Friday, 16 October 2015

Tabahlah Baiti Adlin di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri

Petikan cerpen 'Tabahlah Baiti Adlin' yang turut dimasukkan dalam kompilasi 3 Wanita Yang Aku Cinta


“Mama tak suka Alif?”
Dia mulai meletakkan aku di neraca keserba-salahan. Aku suka sesiapa juga yang menjadi kekasih dan kesayangan anakku itu. Asal sahaja dia memenuhi tuntutan dan keafdalan sebagai manusia beriman dan waras.
Aku menggeleng-geleng. Mata bulat anak gadis dua puluh tiga tahun itu aku tenung.
“Betty dah fikir semasak-masaknya?” Aku memohon kepastian. Betty mendekati aku. Merangkul leherku dan mencium pipi tuaku. Inilah yang membuatkan aku kalah benar. Betty gemar menggunakan helah kasih sayangnya yang satu itu.
Biasanya, Azman akan ketawa apabila aku ceritakan betapa aku tidak mampu berkata tidak pada saat begini.
“Betty dah sedia nak jadi ibu? Perkahwinan bukan untuk berseronok-seronok. Mama harap Betty faham. Banyak tanggungjawab. Mama bimbang. Betty anak yang manja. Alif pun… mama lihat terlalu memanjakan Betty. Mama risau kalian tak dapat menyesuaikan diri.” Aku luahkan segala-galanya. Betty ketawa kecil. Terserlah lesung pipitnya.
“Itu sahaja yang mama bimbangkan?” Betty menempatkan dirinya di sebelahku. Selamba dia berbaring berbantalkan pahaku. Kebimbanganku sebenarnya lebih daripada itu. Di mana hendak kami jejaki wali sebenar anak ini.
Selama dua puluh tiga tahun, Betty meniti hidup di atas tiket anak manja dan anak tunggal kami. Disayangi aku. Disayangi papanya. Disayangi bapa-bapa dan ibu-ibu saudaranya. Dilimpahi curahan kasih sayang tidak berbelah bahagi. Tambahan pula keletahnya nakal dan manja.
“Macam mana dengan mama dulu?” Betty mengail pendapatku.
“Mama dengan papa kau ditangkap basah,” ujar Azman selamba. Kemudian ketawa. Betty melongo.
“Betul ke, mama?” Betty mendapatkan papanya yang baru sahaja mengheret peralatan golf masuk ke dalam rumah. Dia masuk ke ruang dapur dan kembali dengan segelas oren di tangannya. Dihulurkan kepada papanya yang berdecit-decit kepanasan hawa petang.

Sorrylah ya… papa kau mungkin pernah diserbu JAIS. Mama tak ada…” Aku membetulkan. Ruang tamu digemai ketawa. Bantal kecil di tangan, aku baling ke arah Azman. Sempat disambutnya dan kembali akhirnya kepadaku.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung