Sunday, 14 September 2014

Menguji Setia : Bahagian Akhir

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

sambungan......

Ayah masih muda.  Lima puluhan masih jauh dari jangkauan.  Walaupun uban berceretek di atas kepala, ayah sudah tutupi siang-siang dengan inai mekah yang biasanya dilumurkan di atas kepalanya oleh ibu.   Kesetiaan dan keperluan adalah dua perkara yang berbeza.    Zaid memandang wajah ayah.  Ayah juga memandang wajah Zaid.  Mengharapkan pengertian anak lelakinya itu.

‘Jasmin, ibu kalian adalah segala-galanya bagiku.  Tetapi aku mohon pengertian kalian.  Di dalam hidup, kesetiaan dan cinta adalah sesuatu yang abstrak.  Masih terlalu banyak perkara realistik yang tidak kalian fahami, perlu aku penuhi.’  Hatinya merintih.  Wajah-wajah duka di depannya diperhati satu persatu.  Setiap seorang membawa bayang Jasmin.  Sesekala senyum manja Siti Sakinah mencelah, membarakan perasaan yang terpendam. 
     
       “Kalau ayah nak kahwin juga, boleh.  Aiza tak nak duduk sini.  Berbahagia rayalah ayah dengan bini baru ayah tu!”  gertak Aiza.  Kali ini, dengan beraninya dia memandang ayah.  Tepat.  Renungannya berisi benci dan seribu warna memusuhi yang sangat ketara.

            “Ayah tak izinkan Aiza keluar dari rumah ni.”  Hanafi pula melancarkan perang ugutannya.

            “Ayah tak berhak nak halang Aiza…!”  suaranya meninggi dan air mata berhamburan.  Betapa, dia tidak pernah melakukannya sebelum ini.  Dia kini sudah kalah dengan amarahnya sendiri.  Mengabdi diri memegang status anak derhaka.  Dia tidak pernah meninggikan suara pada ayahnya sendiri, walaupun sekali, dulu.  Dia anak manja ayah, anak kebanggaan ayah.

            “Aiza anak ayah!”

            “Kalau Aiza anak ayah, kami ni anak ayah, ayah takkan tergamak nak gantikan ibu dengan perempuan lain!  Ibu belum mati.  Ibu cuma dipenjara.  Itupun atas kesalahan yang bukan dia sengajakan.  Ayah memang tak ada hati perut.  Ibu dipenjara sebab ayah.  Ayah tahu tak?”  bertubi-tubi kata-kata keluar daripada mulut anak sulungnya itu.  Hanafi bingkas bangun dan mendekat.  Lima jarinya sudah terlalu ringan untuk dihadiahkan kepada pemilik bibir iras Jasmin itu.

            “Ayah nak pukul kak Aiza pulak ke?  Dahlah ayah buat kami macam ni.  Ayah lukakan hati kami, sekarang ayah nak pukul kakak pulak?  Mana pergi ayah kami dulu, ayah?  Kenapa ayah tak boleh bersabar?”  tiba-tiba Aida bangun, mendapatkan Aiza dan menjauhkan kakaknya daripada Hanafi.  Aida bersuara tenang.  Tiada emosi marah tetapi ada getar galau yang menebal. 

Kaget lelaki itu seketika.  Aida anak keduanya yang pendiam.  Bercakap hanya pada yang perlu sahaja.  Tetapi, hubungannya dengan Jasmin seperti sahabat baik.  Ziad juga memeluk pinggang kakaknya.  Deru tangis Aiza menjadi-jadi. 

            “Ayah tak buat semua ni kalau ibu kamu tak izinkan.”  Hanafi menghela nyawa sebelum duduk semula. 

Ranap segala ikhtiar untuk memujuk anak-anaknya menerima Siti Sakinah.  Siti Sakinah yang manis, berbadan sederhana.  Kulitnya cerah dan walaupun usianya hanya muda setahun dua daripada Jasmin, kulitnya tegang dan gebu.  Mungkin berkat pengalaman menelan jamu sejak turun-temurun.  Siti Sakinah perempuan biasa-biasa, hanya tukang cuci di pejabatnya.  Benarlah kata orang, kerap akhirnya akrab.  Bahana kerap berjumpa di tempat kerja dan biasanya Hanafi tidak silu menumpangkannya dan menghantarnya pulang akhirnya mereka menjadi akrab.  Daripada akrab menimbulkan perasaan suka yang sukar dicantas.  Tetapi budi bahasa dan tutur katanya yang lembut membuatkan hati lelakinya cair.  Lebih-lebih lagi, selepas Jasmin terpisah jasad dengannya,  segala-gala milik Jasmin seakan berhak dimiliki Siti Sakinah. 

            “Aiza tak percaya.  Tak mungkin ibu izinkan!”  Aiza masih membentak. 
Aida juga menggeleng-geleng.  Hanafi menggeleng-geleng.  Sukarnya menyakinkan anak-anak.  Air mata Jasmin berderaian laju saat mengungkapkan perkataan itu.  Dia menghargai ketulusan isterinya itu.  Walaupun hati bersarang prasangka, apalah yang terdaya dilakukan selain pasrah.  Mulut memang memberi izin tetapi hati terkoyak tersiat rabak tidak bersisa. 

            “Saya benarkan bang.   Saya tak nak abang terseksa.   Anak-anak tu, biar saya yang pujuk.”  Ujar Jasmin dalam dedai air mata, sengau dan sebak bercampur tanpa rela.  

Biar hati bersulam duka, terselit juga keriaan mengenangkan hasrat hati akan kesampaian dengan sebegitu mudah.   Anak-anak, walau sekeras manapun tentangan akhirnya akan berlembut juga memandangkan hanya rumah itu tempat perteduhan mereka.  Hanafi berkira-kira.  Sekalipun mereka mengadukan hal itu kepada nenek mereka, emaknya tidak akan memihak sesiapa.  Hanafi kenal benar dengan wanita kesayangannya itu.  Sekadar beberapa patah kata seperti, ‘kau dah fikir masak-masak?’ atau ‘kau tak kesian pada anak-anak?’  dan itu sahaja.  Emaknya sangat berlembut dengan anak-anak.  Berlainan dengan Jasmin yang sangat tegas dengan anak-anak.  Selagi katanya tidak dituruti, selagi itulah bebelannya akan menjadi zikir, diulang-ulang sehingga ‘mangsanya’ bosan dan menuruti kehendaknya.  Begitupun, ia sedikitpun tidak meluakkan kasih anak-anak terhadapnya.

            Tidak dapat dilupakan bagaimana merona merah wajah Siti Sakinah saat dikhabarkan niatnya menyunting ibu tunggal beranak satu itu.  Pekerjaannya hari itu serba tidak menjadi.   Bahkan pelawaan Hanafi untuk makan tengah hari bersama juga ditolaknya.  Tidak seperti selalu.

 Pucuk yang dicita dan diidam hampir di dalam genggaman.  Siti Sakinah mengharapkan lelaki sebaik Hanafi sebagai pelindung.  Tambahan pula,  berkelana di bumi asing jauh daripada keluarga dan satu-satunya permata hatinya menyebabkan dia cepat terasa.  Apabila dia kerinduan pada anak yang ditinggalkan dengan kakaknya, Hanafi yang akan memujuk.  Mengingatkan dia supaya terus kuat mendepani cabaran.

            “Hidup memang begini.  Setiap orang ada dugaannya.”   Pujuk Hanafi ketika dia teresak-esak sebaik selesai berbual dengan anak lelakinya.

            “Saya sayang sama dia, bang.”

            “Semua orang sayangkan anak, Inah.  Saya faham perasaan Inah.  Tapi Inah kena banyak bersabar.  Kan Inah yang kata nak datang sini cari rezeki.  Untuk anak?” 
Siti Sakinah tersenyum bagaikan lelaki tinggi lampai itu berada di depannya.  Mimpi-mimpi indah semakin menerang di depannya.

            “Kamu tahu isterinya lagi dipenjara?”  Soalan Marini, rakan serumahnya yang sedang menatap majalah hiburan sambil meniarap menunjal gegendangnya.  Siti Sakinah mengangguk.

            “Terus…kamu tega menambah luka anak-anaknya?  Kamu fikir anak-anaknya akan sukakan kamu?”

            “Gue mahu kahwin sama bang Hanafi, bukan anak-anaknya!” Siti Sakinah menjegilkan matanya.

            “Lalu, kahwin dengan bapaknya, anak-anaknya harus bagaimana? Ya ampun Kinah.  Letakkan anakmu di tempat anaknya Hanafi.  Sanggup lu biarkan anakmu merana semata-mata untuk memenuhkan keinginan lu?”  marah Marini.  Dia menarik bantal yang mengalas dadanya lantas bangun bersila. 

            “Rini, tolong.  Aku pusing.  Jangan macam-macam.”

            “Kinah.  Aku sahabatmu.  Aku tak mahu keluarga Hanafi anggap kau mengambil kesempatan.  Kau pun tahu kan, bagaimana masyarakat memandang kita?  Sentiasa mikir kita mau ambil kesempatan, berkahwin dengan orang tempatan sebab warganegara.  Aku harap kau faham!”  Marini lantas bangun meninggalkan dia sendirian di ruang tamu. 

Televisyen yang sedang menyiarkan drama Melayu menjadi hambar ceritanya, walhal drama itulah yang ditunggunya sepanjang malam.  Kata-kata Marini tadi merasuk juga ke dalam cepu mindanya.  Dia sayangkan Hanafi.  Hanafi tentu sayangkan anak-anaknya seperti mana dia menyayangi anaknya.  Mungkin untuk seketika Hanafi akan memejam mata, menumpah sayang padanya tetapi lama kelamaan kasih sayang berasaskan hubungan darah tidak pernah menjanjikan kekalahan.   Begitu juga, tegakah dia mengulit kasih di atas kepedihan orang lain seperti yang pernah dirasakan dulu?  Siti Sakinah melepaskan keluhan berat sebelum mencapai telefon, mencari nama ‘bang Hanafi’ di skrinnya. 

Berbunga hati, mengharum di jiwa apabila Siti Sakinah bersetuju untuk menjadi isterinya.  Perasaan terawang-awang bagaikan dara dipinang teruna pujaan hati, intaian jiwa.  Syarat Siti Sakinah untuk bertemu empat mata sendiri dengan Jasmin, dengan senang hati dan rela dipenuhi. 

Wajah Jasmin yang jernih ditatapnya.  Wanita itu menghadiahi senyum tawar.  Hati wanitanya merintih.  Dengan isyarat tangan, wanita itu mengarahkan dia mengangkat telefon berwarna putih yang sudah kusam warnanya itu. 

“Bu Jasmin.”  Hanya itu.  Patah-patah kata yang dirancangnya bertukar patah air mata.  Berderaian turun dan mereka sekadar bertukar tangis.  Bergegar-gegar bahu dan dada terasa sebak bukan kepalang.  Hanafi tertegun melihat gelagat kedua-dua perempuan itu.  Meski hairan bertapa, dia tidak pula mahu menyapa.    Jasmin menekup mulutnya sambil menggeleng-geleng.  Siti Sakinah menongkat dahi dengan siku di meja tanpa dapat menghentikan tangisan masing-masing.  Petang itu mereka berbicara menggunakan bahasa air mata. 


                

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung