Wednesday 20 November 2013

Ceritera Mak Cik Vadivelli a.k.a. Aci

Teks dan Gambar   : Monalita Mansor

Aci dengan 'senjatanya'
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Susuk wanita yang terpapar di gambar ini adalah tukang cuci di tempat saya bekerja dahulu.  Orangnya kecil molek dan pengidap asma kronik yang terpaksa bekerja menyara suami OKU dan anak yang masih belajar di kolej.  Dia sudah bekerja di tempat kerja lama saya itu semenjak 1995 iaitu semenjak cawangan tersebut dibuka.

Apa yang menariknya wanita yang saya panggil 'Aci' ini?  Beliau datang daripada keluarga besar yang mendiami kawasan estet Castlefield yang kini menjadi tapak kawasan perindustrian di Puchong.  Pendidikan tidak menjadi penting buat dirinya kerana dia anak perempuan.  Maka dia diberhentikan sekolah untuk menjaga adik-adik.  

Bagaimana Aci belajar?  Oleh kerana keterbatasan pemikiran keluarga yang membezakan taraf pendidikan anak lelaki dan perempuan, Aci belajar sendiri.  Susah-payah dan akhirnya dapat juga dia belajar membaca di dalam bahasa Tamil. 

Aci adalah pekerja yang dedikasi.  Dia akan tercongok di muka pintu bank setengah jam atau sejam lebih awal daripada orang lain.  Sebaik sahaja bank dibuka, dia akan sibuk dengan baldi, penyapu, mop dan bulu ayamnya, menyiapkan tugas.  Tiada istilah duduk bersarapan terlebih dahulu, walaupun kadang-kadang kami paksa juga dia bersarapan dengan kami.

Seawal jam 12, tugasnya sudah habis.  Sepatutnya dia boleh pulang tetapi oleh kerana waktu kerjanya tamat 3.30 petang, dia hanya akan pulang pada 3.30 petang.  Curi tulang atau curi barang, jauh sekali.  Walhal secara peribadi, saya mengenali Aci yang termasuk di dalam kategori kurang mampu.  Dia boleh mengambil segala-mala keperluan dapur bank yang berlebih-lebihan itu untuk dibawa balik.  Tetapi, tidak pernah, saya tulis semula TIDAK PERNAH sekali dia berbuat begitu.

Bila saya tanyakan kenapa, dia mengungkapkan konsep ketuhanan yang sangat kental di dalam jiwanya.  Perkara buruk yang dibuat, akan dibalas dengan keburukan di sana nanti.  Tuhan sangat adil.  Kesusahan itu ujian, selagi termampu, kita harus menghadapi, suka atau tidak.

Semangat inilah yang kadang-kadang saya pinjam, ketika duduk-duduk makan tengah hari.  Bertukar-tukar cerita dengan Aci yang menikmati bekalnya yang kadang-kadang cuma kuah kari sahaja bercampur nasi.  Ada masanya, kecekalan Aci betul-betul menampar perasaan saya yang kadang-kadang mengeluh mengenai bebanan kerja padanya, ketika itu.

Saya suka mengungkap kisah manusia yang pada mata kasar kita hanya biasa-biasa dan 'tiada apa'.  Saya ingin mereka mendapat hak penghormatan sepatutnya kerana mereka juga manusia.  Berhak untuk menerima hormat sebagai manusia, walaupun kerjayanya hanyalah tukang cuci.  

*****************************************************************************

Kelas Asas Blog kini sudah meningkat kepada 4 kelas iaitu;
1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage Bisnes
3. Kelas Asas Blog dan Beriklan - Mudah.my
4. Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.

Pakej yuran yang berpatutan disediakan.  Kelas 24 jam sehari, tiada had masa, tiada had ruang.  PM Monalita Mansor atau Saniah Mat Sanat di FB.  Atau terus emel : monalitamansor@gmail.com

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung