Thursday, 11 September 2014

Resensi : Lukanya Merah karya Rohani Deraman

 Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Novel ini tebal, setebal 660 muka surat. Tapi tulisannya besar-besar. Tak perlu nak membesar-besarkan biji mata atau menggunakan kanta sebesar penumbuk untuk membacanya. Bak kata omak mentua saya, "orang buto pun nampak."

Novel ini saya habiskan dalam masa sehari. Tak dapat menanggung tanda tanya, menyebabkan saya menghabiskan bacaan pada hari itu juga. Tapi, bukanlah bermakna semua kerja terbengkalai. Dah, namanya suri rumah, kenalah pandai-pandai.

Bacalah resensi saya. Sekadarnya.
Lukanya Merah, karya Rohani Deraman terbitan DBP ini mengetengahkan tema perjuangan wanita dalam konteks kemampuan mereka sendiri tetapi di luar batas pemikiran wanita biasa. Ia mengungkap persoalan Mek Romah, wanita tua kehilangan suami di sebuah mukim di Selatan Thai yang kita tahu sehingga kini tidak pernah aman. Ia juga menyebak persoalan rindu dan kasih seorang ibu dan mentua yang diterjemahkan melalui watak Siti Aishah, menantu Mek Romah yang setia.       
Kebangkitan semangat mempertahankan tanah selatan Thai itu tercetus hanya selepas kematian suaminya. Penulis menggambarkan kebangkitan semangat wanita itu perlahan-lahan selepas kematian anak-anak lelakinya, juga suaminya di tangan ‘tentera kerajaan’ yang menuduh mereka ‘pemberontak’ dan menghina mereka sebagai khoon keek atau pendatang.

Naskhah ini mungkin sedikit berat ditangani namun di tangan Rohani Deraman, ia seolah-olah menggari anda di kerusi, tilam ataupun meja untuk memaksa anda ‘berjuang’ bersama-sama Mek Romah. Mek Romah tidak digambarkan wanita sempurna. Beliau seorang ibu yang gagal dan  kecewa kerana satu-satunya anak lelaki yang masih hidup tidak mahu meneruskan perjuangan suami dan abang-abangnya membebaskan tanah tercinta mereka. Beliau seorang manusia yang berprasangka kerana menyimpan rasa marah terhadap Mek Nuong, satu-satunya jiran sekampung yang berbangsa Thai. Lebih-lebih lagi selepas kakinya dikekah oleh anjing Mek Nuong. Rohani Deraman melukiskan watak Mek Romah sebagai manusia yang biasa-biasa kerana pada kebanyakan ketikanya juga, gagal mengawal diri dengan meraung, melolong menangisi nasibnya.

Namun begitu, kematian demi kematian dengan pengeboman masjid, pembunuhan para guru agama, tangkapan melulu golongan muda, juga pengkhianatan bangsanya sendiri, menjadikan Mek Romah semakin kuat, lebih-lebih lagi kelibatnya sebagai wanita tidak pernah dicurigai sebagai ‘pejuang’.

Di samping itu, pejuang terkuat di samping Mek Romah ialah menantunya, Siti Aishah. Siti Aishah digambarkan sebagai wanita muda beranak tiga yang gigih. Sangat taat dengan Mek Romah, malah merelakan dirinya ditinggalkan suami apabila tidak mahu membiarkan Mek Romah sendiri di dalam perjuangannya.

Bagaimanapun, sebagaimana pengakhiran Bukit Kepong, begitu juga dengan pengakhiran Lukanya Merah. Ia bukanlah pengakhiran ‘happy ending’ seperti kemahuan segelintir kita. Naskah ini adalah naskah perjuangan. Jika ‘happy ending’ pun ia mungkin seketika, sepertinya terhentinya Pembantaian Gaza buat masa ini. Sebagai kesimpulan, naskah ini adalah naskah yang sangat membahagiakan dari segi pembenihan semangat cintakan agama dan tanah air. Tidak ketinggalan juga, ia begitu berat dengan takungan air mata. Membaca Lukanya Merah, menjawab sebahagian besar terhadap tanda tanya saya terhadap realiti perjuangan Muslim Selatan Thai. 

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung