Sunday, 8 December 2013

Menyaksi Sungai Pahang 'mengaum' di Temerloh

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

MasyaAllah.  TabarakAllah.  Berjumpa juga dengan ayahanda dan bonda.  Bumi Mentakab basah menyambut kepulangan kami anak beranak.  Sebaik beg diletak, kedua-dua anakanda puteri saya kerahkan ke dapur.  Terberenyutlah muka masing-masing.  Saya arahkan seorang demi seorang, potong itu, kupas ini, kerat ini.

"Petang ini ada acara."  Gesa saya.   Maka dengan berkat gotong-royong kami anak beranak, siaplah seperiuk tom yam kegemaran mak tanpa ayam.  (mak tak boleh makan ayam).  Bergotong-royong pula kami anak beranak menghabiskan tom yam dimakan dengan yee mee.

Selepas Asar, kami sekeluarga bersama ayah menghala ke Temerloh.  Janji ayah, hendak membelanja kami sate Taman Rimba.  Dakwanya enak benar.  Saya dan suami, diam sahaja. Ayah nak habiskan masa dengan cucu-cucunya yang hanya empat itu.  Biarlah.

Kenderaan terus dipandu menghala ke Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah.  Menonton wajah Sungai Pahang yang mengaum.  Kg Buntut Pulau juga sudah hilang buntut.  Kemudian, kami terus menghala ke Lurah Semantan, ada semacam pesta banjir di sana.  Malah di kawasan larangan masuk, kanak-kanak sedang enak bermain air.
Termangu sekejap saya.

Puas menyibuk di dalam kesibukan manusia, kami terus kembali ke rumah menggunakan jalan lama menuju bandar Mentakab.  Kiri-kanan, kawasan rendah sudah mula dinaiki air.  Sebaik tiba di bandar Mentakab,azan Maghrib berkumandang dan kenderaan meluncur laju menuju Taman Rimba.  Malang, arang membakar sate baru sahaja dihidupkan.

Begitupun, tidaklah terkilan sangat kerana hidung sudah dicucuk-cucuk bau durian D24 berharga RM8.00 sekilo.  Kalau tak kenangkan 'sekali-sekala' memang ambil bau sahaja agaknya.








No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung