Sunday, 1 December 2013

Menjadi Suri Rumah Kreatif.

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Sekiranya anda lahir di dalam tahun 70-an dan mulai masuk tadika pada sekitar tahun 80-an tentu anda masih ingat suasana ketika itu.  Kebanyakan kita datang dengan tangan kosong, malah ketika bergraduasi di tadika pun masih kosong juga.  (Ketika itu kita masuk tadika untuk tempoh setahun sahaja sebelum masuk ke sekolah rendah kebangsaan) 

Saya masih ingat, saya belajar dan mengira dan membaca dengan Cikgu Aminah di dalam darjah 1 Merah.  Ayah dengan emak tidak risaupun ketika saya tidak tahu membaca dan mengira ketika berada di alam tadika.  Seingat saya, di alam pra-sekolah itu saya selalu menerima layanan istimewa daripada almarhum Mak Cik Timah, kawan ayah.  

Berbeza dengan senario kini.  Anak-anak sudah dihantar menerima pendidikan seawal usia lima malahan ada yang lebih awal daripada itu.  Ada ibu bapa yang sangat cemas apabila anak-anaknya yang bakal menjejak ke alam persekolahan sebenar masih lagi tidak tahu menguasai setidak-tidaknya 3 daripada 4 kemahiran teras di sekolah.  Lebih drastik lagi, ada jiran saya yang menghantar anaknya yang bakal masuk darjah 1 menghadiri kelas tuisyen sebagai persediaan awal.  

Gawat atau tidak, bukan isunya.  Saya hanya ingin menarik perhatian suri rumah agar tidak terlalu cemas dengan hal-hal begini.  Potensi anak-anak adalah berbeza.  Jangan cemas dengan anak jiran yang sudah boleh membaca buku cerita sedang anak kita tidak mengenal A.  Sebab anak itu, 'anak jiran' dan bukannya darah daging kita.   Sedangkan adik-beradikpun dijadikan Allah berbeza-beza sifatnya.

Maka, peruntukan untuk menghantar tuisyen, atau membeli bahan-bahan berbentuk pendidikan dan kemudiannya menjadi perhiasan sahaja itu, boleh kita gunakan untuk keperluan lain.  Kita mengharapkan anak kita fasih berbahasa asing, ya tetapi kita sendiri yang harus menjadi gurunya.  Bukan komputer, bukan cd.  Itu semua merupakan alat bantu sahaja.  Bagi suri rumah yang tidak berkemampuan, bagaimana untuk bersaing jika bahan-bahan seperti itu yang menjadi ukuran?

Suri rumah yang kreatif akan menggunakan apa sahaja bahan yang berada di sekitarnya untuk mengajar anak-anaknya.  Baik secara santai ataupun formal.  Kita mungkin boleh menggunakan akhbar, misalnya.  Sambil bersantai-santai dengan anak-anak, bacakan mereka berita-berita yang menarik dan ajar mereka membaca perlahan-lahan.  Syarat pentingnya, bersabar meladeni kerenah mereka dan bajet keluarga mungkin dapat diselamatkan.  

Wallah hu alam. 

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif bersiaran secara rasmi hari ini, pada hari kelahiran anak sulung saya 15 tahun yang lalu.  Aduhai, manisnya mengingat detik itu. 
tawaran sehingga 31/12/2013, setiap pendaftaran baru ke Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan menerima cenderahati ini, sebagai tanda terima kasih daripada salah seorang guru kelasnya, Monalita Mansor






No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung