Wednesday, 11 December 2013

Hari Cuti, Hari Cuci

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Hari ini 11.12.13, hari kelepasan am bagi negeri Selangor kerana meraikan hari keputeraan DYAM Sultan Selangor.  Jadi, cik abang yang bekerja di gudang rokok di Shah Alam, turut bercuti.  Celik aja mata, dah dengar suaranya. Itu nak dibuang, ini nak dibuang. Itu nak dikemas, ini nak dikemas. Adik buat itu, abang buat ini, along sapu ini, angah sapu itu. Saya diam saja sambil siapkan sarapan, kalau saya masuk campur, dengan saya-saya sekali masuk senarai. Cik Abang kalau dapat 'bersuara', wah! dunia ana yang punya.  

Kemas punya kemas, dapatlah seplastik besar sampah atau barangan plastik. Itupun pemanas air saya yang rosak pun mahu dicampak juga ke dalam plastik, mujur saya nampak. 

"Nak jadi macam mak kau buat apa? semua benda nak disimpannya. Lama-lama jadi muzium rumah ni!"

Sebelum dia mencuci hari ini, saya sudah mengerjakan bahagian saya, semalam. Dengan zalimnya saya mengasingkan buku-buku, komik dan majalah anak-anak, saya susun dan ikat tali. Kenapa saya katakan zalim, sebab sebelum ini saya memang tak tergamak menjual apa saja bahan bacaan di dalam rumah ini, walaupun surat khabar. Tapi apakan daya, rumah pun perlu nampak kemas untuk kebahagiaan penghuninya. 

Tadi, along bawa buku-buku itu ke tempat mengumpul barang lusuh, dengan harga RM0.35 sekilo, dapatlah dia imbuhan sebanyak RM2.50, jadilah - upah membawa buku-buku tu turun. Jika difikirkan memang tak berbaloi, tapi lebih baik dijual daripada dibuang begitu sahaja. Lepas untuk 'top up' bil air seminggu.

Jadi 'stemet' hari ini - yang terpakai dan tidak tahu hala hendak dihumbankan, baiklah jual.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung