Saturday, 16 August 2014

Resensi: Memories of Our Mother, Patronaged by HRH Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah

Teks : Monalita Mansor 
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Alhamdulillah. Tamat bacaan pada pagi ini. Biografi setebal 176 ini ditulis oleh 29 orang profesional pelbagai latar termasuklah Duli Yang Maha Mulia, Sultanah Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. 

Apakah perkara pertama yang menarik perhatian saya? Gambar. Saat saya menyelak helaian demi helaian buku yang saya pinjam di PPAS Pekan Seri Manja ini, saya melihat banyak gambar-gambar yang semiotik, yang bercerita dengan sendirinya. Sudah tentulah gambar-gambar itu sangat lama, ada di antaranya sudah berumur puluhan tahun. Malahan, gambar-gambar hitam putih itu begitu memberi makna kepada pencinta sejarah seperti saya walaupun sekadar gambar di dalam studio.

Kedua, biografi ini sangat berinspirasi. Lebih-lebih lagi kepada wanita dan suri rumah tangga khususnya. Betapa, ada di antara mereka yang bertarung nyawa melahirkan sehingga 10 orang zuriat, berdepan dengan komplikasi. Ada juga yang tegar berdiri di belakang suami menyanggupi perjalanan merentas benua untuk mengubah nasib. Ada yang ditakdirkan meneruskan hidup tanpa suami di sisi dan menyembunyikan duka lara untuk memberi semangat kepada anak-anak. Tidak kurang juga yang sanggup berjauhan dengan suami demi tugas dan kerana anak-anak.

Sesuatu yang sangat sinonim ialah, kesemua mereka mempunyai pemikiran di luar kotak. Walaupun ada di antara mereka yang langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke institusi persekolahan formal. Pemikiran yang diterapkan di dalam generasi selepas mereka membuktikan pandangan jauh mereka. Pembawaan diri mereka, sikap mereka, mempengaruhi generasi selepas mereka. Tidak hairanlah, kebanyakan penulis biografi ini terdiri daripada mereka yang sudah berjaya. Di antaranya ialah Dato' Tom Abang Saufi, penulis dan motivator Shahreen Kamaluddin, kolumnis NST, Tessie Lim dan ramai lagi. 


Ketiga - kebanyakan wanita dan ibu yang dipaparkan di dalam biografi ini serba boleh. Biarpun tidak menjawat jawatan tinggi, kebanyakannya suri rumah mereka sangat serba boleh dan fleksibel. Namakan apa sahaja tugasan di rumah termasuk menjahit, menenun, memasak (sudah tentu) serta kemahiran lain, menyanyi, mengaji kesemuanya di dalam genggaman mereka. Malahan penulis dengan bangga menitipkan bahawa kebanyakan baju mereka ketika kecil dijahit sendiri oleh ibu mereka. Malahan juga, fesyen-fesyen yang digayakan oleh ibu-ibu mereka di dalam gambar yang bervariasi dan sangat 'up to date' ketika itu adalah hasil jahit mereka sendiri. Baik baju kurung, kebaya, sare, samfoo, sarung mahupun dres moden. 

Keempat - Saya suka menyarankan agar biografi ini dibaca oleh semua peringkat generasi. Ada terlalu banyak permata yang tidak terlihatkan di dalamnya. Anda akan temui kekuatan, anda akan temui cinta, anda akan temui air mata di sebalik sebuah nama yang kita panggil 'ibu', 'emak', 'mak' atau 'mummy'.

Al FATIHAH  DAN RIP untuk semua ibu-ibu di dunia. 



Mahu bersama-sama kami di kelas Asas Blog dan Penulisan?

hubungi penulis di facebook atau whatsapp : 011-19737269 
atau e-mel : monalitamansor@gmail.com

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung