Saturday 23 November 2013

Bengkel Asas Penulisan dan Belasah Karya - 23 Nov 2013

Teks :  Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.  Salam Karya.  Bismillah.

Alhamdulillah.  Tabarakallah.

Sekitar 4.30 petang, selesai sudah Bengkel Asas Penulisan dan Belasah Karya yang dianjurkan oleh Grup Mari Menulis dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Cawangan Pekan Sri Manja.
Grup Mari Menulis adalah grup online yang menggunakan pendekatan 'membelasah' karya ahli-ahli yang ditampal di grup tersebut.

Grup Mari Menulis atau akronimnya GMM diterajui oleh AD Rahman, seorang penulis berpengkalan di Singapura.  'Admin' lainnya terdiri daripada penulis berpengalaman walaupun kelihatannya karya mereka agak jarang kelihatan di arus perdana tetapi ilmu dimiliki tetap memberi manfaat kepada sesiapa yang mengingininya.  Mereka ialah Aiza Zizan a.k.a Hazama Harun, Ayahanda Chik a.k.a AC Jaffry, Aimee Nour, Nurharyati Ishak, Nurhayyu Fitrah.

Penceramah jemputan ialah Novelis Haiza Najwa, penulis di Alaf 21, penuh pengalaman, cantik, ceria, kuat semangat dan sesi bersamanya berlangsung sangat santai.  Penceramah kedua ialah Puan Kalthom Abu Bakar, tuan punya syarikat penerbitan Karystos Creative Sdn Bhd.  Bagi saya, beliau seorang yang teguh pendirian dan cekal dalam usahanya untuk memartabatkan bahasa Melayu demi kesinambungan generasi bermaruah.  Saya tak akan lupakan saat melihat dia mengesat air mata, sebak membicarakan nasib bahasa dan bangsa Melayu sendiri.

Selepas makan tengah hari, sementara menantikan kedatangan penceramah ketiga, penulis veteran Tuan Yahaya Ismail, saya memulakan sesi 'Belasah Karya' dengan mengenengahkan kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan di dalam berkarya, terutama kesalahan tatabahasa.

'Belasah' yang menjadi jenama GMM memanglah bunyinya agak ganas dan mafia.  Tetapi sebenarnya perkataan belasah itu sendiri adalah gabungan perkataan 'belajar' dan 'asah'.  Bukanlah bermakna, 'admin-admin' GMM itu setara samseng!  Semuanya baik hati dan lemah lembut belaka.

Tuan Yahaya Ismail meneruskan sesi dengan suntikan motivasi dan penghijrahan minda penulis dengan ilmu-ilmu yang diturunkan seperti penggunaan bahasa, teknik, jalan cerita yang berisi dan sebagainya.  Majlis disambung semula dengan sesi 'belasah karya' sebelum diakhiri dengan penyampaian sijil oleh Tuan Yahaya Ismail.

Secara peribadi, saya amat berpuas hati, dan memandang segala kekurangan sebagai pelajaran yang paling berguna terutama buat admin penyelaras seperti saya, Aiza dan AC serta Puan Norhanizah Ismail yang sangat membantu.  Inilah antara cita-cita saya.  Menganjurkan sebuah bengkel penulisan bersama sahabat-sahabat sealiran, menitipkan ilmu yang sedikit, dipinjamkan Allah dan mengharapkan ia menjadi bekalan perjalanan jauh saya di alam sana nanti.  InsyaAllah.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya,

  1. Sdr Uthaya Sankar SB yang datang memberi sokongan dan menyumbangkan 20 buah antologi cerpen bertajuk Kathakali.  
  2. Sdri. Aiza Zizan dan Ayahanda Chik, selaku AJK Penyelaras Admin GMM
  3. Sdr. AD Rahman, Sdri. Aimee Nour, Sdri. Nurharyati Ishak, Sdri. Nurhayyu Fitrah, Sdri. Asmah Hashim selaku Admin Belasah Karya
  4. Tuan rumah, pegawai PPAS dan penyelianya, Puan Norhanizah Ismail
  5. Penceramah jemputan, Cik Puan Novelis Haiza Najwa, Cik Puan Kalthom Abu Bakar dan Tuan Yahaya Ismail.
  6. Terima kasih sepelaung Bima Sakti untuk semua peserta, Nor Aziah Zainal, Siti Khatijah Aisyah Yatim, Norazlina Abd Karim, Nadiah Kamaruddin, Rafidah Othman, Mas Raden, Nur Sabrina Nasaruddin, Mohd Nadzif Mohamad Shukeri, Salmah Ahmad,  Norfadzila bt Mahaudin, Saniah Mat Sanat, Zaileha Malek dan Syafeza Sauli yang datang dari Pasir Puteh, Kelantan.

Sudah tentunya Alhamdulillah, setinggi kesyukuran atas izin-Nya menghendaki semuanya berlaku.  Selepas ini, tumpuan saya beralih pula ke Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.  Sesiapa yang ingin meranduk setitis ilmu milik Allah ini melalui hambanya yang kerdil ini, jemputlah menghubungi saya di FB.



No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung