Tuesday 1 September 2015

Pembuktian Pemilikan Karya

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Kita berubah pula kepada topik yang paling tidak digemari penulis. Topik yang sering ‘dilepas-pandang’ sebaik sahaja manuskrip pertama menjadi buku. Sebaik sahaja keterujaan menggantikan kewaspadaan. Bagaimana membuktikan pemilikan karya kalau kita dituduh menciplak? Atau kita berdepan dengan orang yang memplagiat karya kita. Apa pembuktian yang harus kita senaraikan untuk membuktikan karya itu hak kita. Ingat, karya kita adalah harta kita. Apa sahaja hasil tulisan kita, baik di blog mahupun diterbitkan, adalah hak kita.
1.       Salinan Peribadi.
Kita mesti ada satu salinan peribadi. Sama ada kita simpan dalam folder khas ataupun pendrive/thumbdrive berlabel.

2.       Dokumentasi proses kreatif
Ada beberapa orang penulis cerpen yang menggunakan cara ini. Setiap proses bermula daripada draf sehinggalah pruf akhir disimpan menurut kronologi. Ia termasuklah draf tulisan tangan sehinggalah naskah bersih di dalam perisian komputer.

3.       Salinan Kepada Diri Sendiri
Ketika hantar e-mel kepada penerbit/editor, c.c (carbon copy) atau emel satu salinan kepada diri sendiri. Tarikh hantar dan masa akan terakam dengan sendirinya.

4.       Sampul Surat Berdaftar Beralamat Diri Sendiri
Ini salah satu cara sebelum kewujudan mel elektronik. Hantar manuskrip kepada diri sendiri menggunakan surat berdaftar. Cara ini lebih kompeten walaupun ia mengeluarkan sedikit belanja. Cuma, pastikan sampul surat itu tidak dibuka.
5.       Surat Akuan Bersumpah
Penulis boleh juga membuat surat akuan bersumpah atau affidavit bersumpah. Nyatakan bahawa manuskrip itu adalah asli dan lampirkan salinan manuskrip. Pastikan surat tersebut ditandatangani oleh Pesuruhjaya Sumpah.


Ini adalah sebahagian daripada panduan yang boleh anda baca dalam buku Karya Kita Hak Kita, tulisan Nisah Haji Haron. Buku ini boleh anda perolehi percuma sebaik sahaja anda mendaftar sebagai pelajar Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif. 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung