Monday 28 April 2014

Kabus Rindu Bukan Cerita Hantu, Cik Bedah!

Please, don't judge her by it's cover....
Teks: Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi.

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Nak menangis mak...bila ada respon kata Kabus Rindu ni cerita hantu, bila diamati daripada kaver. Itu belum lagi yang kata novel ni novel jiwang. Saya perturunkan sedikit sedutan bab-bab dalam Kabus Rindu dan anda nilai sendiri ya.



1


“YAYA…!”

Tempikan kali kedua yang mengegar seluruh maya membangunkan Zaweeya keseluruhannya.  Tiada terpisat-pisat.  Tiada terpinga-pinga.  Bangun dan duduk di atas katil.  Bugar mata dan segar senyumnya menunggu kehadiran si penempik.  Biarpun rambutnya tidak ubah seperti lepas dikucai kucing.  Dalam kiraan tiga, mamanya yang disayanginya itu muncul di muka pintu.  Wajahnya manis biarpun sebentar tadi tempikan naga dari susur galur naga Tasik Bera menggegar seluruh isi rumah dua tingkat itu.

“Yaya tak nak pergi sekolahkah?  Sekarang dah pukul berapa?”  Hidayati bertanya lirih, selembut bayu pagi.

“Hari ni hari minggu.  Nanti bila kita pindah ke Kelantan, baru mama kejut ya,”  ujar Zaweeya tersengih-sengih. 

Mamanya tidak menjawab dan terus sahaja keluar dari bilik.  Tidak lama kemudian, dia masuk semula.  Kalendar ehsan bank yang diterimanya awal tahun lalu dicampakkan di atas katil.  Zaweeya mengelak lagak pesilat yang kehilangan bunga.  Hampir mahu melatah.

“Memang hari minggu.  Tapi tiga hari yang lepas.” 

Telunjuk Hidayati lurus ke arah tarikh hari ini.  Zaweeya tahu fiil mamanya.  Selagi dia tidak berganjak dari katil bujang itu, selagi itu mamanya akan bercekak pinggang di situ.  Malas-malas, dia bangun juga.  Kenapalah setiap hari perlu ke sekolah.  Kenapa tidak diselang sehari sekalikah.  Sebulan sekalikah.  Lebih baik lagi setahun sekali! 

Sebaik sahaja dia keluar dari bilik air, sangkanya tentulah wanita itu sudahpun turun ke bawah.  Menyanyi-nyanyi menyiapkan sarapan pagi.  Mamanya memang suka menyanyi di dapur.  Sebab itulah dapat suami tua.  Empat tahun lebih tua.  Papanya sahaja yang tidak suka mama menyanyi di dapur.  Kerana menurutnya, dia tidak dapat membezakan sama ada mama menyanyi atau menangis.

Tetapi, rupa-rupanya mamanya masih lagi tegak bak patung cendana berhampiran katilnya.  Mama bersandar di dinding berwarna biru muda yang tidak pernah ditukar catnya semenjak mereka berpindah masuk ke rumah itu.

“Apa lagi, mama?”  Rengek Zaweeya.

“Mama paling pantang kalau orang bangun dari tidur terus buat kerja lain.  Tempat tidur tu kemas dulu.  Selimut tu lipat elok-elok.  Bantal tu letakkan di tempatnya.  Kau tu perempuan.  Nanti dah…”

Hidayati menjeling sebuah lagi katil bujang yang dipisahkan dengan katil Zaweeya oleh meja belajar berwarna coklat.  Katil itu sudahpun dikemaskan.  Zakeeya bangun awal pagi kerana lokasi sekolah rendah agak jauh dari taman perumahan mereka, maka dia ke sekolah dihantar papanya.

Dahulu, Zakeeya dan Zaweeya tidur berkongsi katil.  Tetapi Zakeeya selalu merungut, saban pagi kaki Zaweeya akan mendarat di atas mukanya setiap kali dia tersedar dari tidur.  Untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk, Hidayati  meminta papa mereka  mengasingkan kedua-dua mereka.


Mak-mak, boleh beli untuk anak-anak, terutama untuk anak remaja.
Mak-mak yang rindukan kawan-kawan lama atau nak menyelami rasa jatuh cinta pada umur 40-an, boleh juga baca.
Cikgu-cikgu, Kabus Rindu boleh digunakan di dalam kelas untuk P&P Bahasa Melayu.
 
Dapatkan Kabus Rindu di sini sepanjang Pesta Buku berlangsung
 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung