Saturday, 2 November 2013

Ulasan Buku Kuasa Kata, dari lisan mengalir ke lautan aksara, Mahaya Mohd Yassin

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Memoir dalam pengertian Kamus Dewan Edisi 4 bermaksud biografi atau karya berasaskan kenang-kenangan seseorang tentang pengalaman atau peristiwa di dalam hidupnya.   Terkini, buku Kuasa Kata, dari lisan mengalir ke lautan aksara, tersenarai di antara lima buku Kategori Pilihan Penonton yang mendapat undian terbanyak dalam Anugerah Buku PNM-RTM 2013 yang baru berlangsung.

Buku ini ditulis oleh Mahaya Mohd Yassin, pendidik yang mengakhiri tugas rasminya sebagai Pensyarah Cemerlang di Maktab Perguruan Raja Melewar Seremban.  Kecintaan terhadap bahasa dan sastera terpupuk sejak zaman kanak-kanak bermula daripada letusan prosa-prosa klasik daripada bibir bondanya dan didikan ayahanda yang begitu setia pada bahan bacaan.

Buku ini boleh dikatakan sebagai panduan lengkap pengajaran bahasa dan pendidikan awal kanak-kanak.  Begitu banyak kisah pahit maung sebagai pendidik, cabaran dan dugaan, sinis dan sindir yang memberi inspirasi buat sesiapa yang membacanya.  Betapa perjuangan seorang wanita bergelar ibu, isteri, anak, pendidik perlukan semua sumber kekuatan, luaran dan dalaman.  

Beliau yang masih aktif di dalam Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), menggunakan keampuhan beliau bermain bahasa dengan melarik melodi indah dalam bentuk tulisan menceritakan suasana kampung tempat tanah tumpah dan membesar.  Liuk lentuk pokok padi dan kegeruhan banjir bagai tergambar di ruang mata apatah lagi bagi anak Negeri Sembilan yang biasa dengan persekitaran Tanjung Ipoh, Kuala Pilah.

Kisah-kisah yang dinukilkan di dalam buku ini berdasarkan bab-bab sangat menyentuh rasa.  Terutama pada pengkisahan awal zaman persekolahan.  Tentang guru-guru sekolah berbilang bangsa yang gigih mendidik murid-murid dengan penuh rasa tanggungjawab.  Tentang momen-momen manis bersama bonda yang melantunkan syair dan gurindam meleraikan rasa bosan anak-anak kecil sepertinya ketika itu.  

Terlalu banyak dan terlalu indah. Lebih-lebih lagi perjalanan berkarya saya hampir mirip dengan perjalanan beliau sewaktu kecilnya, sudah tentu buku ini mengakrabkan lagi saya pada kenangan lalu.  

Tetapi, saya tertarik dengan petikan ini;

Perpindahan PEN ke pejabat baharunya itu sebenarnya melakar sejarah yang tersendiri.  Perpindahan yang meninggalkan dampak yang bukan sedikit buat kami sekeluarga.  Masakan tidak, kami sudah memulakan konsep small office home office (SOHO) atau 'pejabat di rumah sendiri' sejak tahun 1985.  Kini, konsep ini semakin popular kerana praktikal.


Meskipun hari bergerak menghampiri tahun hijrah yang baharu, kelas Asas Blog masih galak bersiaran dengan konsep berkongsi ilmu, berkongsi rezeki.

Bagaimana kami mempraktiskannya?  Hubungi saya di monalitamansor@gmail.com untuk keterangan lanjut atau pm Monalita Mansor di facebook.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung