foto : Carian Google |
PENGENALAN
Data
enrolmen pelajar antarabangsa di IPTS dan IPTA pada tahun 2010-2011 menunjukkan
bahawa berlaku peningkatan kemasukan pelajar asing yang merupakan agen penyebar
maklumat mengenai Malaysia, bahasa budaya dan cara hidup komuniti ke seluruh
dunia. Kehadiran mereka tidak dapat tidak memaksa mereka memahami bahasa Melayu
yang merupakan bahasa rasmi Malaysia sebagai wahana atau pemudahcara untuk
memudahkan kehidupan seharian mereka.
Kekangan
daripada Kamus Dewan Edisi Empat membawa maksud halangan atau had mahupun
sekatan yang menidakkan sesuatu itu berlangsung seumpama aliran air sungai yang
dibenteng daripada mengalir terus, sudah tentulah menimbulkan masalah di
sebelah hilirnya. Pelajar asing adalah
merujuk kepada pelajar daripada luar Malaysia yang mendapatkan ilmu sama ada di
IPTS atau IPTA di serata tanah air.
OBJEKTIF
Objektif
kajian ini adalah untuk mengenal pasti sejauh mana kemahiran penggunaan kemahiran
bertutur bahasa Melayu diaplikasikan oleh pelajar asing di Malayisa. Dalam masa yang sama, ia juga bertujuan untuk
meninjau kekangan-kekangan yang wujud sama ada secara nyata atau tidak yang
menjadikan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca di
kalangan pelajar asing tidak berjaya.
Hasil daripada kajian ini dapat dijadikan kayu pengukur untuk
mengenalpasti faktor-faktor perekat yang menggagalkan pelajar asing untuk menguasai
kemahiran Bahasa Melayu iaitu membaca, mendengar dan bertutur di dalam Bahasa
Melayu dengan baik.
Di
antara faktor yang diperincikan di dalam kajian oleh Fa’izah, Zamri dan Mohamed
Amin (2009) ini ialah faktor dalaman
iaitu kemanusiaan dan faktor luaran seperti persekitaran dan teknik pengajaran
dan latihan. Faktor dalaman adalah
merujuk kepada keberadaan pelajar itu sendiri yang gagal menyerap ilmu tersebut
dengan baik ataupun kegagalan pensyarah atau tenaga pengajar mengaplikasi
teknik yang betul dalam menyampaikan pengajaran. Faktor luaran pula boleh dikatakan ialah
lingkungan masyarakat sekitar mereka yang tidak menggunakan kemahairan bahasa
Melayu dengan betul sama ada menggunakan bahasa rancu ataupun menggunakan
bahasa Inggeris sepenuhnya. Faktor lain,
yang juga memberi kesan ialah teknik pengajaran dan latihan yang tidak
konsisten atau tidak bersesuaian dengan mereka menjadikan mereka semakin sukar
memahami apa yang ingin disampaikan.
DAPATAN
Dapatan
daripada kajian ini telah menggariskan sebelas (11) penyebab utama yang menjadi
kekangan utama bagi pelajar asing menguasai kemahiran bertutur bahasa Melayu. Di bawah dua sebab di atas iaitu sebab dalaman
dan sebab luaran disenaraikan pula sebab-sebab yang lebih terperinci yang
menjadi punca masalah ini. Di antara yang disenaraikan oleh 10 orang responden
yang dipilih secara teknik temu-bual itu ialah faktor dalaman seperti sikap,
perasaan malu, tiada motivasi, masalah sebutan dan faktor luaran seperti,
gangguan bahasa ibunda, budaya, umur tenaga pengajar, kekurangan latihan dan
situasi persekitaran.
Pertama,
berdasarkan reaksi responden ialah
masalah sikap pelajar asing itu sendiri yang lebih gemar berkumpul di dalam
kelompok penutur jati bahasa ibunda mereka sendiri. Tiada percampuran dengan pelajar tempatan
yang berpengalaman bertutur di dalam bahasa Melayu di dalam kelas. Padahal, percampuran secara sihat di antara
pelajar asing dan pelajar tempatan sebenarnya memberi kesan simbiosis buat
kedua-dua pihak. Menurut responden,
sikap negatif tersebut mendorong pula untuk mereka bereaksi pasif dan
mempelajari bahasa Melayu hanya di dalam kelas dan tidak mempraktisnya di luar
kelas.
Berdasarkan
dapatan kajian tersebut didapati pelajar asing cenderung merasa malu atau lebih
tepat lagi rendah diri dengan pelajar lain yang kelihatannya lebih hebat
daripada mereka. Apabila merasa rendah
diri maka keyakinan diri akan menurun menyebabkan pelajar seterusnya hilang
motivasi dan berusaha pula untuk mengelakkan diri daripada situasi tersebut.
Ini yang dinyatakan oleh responden kajian sebagai pensyarah apabila ada
ketikanya apabila tiba giliran mereka membuat pembentangan, mereka meninggalkan
kelas.
Dapatan
seterusnya memperlihatkan bahawa gangguan bahasa ibunda juga adalah salah satu
faktor luaran di mana responden kajian memberitahu bahawa pelajar akan lebih
menguasai bahasa Melayu sekiranya terdapat kesamaan di dalam aksara bahasa,
mereka lebih mudah menguasainya.
Faktor
ketiga yang dikaitkan dengan kegagalan pelajar asing menguasai kemahiran
bertutur di dalam bahasa Melayu dengan baik ialah faktor luaran iaitu faktor
budaya. Responden seterusnya memberitahu
bahawa pelajar dari Asia Barat lebih cenderung berbahasa Arab atau Inggeris
berbanding dengan pelajar dari Asia Tengah seperti India atau Bangladesh.
Menurut responden ini berlaku budaya di Asia Barat lebih menekankan pemerkasaan
bahasa Arab itu sendiri di samping bahasa Inggeris dan bukan bahasa asing
selainnya.
Halangan
seterusnya yang dikenalpasti ialah faktor umur. Dapatan ini dikuatkan lagi oleh
hujah Maimunah dan Faridah (2003) dalam Atiah dan Ramlah (2003) yang mengatakan
salah satu ciri pelajar asing yang boleh menjayakan P&P bahasa adalah umur
yang menentukan proses kematangan mereka berfikir. Kebiasaannya ia berlaku bagi pelajar
yang berumur melebihi 20-an ke atas. Tambah responden lagi, umur juga boleh
merupakan penyebab pelajar sukar menyebutkan konsonan yang tiada di dalam
bahasa mereka berikutan faktor sebelumnya iaitu cenderung menggunakan bahasa
ibunda.
Berikutan
dengan kecenderungan menggunakan bahasa ibunda, maka timbul pula masalah
sebutan yang menjadi faktor kekangan yang seterusnya. Responden menegaskan
masalah sebutan sangat ketara berlaku di kalangan pelajar asing China yang
sukar mengucapkan bunyi ‘r’ kerana bunyi
itu wujud di dalam skala yang sangat kecil di dalam bahasa mereka. Ditambah
lagi, skala yang kecil itu pula berbeza fiturnya daripada segi fonetik dengan
fitur getaran dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan perbezaan lain seperti
/d/ dengan /t/ atau /b/ dengan /p/ yang nyata terlihat di dalam sistem
pengejaan kata-kata tertentu.
Beralih
pula kepada faktor luaran yang menjadi kekangan kepada pelajar asing iaitu
program latihan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa peruntukan masa atau waktu P&P yang
ditetapkan oleh sesuatu program menjadi ban penghalang kerana hanya satu
semester dan merupakan masa yang sangat singkat. Ini diakui sendiri oleh pelajar asing yang
mengikuti kursus PHD yang mengatakan bahawa dia memerlukan dua atau tiga kursus
sekurang-kurangnya untuk membantu beliau menguasai bahasa Melayu sedangkan satu
semester hanya memperuntukkan 14 minggu pengajian sahaja.
Dengan
itu dapat dikatakan bahawa faktor latihan yang singkat menjurus kepada sukarnya
pelajar asing menguasai kemahiran berbahasa Melayu kerana terikat dengan
komitmen pengajian yang ketat. Ditambah lagi mereka tidak mempunyai tempat atau
persekitaran yang tepat untuk membuat latihan.
Persekitaran mereka dikelilingi oleh penutur bahasa ibunda ataupun
penutur tempatan yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Jadi,
tempat latihan mereka terhad hanya di dalam kelas sahaja.
Faktor
akhir yang dikenalpasti mendorong kepada kesukaran pelajar asing menggunakan
kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu ialah persekitaran mereka sendiri.
Responden menyatakan bahawa, persekitaran yang tidak memihak kepada bahasa Melayu
sedikit sebanyak melayukan proses latihan pelajar asing untuk bertutur di dalam
bahasa Melayu sendiri.
Ia
berlaku sama ada masyarakat sekitar menggunakan bahasa Inggeris untuk
berkomunikasi dengan mereka ataupun menggunakan bahasa rancu seperti bahasa
pasar, bahasa basahan, bahasa dialek yang sudah tentu tidak dapat difahami
mereka. Ini dikuatkan lagi dengan kajian Siti Saniah (2012) yang mengatakan
bahawa persekitaran pembelajaran tidak membantu para pelajar asing
mempraktiskan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu di Malaysia.
KESIMPULAN
Sebagai
itlakannya dapatlah dikumpulkan bukti bahawa kekangan yang dihadapi oleh
pelajar asing untuk mempelajari atau mempraktiskan kemahiran bertutur di dalam
bahasa melayu tidak akan berjaya selagi faktor-faktor dalaman seperti sikap,
masalah sebutan, budaya, malu, gangguan bahasa ibunda dan masalah luaran
seperti kaedah pengajaran, tenaga pengajar dan persekitaran tidak dicari
solusinya.
Sehubungan
dengan itu, kelemahan-kelemahan ini harus ditangani demi memastikan matlamat
untuk membolehkan pelajar asing menguasai kemahiran asas berbahasa melayu demi
memastikan kelangsungan hidup sosial mereka berjalan dengan lebih baik dan
tidak menimbulkan masalah lain pula.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D