Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi
Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.
Setelah menceritakan perbezaan fizikal cerpen dan novel, izinkan saya berkongsi sifat-sifat hakiki cerpen yang membezakan ia dengan novel. Boleh? Kalau info ni tak cukup, harap bolehlah kalian mendapatkan bantuan pak cik Google dan guru-guru penulisan lain melalui blog atau apa juga wacana ilmu mereka ya.
Al maklum sahaja, saya ni hamba Allah yang dhaif. Ilmu yang ada ni hanya saya peroleh daripada pengalaman pembacaan dan pemerhatian yang sudah tentulah tidak bersifat teknikal dan faktual. Saya fikir, asal boleh dikongsi, sudah.
Perhatikan dua perenggan tersebut dan jawab di ruangan komen yang mana satu cerpen dan yang mana satu novel.
(a)
Gadis itu tersenyum. Sekilas aku memandang tanda nama di dadanya yang tertutup rapi dengan tudung berbilang warna. Berkerut dahiku. Seakan nama itu sangat biasa di minda ini. Aku membalas senyumnya, lantas menyatakan asbab tujuanku. Dia mengangguk. Seolah-olah sudah maklum dan terus bangun, meminta aku mengekorinya menuju ke satu arah.
(b)
Gadis itu tersenyum. Bibir yang dioles dengan warna kusam itu masih menarik. Sekilas dia memandang tanda nama gadis itu. Wan Rania. Berkerut dahinya. Dipandangnya sekali lagi tanda nama pada tudung perempuan itu yang berbilang warna. Nama Wan Rania menarik ingatannya pada sebuah memori yang berlari jauh ke belakang. Belakang sebelum dia menjadi dirinya sekarang. Gadis sunti pengawas perpustakaan yang tegas. Gadis sunti yang tidak mengampunkannya walaupun dia hanya terlambat sehari menghantar buku yang dipinjamnya. Lebih daripada itu, memang disengajakan kerana dia tahu, Wan Rania bertugas pada hari itu.
"Rania." Halus bicara terluah daripada bibirnya.
"Saya...encik...?"
"Saya nak jumpa Encik Khairul." Tergagap-gagap dan tersasul-sasul dia menyusun bicara, sehinggalah sebaris ayat lengkap dan jelas diucapkan. Rania yang menyedari tetamu di depannya sedang tergamam, segera bangun. Dia memaniskan muka, sebelum memohon izin untuk menunjukkan arah bilik Encik Khairul.
Pada entri yang akan datang, kita bercerita lagi. Untuk anda yang berminat menyertai kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif, pm untuk maklumat lanjut di facebook ya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D