Tuesday, 29 September 2015

Kata Nama Khas

Teks : Monalita Mansor

Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.

Kata nama khas (K) merujuk kepada orang, tempat atau benda secara khusus/khas dan spesifik.
Ia ditulis dengan huruf besar pada awal perkataan.
Nama kita sendiri adalah nama khas iaitu menunjukkan diri kita secara spesifik. Contoh: Monalita Mansor ialah merujuk kepada saya yang tinggal di Petaling Jaya dan mempunyai empat orang anak. Ia bukan merujuk kepada orang lain yang mungkin juga tinggal di Petaling Jaya, tetapi mungkin mempunyai sepuluh orang anak.
Kesilapan biasa berlaku apabila kekeliruan terhadap fungsi kedua-dua kata nama tersebut di dalam ayat.
*** ambil perhatian, saya mudahkan; kata nama khas – (K) dan kata nama am – (A)
Contoh :

(a)
Ayah saya ialah seorang guru besar. – (A)
** guru besar (A) sebab ada ramai guru besar secara umumnya di Malaysia.
Ayah saya Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Besar. (K)
** Guru Besar (K) sebab hanya ada satu guru besar di SK Sungai Besar.
Satu/khusus/spesifik

(b)
Hantu itu menyorok di belakang pokok sena – (A)
** ada banyak pokok sena dalam dunia. Pokok sena di sini merujuk kepada mana-mana pokok sena yang ada. (tidak dikhususkan)
Hantu itu menyorok di Pokok Sena – (K)
** Pokok Sena di sini merujuk kepada satu tempat di Kedah. Hantu itu menyorok khusus di sana. – spesifik

(c )
Dia ke pejabat menaiki bas mini. (A)
** bas mini di sini adalah pernyataan umum. Ada banyak bas mini di Malaysia.
Dia ke pejabat menaiki Bas Mini Wilayah (K)
** Bas Mini Wilayah ialah merujuk kepada sebuah bas yang spesifik, yang khas.
Untuk mengenal nama khas, nama objek/jenama yang khas biasanya diletak selepas kata nama. Ia mesti ditulis dengan huruf besar pada awal perkataan; contoh-
Sos Cili Faiza
Restoran Terapung Titiwangsa
Mee Segera Cintan
Hari Raya Aidil Adha
Kementerian Teknologi dan Alam Sekitar

Untuk mengenal nama am pula, apabila anda buang/tanggalkan nama khas di belakangnya, automatic ia akan menjadi nama am dan ditulis dengan huruf kecil kecuali di permulaan ayat. Contoh;
…sos cili
…restoran terapung
Mee segera
…hari raya
…kementerian

Sekian.

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung