Friday 12 September 2014

Menguji Setia - Bahagian Satu

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Ekstrak daripada majalah Mingguan Wanita.

Nota penulis : perjalanan emosi paling sukar untuk menghasilkan cerpen ini. Bersumberkan 'pillow talk'

Ruang tamu dengan sentuhan rona Inggeris daripada sofa, langsir, almari sehinggakan pinggan mangkuk antik di dalam almari sudut itu begitu berbahang petang itu.  Aiza masih belum mahu duduk.  Aida memaku di sofa, menunduk sambil sesekala menyeka air mata.  Dia menarik-narik  tangan kakaknya yang memerah wajah dan wajah tersiram cuka.

 Apabila Aiza menjegilkan mata kepadanya, barulah dia menghentikan laku merengnya.  Ombak amarah bermain di dada yang turun naik menahan sabar.  Zaid, adik lelaki mereka yang berbadan tegap tapi cengeng itu juga menyeka air mata dan air hidung yang sama lebat turunnya. Wajahnya semendung cuaca di luar.  Hanya Ziad yang belum letih, berganti-ganti menukar pandang kepada ketiga-tiga saudara tuanya itu.  Tidak betah dia melihat mereka tikam-menikam pandangan tetapi tiada keberanian di hatinya untuk memecah kebuntuan bicara di antara mereka.  Difahaminya ada sesuatu yang sangat penting semenjak dia semakin cuba belajar untuk faham dunia dewasa dan seputarnya. 
     
       “Baru tiga bulan, ayah.  Tiga bulan!”  Aiza bersuara sambil membelakangkan lelaki yang dipanggil ayah itu.  Dari belakang, kelihatan dia tertunduk-tunduk mengesat air mata dengan buku jari.  Lelaki itu juga pegun di sofa tetapi matanya bersinar galak, menahan sabar.  Bagaikan tidak sedikitpun terkesan dengan air mata anak gadisnya itu. 

            “Kau orang tak akan faham masalah ayah.”  Hanafi bersuara.  Tiga bulan bukan tempoh yang singkat untuk seorang lelaki seperti dia. 

Meski lirih, menimbulkan rasa jengkel bukan kepalang di nubari kedua-dua anak perempuannya.  Aiza membetulkan duduk kaca matanya sambil berpeluk tubuh.  Angin petang membawa resah alam menampar pipinya.  Langit akan menangis sebentar tadi, mengiringi tangisan mereka adik-beradik.

            “Ayah cuba tengok kat ruang tamu ni.  Ada yang kami alih?  Ada yang kami usik?  Tak ada ‘kan?  Kenapa pula ayah nak bawa orang lain masuk rumah kami nak ‘alihkan’ semua barang ni?”  Dentangan suara anak gadis sulungnya itu belum menunjukkan bahawa penurunan gema.   Hanafi menyapu mukanya sendiri.  Beberapa kali. 

            ”Ayah perlukan isteri.”  Akhirnya Hanafi mengaku.

            “Yang dalam penjara tu isteri ayah!”  Zaid tiba-tiba bangun dengan telunjuknya menghala ke arah pintu. 

Aida menggigit bibir.  Kejutan yang diberi ayah ini tidak tergambarkan.  Kalau ini dikira kejutan hari jadi, bukan lagu dan lirik sebegini yang dimintanya.  Wajah ibu yang terpercik duka saat menerima hukuman tiga bulan lepas masih bergentayangan di ruang pandang.  Sekejip  pejam tidak pernah terlupakan.  Meski tenang, air mata ibu menceritakan segala-galanya. 

            Zaid belum lupa lolongan Ziad yang memang rapat dengan ibu.  Malah Ziad, walaupun sudah boleh mengimamkan kakak-kakaknya dalam solat masih perlukan pelukan ibu ketika mahu melelapkan mata.  Mahukan tangannya melingkar di pinggang ibu sehingga terlelap.  Walaupun ibu selalu memiat telingannya kerana tidak betah mengenal huruf dho walaupun sudah di tahun tiga, Ziad tidak pernah ambil tahu.  Hari-hari seterusnya, dia tetap menyerahkan telingannya dengan rela.  Mereka, adik-beradik penuh yakin percaya yang ibu mereka tidak bersalah.  300 peratus. 

            Masih belum surut di bibir kedua-dua kakaknya cerita tentang ibu.  Cerita rindu mereka pada ibu tidak pernah surut.    Pada detik-detik awal ibu ditahan di Penjara Kajang, ayah selalu membawa mereka melawat ibu.  Berebut-rebut telefon semata-mata mahu mendengar suara ibu sehingga timbul rajuk dan rengsa rasa.  Resah rindu terlerai biarpun seketika.  Air mata ibu berbaur dengan air mata mereka, melampias rindu yang tidak terbendungkan.  Saban malam, masing-masing tidur bertemankan apa sahaja peninggalan ibu.  Ziad apatah lagi.  Masuk bulan kedua, ayah mulai menyenaraikan tugasan yang perlu dilunaskan setiap Sabtu.  Ayah mereka menyenaraikan alasan atau tundaan alasan yang pelbagai. 

            “Gaji ayah tak besar.  Hari Sabtu ajalah peluang ayah nak buat over-time.  Dulu ibu ada bantu kita…”  Ayah bersuara sambil mengusap kepala Ziad apabila adiknya itu merengek ingin berjumpa ibu seperti sebelumnya. 

 Dulu, ibu bukan sahaja membantu, malah kadang-kadang menggantikan ayah.  Apabila ayah keputusan belanja,  ibu menjadi tempat ayah meminjam duit.  Biarpun ibu tidak berkisah kerana redha dan dengan niat membantu suami, ayah sering mengingatkan dirinya bahawa dia akan membayar semula.  Meski ibu sekadar suri rumah tangga, ibu juga ligat dengan pelbagai bisnes kecil-kecilan, sekadar menambah tabungan di dalam kocek sendiri untuk membeli lauk-lauk istimewa untuk dihidang buat sang suami.

Ibu memang bukan isteri sempurna di mata ayah.  Ada beberapa perkara yang kurang ayah senangi pada ibu tetapi ibu tidak pernah mengeluarkan sebarang bunyi saat dikritik ayah di depan anak-anak.  Walaupun mereka tahu ibu terluka, ibu tidak pernah membicarakan jauh sekali memburukkan ayah di depan anak-anaknya. 

“Perempuan, bila dah berkahwin, syurganya dah pindah kepada suami.  Sebab tu, cari suami yang baik supaya lebih mudah lagi jalan kita ke syurga.”

“Ayah tak baik ke, bu?”  tanya Aida, tulus.  Ibu merenung wajah polos Aida saat mereka duduk bersantaian di belakang rumah.  Dengan kaki dimasukkan ke dalam longkang dan bersandar di dinding dapur.

“Baik. Sebab ayah baiklah ibu kahwin dengan ayah. Macam mana nak tahu seorang lelaki tu sesuai atau tidak dibuat suami?”  tanya ibu kembali.  Aiza menjongket bahu.

“Buat apa nak ambil tahu.  Orang bukan nak kahwin pun…” bangkang Aida membuatkan Aiza dan ibu menghamburkan tawa.

 “Lihat bagaimana adab ibunya dengan ayahnya.  Kalau ibunya bercakap menengking-nengking dengan ayahnya, tak beradab, ada kemungkinan dia juga tak pandai menghormati orang lain.”

            Kerana membantu ayah, ibu mengambil upah mengasuh budak.  Disebabkan membantu ayah, ibu merelakan diri dipenjara atas tuduhan cuai sehingga mendatangkan kecacatan kepada kanak-kanak yang diasuhnya.  Ketika hangat rentetan kisah kecuaian pengasuh dan kesengajaan untuk melampiaskan emosi kepada anak asuhan, ibu mereka terpalit sama.  Ibu di dapur, menyediakan hidangan tengah hari ketika Nadim terjaga daripada tidur di dalam buai.  Meniarap dan menggelupur tanpa menangis kemudian kepalanya menjunam mencium simen. 

Nadim,  anak kecil yang mungil bibirnya, manja dengan mereka semua, kini masih bergelut dengan maut kerana terjatuh daripada buaian.  Puas mereka merayu ibu bapa Nadim agar menarik balik dakwaan terhadap ibu, namun sia-sia.  Kekesalan yang tidak tergambarkan oleh Aiza dan Aida mahupun Zaid sendiri.  Di kala kesusahan, ibu mereka dicari, dirayu walaupun ibu sudah menyatakan ketidaksanggupannya.  Namun memikirkan Nadim yang tidak berdosa dan rezeki terpijak, ibu mengalah juga.  Zaid ataupun kakak-kakaknya tahu, semuanya tidak disengajakan ibu.  Tetapi ketentuan Allah dan dugaan tidak mengira pada siapa dan bagaimana akan diberikan kepada hamba-Nya. 

            Masuk bulan ketiga, belum sekalipun mereka menjenguk ibu mereka.  Tiba-tiba sahaja ayah pulang awal, tidak seperti selalu membawa berita bahawa seorang perempuan yang akan mereka panggil mama akan masuk ke dalam rumah tersebut.  Sekali petik jari sahaja.  Anak mana yang tidak sawan mendengarnya?  Walaupun Zaid lelaki dan memahami apa yang ayah maksudkan dengan memerlukan seorang isteri.



Untuk menyertai kelas asas blog dan penulisan kreatif, penulis boleh dihubungi terus di laman facebook atau whatsapp/SMS 011-19737269

1 comment:

  1. saya ada koleksi majalah ini. cerpen ini meninggalkan kesan. ermmm lelaki...hehehe

    ReplyDelete

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung