Tuesday, 29 April 2014

Cik Tipah Jangan Tertipu - Bukan Untuk Kelab Jiwa Luka!

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Tajuk asal Kabus Rindu sebenarnya ialah Bondaku Besan Ratu. Terhasil daripada cita-cita besar penulisnya nak bermenantukan kerabat di raja. Berikut sebahagian sedutan;



“MANA bekal yang Mama suruh bawa tadi?  Habis tak?"  Suara mamanya  kedengaran dari arah dapur sebaik sahaja dia menolak pintu utama rumah.

“Ada dalam beg tu,”  Zaweeya meletakkan beg sekolahnya di atas meja makan.  Terus ke dapur.  Menyalami mamanya dan menjenguk apa yang ada di atas dapur.

“Habis tu, tak reti nak bawa ke sinki.  Basuh.  Nak tunggu benda tu jadi tempe dalam beg kau?”  Dush!  Satu tumbukan terasa mengena pipi.  Kalau Zaweeya tahu, tidak mahu dijawab soalan tadi.

“Besok, Mama tolong tapaukan tiga ya.  Ain dan Budiwatipun nak juga.  Mereka kata nasi lemak tadi sedap,” puji Zaweeya jujur. 

Bab memuji masakan mamanya, dia tidak pernah berbohong.  Sup ayam, biarpun sekadar bawang dan halia dicampak-campak ke dalam periuk, di tangan perempuan berasal dari daerah terkering di Malaysia itu menjadi sangat enak di tekaknya.

Tetapi bab menolong mamanya di dapur, dia awal-awal mengangkat bendera putih.  Memasak bukan kemahiran dan bukan juga kegemarannya.  Hanya Zareema dan Zakeeya yang mampu berlama-lama dengan mama di dapur.  Bila tiba gilirannya, setakat masak air, bolehlah.  Selain itu, dia lebih rela membantu papanya mencuci kereta.  Biarpun kadang-kadang Azhari juga membebel,  basuhannya juga tidak bersih.


 “KAU ni…aku tak fahamlah.  Kalau Keeya masuk asrama nanti, terkontang-kantinglah mama seorang-seorang kat dapur.  Kalau bab makan, kaulah orang yang paling laju,” marah Zareema ketika dia perlahan-lahan mengangkat punggung untuk meninggalkan ruang dapur.  Langkahnya terhenti.

“Diakan nak kahwin dengan anak raja.  Sebab tu dia berlatih dari sekarang.  Tak payah belajar masak.  Tak payah belajar mengemas.  Bila dah kahwin esok, rumah besar.  Susah nak kemas.  Suruh orang gaji kemas,” sindir Hidayati.  Zaweeya dengan muka selamba berdingkit-dingkit mahu meninggalkan ruang dapur.

“Mama rasa mama nak pulangkan dia balik pada mak angkat dia,” ujar mama mereka sambil membasuh pinggan di sinki.  Membelakangi mereka semua. 

“Yaya ada mak angkat, mama?  Kenapa?  Kenapa Mama tak bela dia?  Dia jahat sangatkah masa kecil dulu?”  Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Zakeeya. 

Satu berita baru yang baginya sangat mengejutkan.  Zareema yang sedang mengeluarkan bahan-bahan basah untuk dimasak dari peti aispun menghentikan perbuatannya.  Tekun untuk mendengar penjelasan.

“Ha’ah, mama tak pernah cerita dengan Reemapun.  Sejak bila pula Yaya ada mak angkat?”  Zareema menarik kerusi dan duduk berhampiran Zakeeya yang mengupas bawang merah.  Zaweeya juga berpaling semula.  Letusan kata dari mulut wanita itu bagai bom jangka.  Meledakkan debaran maha hebat di hati.

“Ada.  Dah lama mama simpan rahsia ni.  Mama ingat nak beritahu kemudian.  Sebab Reema dah ungkit, biar mama cerita,”  Hidayati berpaling.  Terpamer kerut duka di wajahnya. 

Dengan wajah penuh dramatik merenung ketiga-tiga anak gadisnya.  Ketiga-tiga gadis itu juga merenungnya dengan penuh harapan.  Sinar mata masing-masing bagai tidak sabar menanti luahan kisah benar dari mulut mama mereka.

“Kenapa Mama?  Kenapa Mama berikan Yaya pada orang lain?  Kita susah sangatkah masa tu?”  Zareema bertanya dengan nada sedih. 

Manalah tahu saat dia membesar, ada kesusahan yang melanda keluarga.  Yang dia sendiri ingat-ingat lupa.  Ataupun Zaweeya memang jenis anak yang ’panas’,  Tidak serasi dengan ibu sendiri.  Kebiasaan orang-orang Melayu dahulu, menyerahkan anak kepada orang lain untuk ’diangkatkan’ atau ditukar nama agar anak itu kembali sihat.  Sehinggakan dia diserahkan kepada orang lain untuk dijaga.  Tetapi, kenapa sekejap sangat?  Seingatnya pula, sepanjang hidupnya tidak pernah pula Zaweeya hilang dari pandangan matanya.

“Betul, kau orang semua nak tahu ni?”  Hidayati tersenyum simpul. 

Dalam hati sudah tidak mampu menahan kelucuan yang menggigit tangkai hati.  Melihat gelagat tiga anak gadisnya yang bermuka cemas.  Kenyataan yang  mereka saling menyayangi memang ketara jelas.  Mengongsi kisah duka saudara tengah mereka itu.

“Mak angkat Yaya ada dua orang…”

“Ramainya…,” sampuk Zakeeya. 

Zaweeya meletakkan jari telunjuk di bibir.  Meminta Zakeeya agar tidak menyampuk.  Rasa ingin tahu tentang kisah duka masa silamnya membuak-buak.

“Seorang namanya Siti Fernleaf.  Seorang lagi Siti Dutch Lady,”  Hidayati  bersuara lirih.  Sedih benar.

Zakeeya, Zaweeya dan Zareema berpandangan sebelum ketawa Zareema pecah.  Tidak tertahankan.  Terhinggut-hinggut bahunya.  Air mata spontan keluar mendengar mahakarya lawak mamanya.

“Kenapa nama dia pelik sangat?  Mak angkat Yaya tu orang Inggeriskah, mama?”  Zakeeya bersuara kembali.  Ketawa Zareema dan Hidayati yang baru reda, menjungkit kembali.  Wajah Zaweeya sudah mencuka.

“Ya, seorang dari New Zealand.  Seorang lagi dari Belanda. Sebab tu, tiap kali mama panggil, dia jawab mmmm…”  Zaweeya terus bangun meninggalkan mereka.   Hendak dimarah, mama.  Hendak dipulas telinga, seorang kakak dan seorang adik.  Dengan hati yang berapi, dia meninggalkan ruang dapur yang terasa membahang itu.

Ketawa Hidayati dan Zareema sudah disertai sekali dengan ketawa Zakeeya.  Setelah diberitahu Reema identiti sebenar ibu angkat Zaweeya tadi.  Hidayati menahan perut yang senak akibat ketawa.

Antara faktor kedegilan anak-anak adalah kerana tidak disusukan dengan susu ibu semasa kecil.  Akibatnya, anak-anak mengikut perangai lembu yang sukar mendengar kata.  Pencerahan itu didengar Hidayati dari sedutan siri Motivasi Pagi di Radio Ikim. Dibicarakan oleh Ustaz Haslin atau penceramah yang mendapat jolokan Ustaz Bollywood kerana keunikan cara penyampaiannya.  



Nota : Awalan 'swa' bermaksud sendiri - swadaya - daya sendiri

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung