Saturday, 11 January 2014

Salam Maulidur Rasul.

MENGUAK TIRAI ITU

S
alam Maal Hijrah.  sekadar satu catatan pelepas rindu seorang wanita terhadap kekasih Allah yang memungkinkan rahmat Allah tersebar ke seluruh alam.  Semoga rahmat Allah bersama dengan penghijrahan hati kita di Muharram yang baru ini.  

“Adanya kita orang perempuan ni, tak lari daripada rasa cemburu.”  Aku membuka kata biarpun aku lihat dia bagaikan endah tak endah kata-kataku.  Entah apa yang melayar di cepu kepalanya.  Bayi yang tak sampai sebulan umurnya di dalam pelukannya merengek.  Lapar susu barangkali.  Tetapi tidak juga mengalih perhatian perempuan muda itu yang lurus pandangannya ke depan.
           Aku menyimpan mop yang sudah kurasa hampir kering diperah.  Sibuknya pekerjaan mencuci tandas ini hanya di awal pagi dan petang saat jarum minit mencecah waktu akhir bekerja.  Selain itu, aku hanya duduk-duduk di meja ini.  Menunggu manusia-manusia yang melantingkan dua puluh sen untuk melepaskan hajat masing-masing. 
            Perempuan muda itu kuamati semenjak pagi tadi duduk di perhentian bas itu.  Sebaik sahaja aku sampai, sebaik sahaja tandas yang beraturan satu persatu aku cuci, dia masih lagi di situ.
            Aku mengagak ada sesuatu yang tidak kena sama ada di hati atau di akal fikirnya.  Lamunnya jauh mencecah awan hingga membiarkan bayinya melolong-lolong walaupun berada di dalam dakapan.  Aku teragak-agak untuk mendekat.  Bagaimanapun belas hati lebih mencengkam rasa mendengar tangisan bayi itu. 
            Perempuan muda itu mengikut bodoh sahaja.  Bagaikan dirinya tiada di situ.  Yang ada cuma jasadnya.  Aku tanyakan di mana susu bayi itu sebaik sahaja dia duduk di atas kerusi di dalam bilik kecil berhampiran tandas awam yang menjadi pejabatku itu.
Katanya bayinya menyusu badan.  Tanyaku kenapa tidak disusukan?  Barulah dia bagaikan terjaga menyusukan bayi biarpun aku lihat bahagian depan bajunya sudah lencun dek susu dan baunya hanyir sekali.
          Aku mengagak lagi.  Perempuan ini bermasalah.  Kalau tidak dengan suami, pasti dengan keluarga.  Kalau tidak, apa bodohnya perempuan Melayu yang masih di dalam pantang, dalam keadaan begini. Aku hulurkan bekal yang aku bawa tadi.  Nasi goreng hutan, gurau suamiku.  Ikan bilis tak ada,  sayurpun tak ada, daging dan ayam jauh sekali. 
Yang ada hanya nasi yang digaul dengan bawang merah dan bawang putih yang ditumis.  Juga air teh di dalam bekas air mineral.  Sepatutnya perempuan di dalam pantang, makanannya hanya nasi putih dengan ikan bilis digoreng tanpa minyak.  Bergaul lada hitam.  Tetapi, aku tetap dengan agakanku yang perempuan muda ini kelaparan.   Aku hulurkan sahaja.  Dia menyambutnya dengan matanya terkebil-kebil.  Bagai mengucapkan terima kasih.
          Aku tinggalkan dia seketika.  Aku menjenguk ke dalam tandas.  Manalah tahu ada air yang terlalu bertakung, harus segera dikeringkan.  Jika tidak membahayakan pengguna.  Aku menolak pintu tandas satu persatu.  Tabiat pelik masyarakat Malaysia adalah tidak mahu menarik ‘flush’ sesudah menggunakan tandas.  Sekiranya pengguna seterusnya bermentaliti sama, bercampur baurlah aneka bau dan warna yang meloyakan.
          
  “Awak nak ke mana ni?”  Aku mula memberanikan diri.

  Melihat dia menyudahkan suapan terakhirnya.  Bayi yang kekenyangan tadi sudah lelap.   Diletakkan sahaja di atas simen sejuk beralas kain napkin.  Begitu sahaja.
           
“Tak tahu, kak… saya tak tahu.  Yang saya tahu, semua orang tak sukakan saya.  Semua orang nak halau saya.  Tak suka tengok saya,” bicaranya pecah dalam detakan rasa yang bergentayangan.  Menggambarkan kegalauan emosinya. Aku ingin menyentuh tangannya.  Menenangkannya.  Tetapi, aku tak berani.
           
“Suami adik sayangkan adikkan..”  Aku berani pula bermain teka-teki ini.  Pada anggapan aku, meroyannya perempuan disebabkan oleh suami.  Tekanan adalah unsur luaran.  Unsur dalaman adalah rasa tidak puas hati terhadap suami.
           
“Dia tahu saya dalam pantang.  Tapi dia balik ke rumah isteri tua dia.  Pada siapa saya nak harapkan, kak.  Keluarga dah buang saya.  Budak ni asyik melalak.  Badan saya sakit. Semuanya menyakitkan kak…sakit hati saya ni kak.  Sakit….  Sakit…!”  Dia menekan dadanya sendiri menggambarkan rasa sakit itu terlalu dalam.  Ada air mata di tubir matanya.
           
Di mana kekuatan itu saya peroleh, saya tidak tahu.  Tiba-tiba sahaja dia berada di dalam rangkulan saya.

            “Suami adik ada lagikan?  Masih hidupkan?”

Dia mengangguk. 

            “Kalau adik marah, adik cemburu.  Setidak-tidaknya dia akan ada di depan mata adikkan?”

Dia mengangguk.

            “Keluarga adikpun masih ada kan?  Mak, ayah?”

Dia mengangguk.
           
 “Setidak-tidaknya adik masih ada peluang untuk meminta maaf.  Kalau mereka tak maafkan, tak mengapa.  Adik dah minta maaf.  Adik nak dengar cerita kakak?”

Maka, akupun mulai mengambil tempat paling selesa.  Membuka ceritera yang ku ulang-ulang pada sesiapa juga yang mahu mendengar.  Kalau suamiku mendengar lagi, tidaklah sampai aku dituduh gila.  Cuma memujuk aku dengan perkataan ini.  Sabar.
           
Aku baru sahaja mengenali dia.  Walhal dia sudah lama berlegar-legar di sekitar diriku sejak dulu lagi.  Dahulu aku sombong.  Sombong benar.  Sekadar mengingat dia pada waktu-waktu tertentu. Aku menarik nafas.  Sejak umur semakin meningkat, mudah benar diserang mengah.  Badanpun tidak seramping dulu.  Makanya, lemak-lemak tidak mahu menghindar.
           
Aku peringatkan kepada perempuan muda itu.  Aku kisahkan cerita ini hanya pada yang mahu mendengar.  Kalau dia cemburukan isteri tua suaminya, aku cemburukan seorang isteri yang menjadi idam-idaman semua lelaki di dunia ini.  Aku cemburukan gadis kecil yang menjadi isteri pada usia yang sangat muda dan dara. 
          Aku cemburukan masa-masa indah yang diperolehi bersama suaminya.  Bermain kejar-kejar dengan suami yang ketika itu sudah berumur dan orangnya cantik berkulit kemerah-merahan. Lebih aku cemburukan, saat kematian suaminya adalah di ribaannya.  Setiap kali aku teringatkan itu, aku menangis.
          Kerana itu, sengaja aku tidak buka cerita-cerita mengenai dirinya.  Seorang wanita hebat sebaris kehebatannya dengan para ulama.  Seadanya aku wanita biasa yang sangat cemburu.  Tetapi cemburuku ini lebih parah.
          
“Lebih parah, adik.”  Aku memberitahu.  Lalu bagaimana aku hamburkan rasa sakit hati ini.  Kepada siapa?
           
Aku sangat cemburukan dia kerana dia mendapat suami yang wajahnya lebih indah daripada bulan.  Tidak tinggi dan tidak rendah.  Ketika berjalan, tubuhnya tegap bagaikan menuruni tanah yang landai.  Kalau suamimu itu kau kongsi bersama dengan seorang lagi perempuan yang kau panggil isteri tua, wanita itu mengongsi suaminya dengan sembilan lagi wanita yang dipanggil isteri tua.  Lalu bagaimana hendak dicerna rasa cemburu itu.
           
“Sebutlah patah-patah ini.  Allah!”  Aku mengajar perempuan muda itu.  Semoga dengan ingat-ingatan itu, menjadi doa agar ketenangan menyusup masuk perlahan-lahan ke dalam dadanya.  Kerana janji Allah itu benar.  Setitis ingatan buat Allah, dibalasnya dengan selautan rahmat.  Maka rahmat Allah yang mana hendak kamu dustakan?
           Aku terus melanjutkan cerita.  Bahawa saya mencemburui setiap detik yang dilalui wanita itu sepanjang hidupnya dengan suami tersayangnya.  Dapatkah adik bayangkan bagaimana rasanya saratnya rindu dan cemburu itu.
    Aku cemburukan dia kerana dia mendapat suami yang sangat sederhana.  Kezuhudannya kepada elemen-elemen duniawi berada di tingkat yang paling atas.  Makannya hanya roti bercicah cuka.  Perginya sekadar meninggalkan beberapa helai jubah walaupun hakikatnya suaminya itu pemimpin besar.  Pemimpin keluarga dan pemimpin hati.
           
“Adik rasa saya gilakah?”  tanyaku.  Perempuan muda itu menggeleng-geleng.  Dia menyuruh aku meneruskan cerita.  Maka akupun bercerita lagi. 
           
Lebih menjadikan cemburuku meruap-ruap, wanita ini mendapat pembelaan daripada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Saat dia teraniaya dek fitnah, sedang suaminya juga diamuk badai curiga, turunlah ayat memberitahu apa yang berlaku itu sekadar kata celupar daripada hati yang busuk milik Abdullah bin Ubay.
           
Lalu siapakah yang lebih hebat penanggungan cemburunya dibandingkan diri adik dengan diriku.
           
“Adik rasa saya gilakah?”  Aku bertanya.  Perempuan muda itu menggeleng-geleng.

  Aku menyuruhnya terus mengulang-ulang patah perkataan yang aku sebut tadi.   Aku katakan padanya lagi, kalau saya ini mampu mencipta mesin masa, aku akan cipta mesin masa dan kembali merebut cinta lelaki agung itu daripada perempuan yang aku ceritakan sebentar tadi.
           
“Lalu apa yang adik kisahkan dengan kasih seorang suami yang dikongsi dua orang wanita berbanding dengan sepuluh orang wanita seperti yang saya ceritakan tadi?”
           
“Suami saya bukan nabi,” keluhnya.
           
“Cuba jadikan diri kita macam isteri nabi.”  Pandainya aku berkata-kata.  Pasti perempuan muda itu berkata begitu.
           
“Saya ini hanya tukang cuci tandas.  Manalah adik nak mendengar kata-kata saya.”  Aku memutuskan selepas teringatkan diri.  Status kehidupan pada mata manusia yang dangkal akalnya adalah takah pencapaian sosialnya.
           
“Bukan… saya tak kata macam tu.  Macam mana saya nak jadi macam isteri nabi?”
           
“Susah,”  Aku menyulitkan pula.  Bodoh betul!
           
“Macam mana?”  dia bagaikan teruja.  Semudah itu? 
           
“Adik balik ke rumah.  Sebelum tidur, maafkan semua orang.  Senyum dan tidur.  InsyaAllah.  Pagi esok, adik bangun dengan rasa yang baru.  Cubalah.”  Kataku pendek.  Mengadaptasi kata-kata motivator tersohor, Prof Dr Muhaya dan Datuk Dr Fadzillah Kamsah.
           
“Itu aja?” tanyanya lagi.  Bagaikan tidak percaya.
           
“Itu ajalah,” kataku pula.
           
“Selain tu?”
           
“Ingat Allah selalu. Ingat! Syaitan tu musuh kita… err…adik rasa akak ni gilakah?” Perempuan muda itu menggeleng lagi.

            “Akak masih cemburukan Saiditina Aishah?”   Dia bertanya pula.

Aku mengangguk.  Aku masih ingin menguak tirai itu.  Mengakui hakikat diri bahawa aku tidak mampu duduk mahupun berdiri sama tinggi dengan wanita agung itu.  Tetapi, sesuatu yang benar-benar menganggu akal fikirku, aku masih cemburukan saat-saat wanita mulia itu memangku Rasululullah pada detik-detik penghijrahan Baginda ke alam baqa. Sungguh sarat rindu dan cemburu ini.


************************************************************
Imam Al Tirmizi, Syamail Muhammad S.A.W. Keperibadian Rasulullah, Telaga Biru Sdn Bhd, 2008

Surah Ar-Rahman

Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd Rahman, Biografi Muhammad bin Abdullah, PTS Islamika Sdn Bhd, 2010
Ini adalah cerpen terpantas dalam sejarah hidup saya pernah saya hasilkan.  Disiapkan dalam masa dua jam, di petang Maulidur Rasul sebelum Maghrib.  Ini adalah luahan rindu saya terhadap baginda yang saya abadikan untuk simpanan peribadi dan sesiapa yang ingin berkongsi.  Tersiar di dalam majalah Tunas Cipta Ogos 2013

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung