Gambar : Carian Google
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Apabila bercakap soal perancangan kewangan rumahtangga, maka lintas fikir kita akan segera membayangkan sebanyak mata nilai wang yang harus kita masukkan di dalam belanjawan bulanan kita. Bagaimanapun, ilmu bantu seperti mengetahui hak-hak kita sebagai pengguna sebenarnya juga memberikan sumbangan dalam langkah penjimatan belanjawan rumahtangga.
Beberapa hak pengguna yang perlu kita ketahui ialah;
Hak Mendapat Keperluan Asas
Kita bebas untuk memiliki dan menentukan barang atau perkhidmatan yang diperlukan berdasarkan keperluan, kemahuan dan kemampuan kita termasuk makanan, pakaian, tempat kediaman, pendidikan dan kesihatan.
Hak Membuat Pilihan
Hak mendapatkan maklumat yang benar, nilai yang baik, kualiti yang berpatutan bagi barangan atau perkhidmatan tersebut. Kita sentiasa perlu berhati-hati semasa membuat pilihan.
Lakukan urusniaga di tempat yang menawarkan produk dan kualiti barangan yang diakui, walaupun tak semestinya di tempat yang gah.
Hak Untuk Mendapat Gantirugi
Adalah menjadi hak kita untuk mendapatkan gantirugi sekiranya berlaku kecacatan pada produk atau perkhidmatan yang diberikan. Jika ia menimbulkan kerumitan maka kita berhak untuk tampil secara bertulis atau mengadu kepada pihak berkuasa.
Hak Untuk Mendapat Maklumat.
Dengan hak sebegini, kita dapat melindungi diri daripada penipuan dan penyelewengan sebagai alternatif kepada kita sebagai pengguna untuk membuat pilihan. Dengan mengetahui hak ini, kita mempunyai akses untuk berfikir secara matang sebelum berbelanja.
Hak Untuk Mendapat Barangan dan Perkhidmatan Selamat
Antara langkah yang boleh dipraktiskan ialah;
- beli barangan kesihatan di farmasi yang diluluskan.
- patuhi arahan dan langkah keselamatan yang telah disyorkan
- baca dengan teliti label pada produk makanan
- elakkan makanan dalam tin yang kemek dan berkarat
- seboleh-bolehnya beli makanan yang segar tanpa dipengaruhi bahan pengawet
- lapor segera kepada pihak berwajib seandainya wujud kes keracunan makanan atau premis makanan yang kotor
- beli peralatan elektrik yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga yang mempunyai tanda ST dalam bentuk label atau cetakan. Juga kedapatan label SIRIM sama ada dalam tulisan 'MS', 'S' atau SIRIM Listed Products.
- Khidmat lepas jualan diberikan beserta guarantee dan warranty apabila anda membeli
Hak Untuk Menyuarakan Pendapat
Hak untuk bersuara sebagai pengguna sama ada melalui individu ataupun saluran sah seperti Persatuan Pengguna
Hak Untuk Mendapatkan Pendidikan Pengguna
Ini adalah inisiatif anda sendiri sebagai perlindungan kendiri tetapi tiada siapa boleh mengatakan tidak jika anda ingin menyertai bengkel-bengkel membabitkan seminar kepenggunaan, pameran, membaca majalah atau terbabit secara langsung di dalam aktiviti kepenggunaan.
Hak Untuk hidup Dalam Alam Sekitar yang Menjaminkan Kesihatan
Pengguna atau kita berhak untuk memberi sokongan kepada apa juga aktiviti pemuliharaan alam sekitar sama ada di peringkat individu ataupun masyarakat.
Maklumat diperolehi daripada risalah 'Hak-Hak Pengguna, Ketahui Hak Anda' oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D