. Ia dapat meningkatkan kesedaran di dalam masyarakat supaya tidak menganggap pengetahuan reproduktif sebagai sesuatu yang lucah, tabu dan tidak boleh dibicarakan secara terbuka. Murid-murid juga dapat mengecam perbezaan antara alat seksual di antara dua gender yang berbeza.
2.2. Memberi maklumat tepat tentang kepentingan memelihara integriti kekeluargaan secara berkekalan. Institusi keluarga tradisional yang mengandungi ibu (perempuan), bapa (lelaki) dan anak (lelaki atau perempuan) adalah pengetahuan reproduktif diri yang paling asas dan murid-murid harus menyedari ia harus berterusan. Ia menegaskan kepentingan insitusi perkahwinan dan tanggungjawab ahli keluarga sekaligus menzahirkan emosi dan pengurusannya terhadap tuhan, diri, ibubapa, keluarga dan masyarakat.
2.3. Mendidik murid-murid tentang kemahiran membuat keputusan secara bijak dan bertanggungjawab terhadap tingkahlaku seksual pada masa kini dan masa depan. Ia termasuklah kemahiran menguruskan kemahiran interaksi sosial dan interpersonal. Bijak mengawal perasaan mengikut situasi dan mengurus emosi secara bijaksana.
Pentingnya PKRS ialah memberi pengetahuan tentang penjagaan kesihatan secara total dan menolak amalan gaya hidup tidak sihat. Pengetahuan mengenai keselamatan daripada sudut pencegahan penyakit dan keselamatan sosial bagi kanak-kanak, gadis dan wanita. Murid-murid juga memperolehi pengetahuan meminta bantuan pada tempat yang betul ketika berlaku situasi yang tak terjangka.
bersambung di PKRS 2
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D