Friday, 18 July 2014

Belasungkawa MH17

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Tepat jam 4.45 pagi sewaktu kami sedang baru bersila menghadap hidangan sahur, media arus perdana melaporkan berita tragedi MH17 di Ukraine berhampiran sempadan Russia. Saya besar-besarkan biji mata, dengan harapan, ada perkembangan terbaru mengenai MH370. Namun rupa-rupanya pandangan saya tidak silap, kaca televisyen memaparkan MH17 bukan 370.

Allah hu Akbar.

Serentak dengan itu, pelbagai catatan, doa dan spekulasi berlegar di laman maya terutama facebook. Ramai yang mengungkapkan ini sebagai antara dugaan Ramadan terbesar setakat ini. Belum lagi spekulasi tentang berpulangnya ulama tersohor negara, Tuan Guru Nik Aziz yang ternyata TIDAK BENAR. 

Entri ini tidak mencatatkan berita, sekadar sebuah diari menyimpan info-info pada masa kejadian itu berlaku. Pesawat tersebut berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur dan membawa 280 penumpang bersama 15 orang kru. Spekulasi yang berlegar ialah pesawat malang itu ditembak dan tidak sempat memasuki ruang udara Russia. Itu spekulasi, buat masa ini.

Buat orang awam seperti saya, Allah sedang mengirimkan ingatan kerana ingin hamba-Nya terus menghantar doa, merintih, merayu memohon kekuatan hati menerima dugaan. Allah ingin lontaran suara mengalunkan bacaan suci bersemarak di bulan yang mulia ini. Allah ingin setidak-tidaknya serangkap Al-Fatihah meniti di bibir hamba-Nya yang biasanya hanya diungkap saat menunaikan solat 5 waktu. Allah ingin kita kembali. Allah ingin kita kembali pada-Nya.

Buat keluarga yang terlibat, percayalah ketentuan ini sudah siap tertulis, lama dahulu. Mereka pergi dengan membawa ingatan tentang kematian, tentang kehilangan yang akan berlaku pada sesiapa juga. Sahabat, renungkan sejenak tentang hakikat kehilangan ini. Hindarkan diri sebentar dari keriuhan maya, basahkan wajah dengan wuduk, lakukan dua rakaat solat sunat taubat dan dalam sujud terakhir, mohon keampunan buat diri sendiri dan mereka yang terlibat. Anda akan temui sesuatu. Insya-Allah.





No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung