Wednesday, 28 August 2013

Kenapa saya teruskan?

Teks      : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.  Salam Serumahtangga.

Bagaimana saya boleh menulis?  Saya anak tunggal.  Pendiam, muka pecah pintu, manja dan semua label negatif ada pada diri saya.  Oleh itu, saya sukar mendapat kawan dan perhatian teralih kepada buku dan majalah.



Karya pertama yang saya baca adalah teks sastera tingkatan lima bapa saudara saya bertajuk Hikayat Panji Semirang.  Tak salah saya, ketika itu umur saya 8 tahun.  Saya hafal watak-watak dan jalan ceritanya.

Seterusnya saya mula menulis catatan merapu ke majalah hiburan.  Ketika itu, majalah Media Hiburan menyediakan ruang untuk peminat mencoret sesedap rasa (saya gunakan nama samaran ya!)

Apabila tersiar, semangat terus berkobar.  Sebenarnya memberi PELUANG dan ruang adalah hadiah paling bermakna buat manusia yang masih mencari tapak seperti saya.  Jadi usah takut memberi PELUANG kepada orang lain sekiranya anda sudah bernasib baik.  Jangan takut dengan stigma yang kepala anda dipijak apabila terlalu banyak PELUANG diberikan.  Hey! rezeki di tangan Allah.

Di sekolah, saya masih pelajar terpinggir.  Rupa tiada, budipun kurang walaupun pencapaian dalam pelajaran bertaraf sederhana.  Di atas kertas, saya curahkan segala keinginan dunia remaja yang tidak saya perolehi di dalam dunia realiti.

Saya mula menghantar karya ke majalah Dewan Siswa.  Tak tersiarpun.  Tetapi (alhamdulillah) bakat saya dikesan dan diberikan PELUANG untuk menghadiri Minggu Penulis Remaja 1991 selama seminggu. Nampak?  betapa indahnya perasaan mendapat PELUANG.

Sebanyak mungkin saya menimba ilmu dan terus menghantar karya ke Dewan Siswa sebagai menghargai PELUANG.  Rezeki kurniaan Illahi, cerpen saya menempatkan diri dalam 5 cerpen terbaik yang memenangi Hadiah Sastera Siswa selama tiga tahun berturut-turut.  Antara nama lain yang turut sama ketika itu ialah Nisah Hj Haron dan Hafizah Iszahanid.

Kini, saya kembali selepas dua buah novel bersama Creative Enterprise, antologi cerpen bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan berpuluh-puluh cerpen yang lapan daripadanya tersiar di majalah-majalah selepas saya kembali daripada proses pengapungan.  17 tahun sebelum itu saya di mana?

Nanti saya kongsikan.  Oh ya, kisah ini sekadar catatan inspirasi untuk saya terus berdiri, selebihnya anda boleh baca sendiri di monazman@blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung