Wednesday, 16 October 2013

Mereka Semakin Melampau

Teks : Monalita Mansor
Gambar:Koleksi Peribadi dan Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Sebagai bekas pekerja syarikat kewangan, menerima e-mel yang terang-terang kononnya daripada mantan majikan sendiri dengan tujuan untuk memperdayakan umum sangatlah menyakitkan hati saya.  Lebih-lebih lagi tiada tindakan drastik diambil oleh pihak berkenaan selain memberi nasihat, itupun setelah dihubungi.  Saya, akui terdapat peringatan berupa amaran di laman-laman web tetapi sejauh mana ia dapat membantu memberi peringatan kepada anda?
cuba baca alamat e-mel kakitangan Hong Leong ini ataupun dia ialah pihak ketiga yang dilantik oleh bank berkenaan untuk memberi peringatan pada pelanggan.  Apakah bank tersebut sudah kekurangan pakar IT?


Saya tidak hairan walau setiap hari media melaporkan mengenai kejahatan sindiket gores dan menang, sindiket penyamaran sebagai pegawai bank negara, sindiket drama penculikan masih ada lagi mereka di luar sana yang menjadi mangsa.  Kenapa?  Kerana maklumat tidak sampai.

Pernah berlaku ketika saya bertugas seorang ah so diiringi oleh entah siapa-siapa mengeluarkan wang sebegitu banyak.  Bila ditanya untuk apa wang sebanyak itu, kita pula dimarahnya balik.  

"Saya punya wang, saya punya suka mahu bikin apa!"  

Hati mengesyaki akan ada perkara yang tidak baik apabila memandang wajah 'pengiringnya' tetapi prosedur bertanya telahpun dijalankan.  Bermakna bagi pihak bank, mereka telah melakukan tanggungjawab sosial dengan bertanya dan sedaya upaya ingin menyelamatkan wang pelanggan.  

Pernah juga saya mendengar cerita seorang pegawai yang agak bijak, apabila melihatkan karektor mencurigakan milik pengiring ah so itu, dan wajah ah so itu sendiri nampak panik, dia tidak bersuara.  Tetapi, menulis di atas sehelai kertas agar ah so itu menuliskan 'siapa' pengiringnya dan kenapa dia kelihatan begitu cemas.

Kesudahannya, pegawai tersebut menyelinap masuk ke bahagian 'back office' dan terus membuat panggilan ke balai polis.  

Saya ingin menyeru kepada sahabat-sahabat saya yang bijak laksana, apabila bertemu dengan percubaan menipu begini, agar disebarkan terus ke laman-laman sosial sebagai peringatan kepada sahabat-sahabat yang lain yang mungkin tidak cakna dengan perkara-perkara sekecil alamat e-mel dan manipulasi ejaan pada alamat http yang digunakan.  
Jangan simpan penipuan di dalam poket kita dengan alasan orang lain akan 'tahu sendiri' nanti.  

Saya kongsikan beberapa perkara yang mungkin boleh membantu.  Selebihnya, hanya penyerahan kepada Allah Az-wajalla agar sentiasa melindungi kita daripada perkara-perkara sebegini. 


  1. Jangan panik - PANIK ADALAH KUNCI KEJAYAAN SEBUAH PENIPUAN
  2. Bila tiba-tiba anda menerima e-mel baik daripada mana-mana bank tentang apa sahaja, ABAIKAN.  Bank tak punya banyak masa untuk menghubungi anda kecuali anda banyak hutang dengan mereka.  Itupun mereka akan mencari anda sampai ke lubang cacing hanya melalui telefon kerana perbualan itu perlu dirakamkan/rekod untuk rekod akaun anda.   
  3. Apabila anda menerima panggilan telefon daripada seseorang yang kononnnya daripada bank, katakan anda sibuk.  Sila telefon lima minit lagi.   Dalam tempoh lima minit itu, semaklah dengan Telekom atau laman web bank yang sah.  Jika panggilan itu daripada pasukan Credit Recovery Unit (kerana tak bayar hutang) mereka tak akan bertukar nombor.  Jika bertukar juga hanya beberapa digit di belakang sahaja.  Pasti nombor tersebut sudah anda cam!
  4. Jika anda didekati oleh mereka-mereka yang menawarkan kemudahan pinjaman peribadi, atau kredit kad dan hanya meminta kad pengenalan sebagai dokumen permohonan, ada baiknya anda ikut dia memfotostat kad pengenalan anda atau anda fotostat sendiri.  Kebanyakan kes penipuan pinjaman berlaku kerana manipulasi salinan kad pengenalan.
  5. Pastikan anda menyimpan nombor telefon sekolah, nombor telefon drebar van sekolah dan nombor telefon jiran-jiran.  Walaupun sindiket ini sudah semakin reda dan menggunakan modus operandi di dalam bahasa Cina, ia tidak mustahil terjadi lagi.  Jangan panik jika anda menerima panggilan telefon mengatakan anak anda diculik dan anda mendengar pula suara kanak-kanak menangis memanggil anda.  Ada baiknya juga, anda ajarkan kod-kod rahsia antara anda dan anak-anak agar anda tahu kesahihan insiden tersebut. 
Sekarang anda boleh memiliki sebuah e-book baru apabila anda mendaftar sebagai pelajar kelas Asas Blog.  E-book berjudul 101Idea Home Based Bisnes tulisan Masayu Ahmad selain 3 e-book lain, percuma.  
Daftar laju-laju untuk promosi Oktober.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung