Sunday, 20 September 2015

Rangka Dan Cerita


Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.

Merangka plot atau draf DENGAN menulis kreatif adalah dua perkara yang berbeza. Hasil ‘rangkaan’ kita itu digelar draf. Draf pula akan melalui beberapa proses kreatif, barulah ia akan digelar cerpen, puisi, novel dan sebagainya.
Anda tentu pernah membaca kan, ada penulis-penulis tersohor melakukan proses edit beratus-ratus kali sebelum berani mengenengahkan hasil karyanya.
Anda tak boleh dakwa diri anda penulis hanya berdasarkan kemahiran anda membuat draf. Kemudian anda tulis berjela-jela dengan bahasa draf. Pada akhirnya, anda dakwa ia sebagai karya kreatif seperti yang tersebut di atas.
Contoh draf :
Contoh 1
saya dalam perjalanan ke pusat belia. Dalam perjalanan, saya sakit perut. Sakit perut saya kuat sangat.
tapi bukan sakit nak ter……. Tapi sakit lain. Saya berhenti di tepi jalan. Saya ambil telefon. Saya telefon kakak saya. Kakak saya pergilah klinik. Saya tanya klinik mana. Kakak kata, Klinik Bandar.

kemudian anda tulis begini :
Contoh 2
Saya dalam perjalanan ke pusat belia. Dalam perjalanan, saya merasa sakit perut yang amat sangat sehingga saya rasa hendak menangis tetapi saya tidak menangis. Tapi, sakit perut saya itu bukan sakit hendak ter…. Sakitnya macam kena cucuk-cucuk. Saya pun berhenti di tepi jalan dan mengambil telefon bimbit ZenPhone2 yang dihadiahkan oleh ayah saya pada minggu lepas kerana lulus periksa lalu menelefon kakak saya yang tengah lepak di kafe kat kolej dia. Kakak saya suruh pergi ke klinik tempat klinik keluarga yang biasa mak dan ayah pergi kalau saya atau kakak demam atau sakit.

Contoh 3
Semasa di dalam perjalanan menuju ke pusat belia, saya sudah merasakannya. Ada sesuatu yang aneh di dalam perut. Sepertinya ada pisau tajam yang menikam-nikam tali perut. Kesakitannya bisa sekali. Ia merengat-rengat dan menyebabkan sendi terasa lemah. Ia seperti menyerang ke seluruh tubuh sehingga peluh-peluh kecil merenek di dahi.
Langkah saya menjadi perlahan. Adakalanya terhenti terus apabila tali perut saya seperti dipulas dan diperah. Saya berhenti dan bersandar di dinding perhentian bas. Dengan tangan yang menggigil-gigil, saya meraba perut beg. Saya keluarkan telefon bimbit dari dalam beg.
“Kau pergi Klinik Bandar, sekarang,” arah kakak saya sebaik saja mendengar aduan saya yang payah.



Contoh 1 ialah draf
Contoh 2 ialah draf juga tetapi saya pernah jumpa dimajukan untuk sebuah antologi cerpen
Contoh 3 ialah draf yang dimurnikan untuk kali pertama. 

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung