Wednesday 6 August 2014

Resensi Novel 'Hilang' karya Dayang Noor

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Ini kali pertama saya membaca mana-mana karya terbitan Fixi. Mungkin juga saya ada pandangan yang sedikit skeptikal terhadap penerbitan ini. Namun apabila melihat novel Hilang berada di rak buku Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor cawangan Pekan Seri Manja, ringan tangan saya mencapainya dengan pandangan, ia tidak akan berada di rak perpustakaan jika isinya tidak memberi manfaat kepada masyarakat.

Penerbit ini menjunjung prinsip penulisan tersendiri, sudah diterangkan di helaian awal, maka kemahuan untuk membaca novel-novel terbitan mereka adalah pilihan pembaca sendiri. Saya membaca 'blurb' sebelum mula menyelak helaian awal novel ini. Tiada sebarang ekspetasi saya letakkan memandangkan kali terakhir saya membaca novel bergenre suspen adalah Magis karya RAM yang 'berbeza' sedikit alirannya. 

Novel yang terbit pada 2012 ini mula menunjukkan belang pada awal-awal bab lagi. Berpandukan 'blurb' ada plot yang sudah boleh dijangka tetapi digarap dengan menarik oleh penulis. Perkaitan watak, estetika latar dan jalinan cerita, plot yang menggunakan teknik 'flash back' dan 'flash forward' tidak sedikit pun menjejaskan tumpuan penceritaan kepada subjek utama. Penulis menggunakan latar 1Malaysia dengan watak-watak majmuk yang rencam dan membawa pemikiran masing-masing. 

Tidak keterlaluan saya katakan, novel 'Hilang' ini membawa gambaran realiti tentang Malaysia. Watak-wataknya adalah manusia biasa yang biasa kita temui dalam kehidupan seharian dan dalam diri kita juga. Tidak terkecuali juga naratif-naratif sinikal yang digarap secara santai namun membawa maksud tersendiri. 

Ini bukan novel komedi, jauh sekali romantik. Namun penulis menyuntik elemen tersebut secara abstrak dan tidak terkesankan melalui dialog-dialog Jo dan monolog Shaziman juga Kay. Meskipun saya tidak menyarankan anak-anak remaja (walaupun saya tahu ramai remaja sudah membacanya - sila ambil sempadan pada setiap unsur negatif yang dipaparkan) 'Hilang' memaparkan sisi positif seorang anak yang sanggup berkorban untuk emak dan kakaknya. Tiada naratif yang mencatatkan watak Khairani merungut atau melawan emaknya pada ketika dia diminta memberikan duit untuk mengubat kakaknya, berkali-kali.

Satu paparan yang mengatakan novel Hilang ini sangat 'melayu dan dekat pada masyarakat' ialah nama-nama watak yang dimudahkan. Watak antagonis misalnya, hanya diberikan nama Jusoh yang mungkin kedengaran sangat 'kampung' namun sangat kejam sehingga sanggup mencacatkan pengikut setianya hanya semata-mata untuk memastikan rahsianya tidak terbongkar.

Saya terikat dengan plot sehingga akhir kerana penulis berjaya menghijab antagonis sebenar dengan baik sehinggalah ke bab-bab akhir. Namun, terdapat seperenggan naratif yang saya rasakan longgar sehingga saya membacanya berkali-kali. Bagi pencinta bahasa, tiada apa yang dapat anda harapkan daripada novel ini kerana penulis tidak meletakkan estetika tatabahasa Melayu di dalam novel ini. Namun, bagi penggemar novel suspen tempatan, 'Hilang' dapat mengisi kehilangan yang ditinggalkan oleh penulis-penulis novel suspen atau bercorak penyiasatan sebelum ini.

Jika ia ingin dialihkan ke layar perak, saya mengharapkan tiada sebarang perubahan pada plot dan skrip, kerana penulis sudah mencukupkan rencah di dalam karya ini. Tiada teknik CGI yang mahal diperlukan kerana latar masyarakat sedia ada sudah mencukupi.

Dimulakan pada sebelum Maghrib dan berakhir pada 10.44 malam , 5/8/2014

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung