Friday, 29 August 2014

2 Hari Lagi - Maka Rahsia Terbongkar Sudah

kakak aku, Kasmah Abd Manaf, dua dari kiri. Cuba tengok hidung kami. Sama tak? Kiri sekali We aku, Puan Normah Zainuddin kakak ayah angkat aku. Di sebelah aku Puan Noraini Wahid, adik mak kandung aku.
Assalamualaikum. Bismillah.

Keberadaan aku sebagai anak angkat dalam keluarga Tuan Mansor bin Samsudin dengan Puan Khadijah binti Abdullah ni memang aku dah maklum lama dah. Semasa aku berumur 15 tahun lagi. Namun begitu, aku tak percaya. Bila semakin besar khabar tu semakin kencang pun, aku abaikan juga. Tak jadi kudis pun pada aku.

Bila sudah bertunang, dan merancang pulak nak kahwin, tentulah ia menjadi kudis yang perlu aku ubatkan. Sebab, ayah ialah bapa angkat. Tak boleh mewalikan aku. Kena cari wali hakim. Sebelum guna wali hakim, kena pastikan dulu keberadaan wali sebenar aku. Lepas mendapat perintah mahkamah, aku terus telefon TV3 dan masuk rancangan Jejak Kasih untuk mencari mak dan ayah kandung aku.

Lain yang aku cari, lain yang aku dapat. Dah, telefon tak habis berdering-dering, bukan nak tolong cari. Nak mengorat aku pulak. Berapa punya bagus rakyat Malaysia ni kan. Ada tu sampai menyamar jadi inspektor di balai polis Bentong. Aku telefon semula, hah kan dah kantoi.

Akhirnya, bantuan Allah tiba, apabila seorang hamba Allah dari Johor mengesahkan alamat terakhir wali aku. Aku bacakan alamat itu kepada dia yang ketika itu sudah menjadi tunangan aku.

"Eh, itu kampung abah saya," ujarnya. Aik...magik tak? Magik tak? Itulah aku kata, ini semua bukan kebetulan. Memang Allah sudah tulis jodoh dan garis lingkup jodoh aku begini jalinannya. Tugas menjadi lebih mudah lebih-lebih lagi almarhum nendanya mengenali hamba-hamba Allah yang disebutkan namanya itu, iaitu almarhum ayahanda aku. 

Rentetan itu, almarhum pak long aku (ketika itu masih hidup) menceritakan tentang dua orang saudaraku, seorang kakak dan seorang abang yang ketika itu tinggal di Sg Lui. Selepas mendapatkan dokumen yang diperlukan, kami pun bertolak ke tempat yang dimaksudkan. Terjadilah jejak kasih yang kedua. Abang aku rilek aje. Yang kakak aku lagi rilek, dia buat muka selamba. Akulah yang menangis berjemban-jemban mengenangkan yang aku ni sebenarnya ada adik-beradik.

Mak dengan ayah aku macam mana? Cemas gila beb! lagi-lagi mak aku. Siap gelarkan aku, anak angkat. Kalau siapa-siapa bertanya, dia akan menjawab, saya tak ada anak. Ada anak angkat je. Sedih tak? Walhal, aku tak pernah pun anggap dia mak angkat ke, apa ke. Sampai sekarang pun, kalau balik kampung, memang mereka berdualah yang aku cari. Adik-beradik dialah mak saudara aku, anak-anak saudara dialah sepupu-sepapat aku. 

Mungkin diingatnya aku akan berpaling kepada keluarga kandung aku (adik beradik mak aku) dan adik-beradik aku sendiri. Entahlah. Kami berkenalan semasa masing-masing dah dewasa. Jadi, ukhwah tu agak hambar. Tapi sekarang, aku kamceng dengan kakak aku. Tiap kali raya, aku tak pernah lagi lupakan mereka. Malahan adik-adik kakak aku pun dah macam adik beradik aku. Happening. Seronok kan.
Di antara orang-orang kuat yang menjayakan majlis pertunangan aku. Dua-dua belah kanan tu sepupu aku.

Kaedah Didik Hibur dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Foto : Carian Google
Bertitik tolak daripada keperluan mengisi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan maka, kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah dipastikan memenuhi aspek penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan dan pemulihan.   Kita semua maklum bahawa mata pelajaran Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh murid-murid terutama di sekolah rendah sebagai langkah awal mempercepatkan proses penyebatian perpaduan antara kaum menerusi bahasa.
            Bahasa Melayu, walaupun ditutur secara meluas oleh kelompok kaum Melayu dan bukan Melayu, masih memerlukan penambahbaikan dari segi  penggunaan Bahasa Melayu Tinggi yang tidak kedapatan di dalam bahasa rancu pertuturan harian kita.   Begitu juga dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah, dari masa ke semasa memerlukan penambahbaikan untuk memastikan ia berlangsung dengan seronok di samping mencapai matlamatnya sebagai bahasa utama di Malaysia.
Jean Piaget menegaskan murid-murid berumur 7 -11 tahun berada di dalam tahap operasi konkrit di mana mereka sudah membuka minda untuk bersosial iaitu berkawan, bermain dan bergaul dengan rakan-rakan sebaya.  Teori tahap ketiga ini memungkinkan minda mereka penuh dengan kecurigaan dan sedikit demi sedikit menguasai pemikiran logik.  Begitupun, seadanya kanak-kanak, perasaan mereka tidak terhindar untuk bermain dan berseronok walaupun kesedaran berfikir secara egosentrik semakin menipis. 
Kabinet Malaysia pada 8 Julai 2009 telah memutuskan untuk memansuhkan PPSMI dengan mata pelajaran Sains dan Matematik kembali diajar di dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan pada tahun 2012.  Untuk melaksanakan pendekatan menguasai Bahasa Melayu sebagai salah satu transformasi kurikulum  di sekolah rendah maka kaedah didik hibur diperkenalkan.    Didik hibur bermaksud mendidik dengan maksud mengajar atau memelihara tetapi dengan cara yang menggirangkan dan menyenangkan hati.  Secara asasnya ialah adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran santai tanpa rasa tertekan oleh guru mahupun murid-murid di mana mereka bebas berekspresi di dalam konteks pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu yang mungkin meliputi unsur estitika, lakonan, lelucon dan sebagainya.
Menurut (Amy 1964: Fagen), kanak-kanak bermain dengan diarah oleh diri mereka sendiri tanpa mengambil kira tujuan bermain.  Ini menunjukkan betapa polosnya kanak-kanak yang hanya mementingkan keseronokan bermain.  Lalu, di sinilah terselitnya cirri-ciri masukan didik hibur yang antaranya mestilah ceria kerana berunsur kelakar walaupun tidak lari daripada cakupan unsur pembelajaran bahasa seperti lakonan,  muzik, puisi dan lawak jenaka.   Apabila kedapatan elemen-elemen demikian,  ia akan mengurangkan rasa cemas atau tidak yakin murid-murid terhadap guru apabila sesi dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan kesemua murid.  Guru berperanan sebagai pemudahcara dan secara keseluruhannya aktiviti dijalankan oleh murid-murid.    Dengan itu, murid-murid diharapkan dapat berinteraksi di dalam kumpulan dan bereksperimen dengan wahana seperti nyanyian, lakonan, bacaan berirama sebebasnya tetapi masih di dalam kawalan para guru. 
Sebagai contoh, guru boleh memperdengarkan murid-muridnya lagu Rama-Rama (lihat Lampiran 1) nyanyian Ella.  Lagu ini dipilih kerana ia agak moden berbanding lagu-lagu puisi berima yang ‘keanak-anakan’ Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan berasaskan lirik lagu ini seperti aktiviti nyanyian.  Aktiviti nyanyian adalah untuk aplikasi teknik ajuk hafaz untuk membiasakan murid-murid dengan liriknya.  Boleh juga dilakukan aktiviti bacaan berirama dengan bantuan guru. 
Apabila lirik tersebut telah diingati, aktiviti lanjutan boleh dilakukan seperti aktiviti lakonan.  Guru boleh melibatkan jumlah murid yang ramai berdasarkan lirik lagu tersebut.  Sebagai contoh watak rama-rama, bunga, pokok, matahari, manusia dan penyanyi latar atau pencerita.  Aktiviti boleh dijalankan berasaskan lirik tersebut tetapi menggunakan skrip yang kreatif dan melucukan.  Guru-guru mungkin boleh merujuk kepada klip video persembahan akhir tahun siri Upin dan Ipin, sebagai contoh. 
Selanjutnya guru boleh memulakan sesi memahami bahasa puitis dan makna puisi sebagaimana yang tercatat di dalam lirik sebagai contoh memahami rangkap

Ekspresi dirimu menawan hatiku
Ingin aku terbang bersamamu
Melihat kerenah melihat telah
Manusia yang sering telagah


Murid-murid boleh digalakkan mencari makna dan diajar membaca kamus seterusnya memahami rangkap demi rangkap.  Semasa sesi ini berlangsung, murid-murid boleh dibahagikan kepada kumpulan kecil dan mereka akan diminta menulis semula rangkap tersebut secara kreatif.  Secara kreatif mungkin bermaksud kebolehan mewarna dan melukis boleh diaplikasikan sekaligus memberi peluang mereka menggunakan kedua-dua otak kiri dan kanan secara maksimun.   Untuk sesi ini, pendekatan komunikatif digunakan dimana pengajaran berpusatkan murid di dalam proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.  Guru-guru menjadi pemimpin dan pemandu serta pemudahcara.
Sebagai intihanya, kaedah didik hibur merupakan kaedah yang sesuai dengan situasi generasi Y pada masa sekarang.  Pendekatan berasaskan keceriaan tanpa meninggalkan aspek pendidikan amatlah diperlukan memandangkan kaedah pembelajaran tradisional memungkinkan suasana pembelajaran dan pengajaran berlangsung hambar.  Akhir kalamnya akan menjadikan murid-murid lesu dan hilang minat mendepani subjek tersebut.  Ini akan meninggalkan impak negatif terhadap perkembangan bahasa melayu itu sendiri dan melayukan proses menjadikan ia sebagai bahasa utama penyatuan kaum di Malaysia.





Lampiran 1
Lirik Lagu Rama-Rama - Ella

Seumpama rama-rama
Terbang bebas di udara tanpa ada halangan
Aman damai suka-suka, riang ria
Tanpa ada rasa duka sengketa
Rama-rama

Ekspresi dirimu menawan hatiku
Ingin aku terbang bersamamu
Melihat kerenah melihat telatah
Manusia yang sering telagah

Ekspedisi ini bagai tiada henti
‘Kan menjadi antologi diri
Terhentilah mimpi terhapuslah sepi
Sanubari yang lebih berani

Terminal yang pasti satu fitrah hati
Kerana yang sejati tiada kekal lagi
Terbanglah ke sini mencari abadi
Terbanglah ke mari mencari hakiki

Seumpama rama-rama
Melewati panorama yang penuh warna warni
Taman bunga taman damai
Dengan aksi lincah berputik hidup yang harungi
Rama-rama










Bibliografi

Ahmad Kamal bin Ramtan. (2013, Januari 17) Keperluan Didik Hibur Dalam Pengajaran, diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada http://jpn.moe.gov.my/jpnmelaka/index.php/ms/  
S. Fauzan dan Azam Dungun (tiada tarikh) Lirik lagu Rama-Rama, Ella diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada  http://www.liriklagumuzika.com/2008/03/lirik-rama-rama-ella.html
Ain.  SKPX 2083 Psikologi Perkembangan  (2007, Januari 29) Tahap Operasi Konkrit (7-11 Tahun)  diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada http://teoripiaget.blogspot.com/
Catatannota. (2011, Ogos 15) Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada http://catatannota.blogspot.com/

Monalita Mansor (2013, Oktober 12) TGFU dalam Pendidikan Jasmani, diperolehi pada Oktober 16, 2013 daripada http://monalitamansor.blogspot.com/

Thursday, 28 August 2014

3 Hari Lagi

Assalamualaikum. Bismillah.

Akhir 1995, aku ke Haadyai. Ikut rombongan bersama geng hu ha aku la. Sepanjang perjalanan (kami naik bas) di setiap tempat yang aku singgah, aku telefon dia. Tapi tak berangkat-angkat. Oh ya, satu hal yang aku geram sangat masa kami mula-mula berkawan, dia tak beritahu nama betul dia. Macamlah, aku nak jaja nama dia, kalau aku tahu nama sebenar dia!

Di Haadyai pun, apa-apa cenderamata yang aku beli, mesti ada untuk dia. Ah! sudah. Kalau tak aku yang sakit, dia yang sakit ni. Ada beberapa lagi benda pelik yang aku kira bukan kebetulan. Memang dah jodoh sebenarnya. Selang beberapa minit aku isytihar perang putus dengan boyfriend yang sedia ada tu, dia menelefon dan aku boleh ketawa dan senang hati, walhal sekejap tadi aku menangis! Memanglah aku ni entah apa-apa.

Satu ketika, raya kedua tahun bila aku tak ingat. 95 kot. Aku teringat pada dia, sebabnya dah berapa hari pulak dia tak telefon. Maklumlah raya. Orang sibuk. Aku nak sibuk apa. Adik-beradik pun tak ada. Sebaik balik beraya dari rumah jiran, dia menelefon semula. Sekarang cuba cakap...aku ingat dia ke, dia ingat aku...hehehe.

Dalam pada tu, kami dah pandai berdating pulak. Sebulan sekali, dan pada kebanyakan ketika, dia datang berjumpa aku di Temerloh atau Mentakab. Tapi disebabkan muka aku ni 'muka wanted' (semua orang cam - sebab aku bekerja di sekitar situ juga) langkah aku panjang sikit dan kami berjumpa di Kuala Lumpur pulak. 

Sampai la satu ketika, aku jemput dia ke rumah, sebab masa tu musim kuinin. Dan, pada masa tu jugak, selepas dia melamar aku dengan brutalnya di Taman Tasik Titiwangsa, ayah minta kepastian mengenai kami. Macam tahu-tahu saja, dia pakat angguk dan setuju untuk menuju kepada komitmen yang lebih pasti.

Magik ke? Biasa-biasa aje kan?


Al fatihah untuk sebahagian tenaga penting yang memungkinkan majlis pertunanganku menjadi nyata. Dari kiri almarhum Aki Penang, almarhum Aki Menteri (jurucakap pihak perempuan), abah (pak mentuo den), almarhum Tok Long Bendahara (jurucakap pihak lelaki), almarhum Pak Cik Ramlee (ketua kampung), Pak Cik Mat Lani, almarhum Pok De Manaf dan almarhum Ustaz Aziz (jurunikah kami)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung