Monday 21 April 2014

Bermain dengan Persoalan Tahu - Hari Pertama

Kita tahu orang tahu kita tahu,
Kita tak tahu orang tahu kita tahu,
Kita tahu orang tahu kita tak tahu,
Kita tak tahu orang tak tahu kita tak tahu...



Teks : Monalita Mansor
Gambar : Zakaria Ariffin


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Di atas tu, bukanlah pantun ke, syair ke, tapi adalah teori psikologi yang dipanggil Tingkap Jauhari yang diperkenalkan oleh tuan Ismail Kassan dalam pencerahan sebuah bengkel yang saya sertai pada 19 dan 20 April 2014 lalu.

Bengkel tersebut adalah anjuran Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dihadiri oleh lebih kurang 15 orang peserta dari seluruh negara dan daripada pelbagai latar. Bengkel Penerbitan Berpakej Penulisan Skrip Drama Remaja ini dirangka dengan objektif meningkatkan bahan persuratan Melayu dan sekali gus membanyakkan buku berbahasa Melayu. Objektif lainnya ialah menghasilkan pelbagai buku bermutu dalam pelbagai bidang/subbidang ilmu dan mempercepat proses penerbitan dengan kaedah kerja yang terancang. 

Pemudahcara terdiri daripada tuan Zakaria Ariffin dan tuan Ismail Kassan. Biodata tuan Zakaria Ariffin boleh dibaca di sini. Kali terakhir saya bertemu dengan beliau ketika berusia 17 tahun sewaktu menghadiri Minggu Penulis Remaja pada tahun 1991. Ternyata, berbengkel semula di DBP, begitu banyak menguak harumnya kenangan sewaktu hasrat menulis masih ranum dan bugar. 

Pemudahcara kedua, Tuan Ismail Kassan, baca profil beliau di sini memberikan pelbagai input segar buat penulis seperti saya. Pendekatan psikologi yang digunakan beliau begitu dekat dengan penulis dan mudah difahami. 

Nota paling mudah yang ingin saya perturunkan ialah penulis perlu menulis dengan 4 isteri dan 1 suami. Saya tak mengajak anda masuk kelab poligami ya.! 

yang saya maksudkan menulis dengan pendekatan 4W - Who, When, What, Where atau kalau mahu dilebihkan dengan Which, Whom dan 1 suami ialah 1 How.Beliau juga membuka minda penulis dengan menyenaraikan input-input yang boleh dijadikan 'cerita' bagi penulis yang mengaku 'tiada idea'

Hari pertama berlalu pantas dan sillaturrahmi juga berlangsung pantas. Alhamdulillah.

Jangan bataskan kemahuan minda untuk berandaian dan berimaginasi - Ismail Kassan


sumber sokongan :

http://annyss.blogspot.com/2012/10/ismail-kassan-penerima-anugerah-sea.html

http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=941


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung