Sunday, 15 June 2014

100 HARI BERLALU DAN MENJELMA PULA HARI BAPA

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Hari ini genap 100 hari insiden kehilangan pesawat MH370. Buat kita yang bukan siapa-siapa, deritanya mungkin tidak terasakan. Namun, bagi ahli keluarga, air mata dan doa tidak pernah kering dalam menggantungkan pengharapan, mengharapkan keajaiban agar tersayang berdiri sebagai susuk manusia dan kembali seperti sebelumnya dengan ucapan, "sayang...saya dah balik!"
Kehilangan sebegini melarik akal saya agar sentiasa bersedia dengan 'kehilangan'. 


Selama tiga hari, encik abang telah berada di Pulau Tioman mengikuti program 'team-building' anjuran syarikat tempatnya bekerja. Mungkin kenyataan saya ini melampau, namun lintas fikir dalam cepu minda mengusik juga. "Bagaimana nanti kalau dia betul-betul kembali?" Seperti sahabat-sahabat yang telah kehilangan suami, isteri, kita mungkin mudah menaipkan perkataan 'sabar', 'ini dugaan' dan sebagainya. Namun apabila kita terperosok di dalam kasut yang sama satu waktu nanti, kuatkah kita sebagai makhluk Allah yang lemah ini menerima takdirnya. 


Dia selalu tak lupa dengan pesan nakalnya, "Bila I mati, tanam kat kampung." Dan saya menjawab dengan bersahaja, "Janganlah mati dulu, I belum reti drive lagi." Nampak main-main kan? Tidak, demi Allah, bergetar perasaan saya saat mengucapnya. Sentiasa saya ingatkan diri, dapatkah saya lalui semuanya nanti. Dapatkah saya sekuat mereka yang pernah melaluinya. 


Begitupun, sebagai hamba yang sudah tentu tidak mampu menolak takdir walau sesaat pun - fahamkan perkataan HAMBA, hanya mampu memujuk hati supaya bersedia dan menyediakan ruang empati untuk mereka yang sedang menghadapinya sekarang.

Selamat hari bapa untuk Dia. Saya pun tak ingat ada seorang bapa yang inginkan ucapan "terima kasih abah!" dalam rumah ni sebab saya tak pernah sambut hari bapa atau hari ibu... Affan pulak, hari-hari mengucapkan perkataan tu kat abah dia.
Maaf ya...


No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung