Wednesday, 16 April 2014

Penghargaan Buat Tetamu Istimewa

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi dan Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

12/4/2014, hari kedua saya berada di Dewan Gemilang, MRSM Tun Dr. Ismail MRSM Pontian. Hari yang mengujakan apabila mengenangkan sambutan hangat khalayak penggemar buku di permukiman Pontian. Malam itu malam saya tidur lena, selain kepenatan selepas berpusing-pusing di bandar Pontian dan menikmati makan malam di Tambak.




Di pinggiran Selat Melaka yang ditambak itu, sempat saya menyiapkan satu bab di dalam kepala untuk manuskrip 'Aku Drebar Forklift'. Hanya menunggu masa untuk ditumpahkan dalam bentuk tulisan. Bunyi ombak mendebur pantai dan kelip-kelip cahaya daripada bot nelayan di tengah lautan, begitu mengasyikkan.

Sekitar jam 2.00 petang dengan perut yang lapar, (sebab tak boleh tinggalkan booth) kami menunggu kehadiran Timbalan Menteri Kewangan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Hj Ahmad bin Hj Mazlan. Dengan persalinan santai berbaju T merah, t-shirt rasmi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, beliau diiringi oleh Pengetua MRSM Pontian, Pengurus Cawangan BSN Pontian, VIP-VIP berkenaan dengan dunia perbukuan di samping selebriti yang kelihatan seperti Aziz Desa, Ana Raffali, Yatt Hamzah dan tuan Khalid Salleh yang setia berada di gerai ITBN.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu negeri Johor dan Negaraku. Sudah tentulah saya ternganga-nganga sebab memang tak pernah dengar pun lagu ni. Tapi, sebagai rakyat Malaysia, sekadar berdiri tegak memadai sebagai tanda hormat. 

Seterusnya ucapan alu-aluan dimulakan oleh Pengetua MRSM, dan VIP (maaf, saya terlupa namanya) yang bercakap mengenai dunia buku di Malaysia. Selepas ucapan Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Hj Ahmad, majlis diteruskan dengan peluncuran antologi Tetamu Istimewa oleh beliau.


Saya terpinga-pinga seketika, perkataan Tetamu Istimewa itu sangat sinonim dengan minda saya. Namun ketika itu, saya memang betul-betul 'blank'- Kemudian disebut pula nama penulis dan asalnya. Mohd Helmi Ahmad dari Batang Kali Selangor. Ketika itu baru saya teringatkan seorang blogger dengan blognya Tetamu Istimewa, Cikgu Helmi Ahmad.

Saya mencari-cari juga kalau Cikgu Helmi naik ke pentas, malangnya hanya Tetamu Istimewa yang dibawa naik ke pentas. Sempena program Membaca Sejuta Pembaca, YB Hj Ahmad telah membaca seperenggan sedutan cerpen di dalam Tetamu Istimewa. Sekali lagi, disebabkan faktor usia, saya gagal mengingat tajuk cerpen tersebut.

Acara ini, sememangnya begitu menyentuh hati saya sebagai penulis. Sebuah karya dinobatkan di dalam sebuah majlis oleh bijak pandai pencinta ilmu yang berkedudukan di dalam masyarakat. Pesan YB Hj Ahmad, "kalau nak beri hadiah pada saya, berilah buku."

Saya juga menyimpan impian manis sebegini. Semoga segala-galanya dipermudahkan.

Nota : tiada imbuhan 'mer' di dalam Bahasa Malaysia. Maka, perkataan 'mertua' dan 'merbahaya' adalah salah. Ia sepatutnya diganti dengan 'mentua' dan 'berbahaya'

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung