Saturday 26 April 2014

PBAKL 2014 - Hari Berjalan Kaki Sedunia

Alamat booth sudah bertukar ke M37 bukan MH307 ya
Teks : Monalita Mansor
Gambar: Koleksi Peribadi dan Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung dari 24 April sehingga 4 Mei 2014 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur tidak dinafikan merupakan hari kebesaran bagi para pencinta buku. Selain hari raya buku, sepanjang dua minggu ini adalah hari menyeksakan bagi warga yang akan sentiasa tersekat di dalam kesesakan, juga ditambah hari berjalan kaki sedunia.

Pesta Buku 2014 adalah sejarah baru bagi saya. Selama bertahun, tanpa alpa (kecuali 2012) saya mendatangi dewan serba gah itu sebagai pengunjung. Namun hari ini, 26/4/2014 saya hadir sebagai seorang penulis untuk mengisi slot sesi ramah mesra bersama penulis dipayungi Fumi Edar. Bohonglah kalau dikatakan saya tidak gementar.

Sepanjang perjalanan menuju ke PWTC, saya membisu sehingga ditegur suami. Saya nyatakan kerisauan saya seperti biasa,"ada ke orang nak ambil tanda tangan saya?" "ada ke orang kenal saya?" lantas dia ketawa.

"Lapangkan fikiran. Bukan kerja awak nak fikir tu semua. Kalau tak ada, tak apalah, kita datang suka-suka...kenapa nak stres?"

Hujan merintik kemudian merimbunkan air matanya ketika kenderaan kami diparkir berhampiran simpang masuk ke Sek Seri Puteri. Aduhai, trafik memang melekat bagai digam, berjalan kakilah jawabnya. Hujan terus membasahi biarpun tidak sehingga melencunkan tubuh. Diam-diam, doa saya panjatkan, semoga seagalanya dipermudahkan.

Sesampai di sana, Najwa Abd Rahman penulis "Dia Imanku" belum usai tugasannya. Terserempak pula dengan AC Jaffry atau Ayahanda Chik, penulis "Salju Rindu". Booth ini walaupun terletak di lokasi yang kurang strategik (tingkat empat berkongsi dengan kategori buku antarabangsa) tetap kencang dikunjungi dan petugasnya juga tidak menang tangan.
Bersama Najwa Ulfah Abd Rahman

Kabus Rindu, akhirnya berpindah ke tangan dua orang pembeli. Syukur alhamdulillah. Ditambah berita gembira lagi, booth Fumi Edar akan berpindah ke Dewan Mawar pada keesokan hari 27/4/2014 berdekatan dengan booth Kaki Novel.

Andai berkelapangan, jemput menyertai saya pada jam 12.00 tengah hari, esok.
Dapatkan Kabus Rindu beserta tanda tangan penulisnya sekali...


Nota : Pengimbuhan Membentuk Kata Terbitan.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung