Add caption |
Gambar : Tak ada gambar raya yang diambil di rumah.
Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.
Hampir seminggu sudah Syawal berlalu. Puasa 6 sudah dilunaskan? Saya belum lagi. Masih rindukan Ramadan sebenarnya. Masih terkenang-kenang saat-saat manis berada di dalam zon makbul doa. Masih terngiang-ngiang rintih tangis dan rayuan sukma pada Dia yang satu. Masih teringat-ingat indahnya sillaturrahim yang terjalin sesama rakan maya, biarpun ada separuhnya tidak pernah bertemu muka.
Ramadan yang berakhir disambung dengan dugaan balik kampung yang menghadapi kesesakan tahap mega. Maka, dengan bantuan rakan-rakan maya, kami membelok masuk ke jalan Gombak-Bentong lama. Wah, segarnya udara hutan dan curam dan dalamnya jurang, semuanya mendebarkan. Tak sangka, masih terpelihara kesucian hutan yang memeluk kami di sepanjang perjalanan.
Persediaan hari raya di rumah mak, serba sederhana. Tiada lemang (ayah memang tak pernah buat lemang sejak dulu) Rumah mak tak boleh dikemas lebih-lebih, nanti dia bising. Cari tu tak jumpa. Cari ni tak jumpa. Jadi, kami biarkan aje dengan rupa asalnya.
Menjelang Aidil Fitri, ayah yang buat rendang. Mak tak benarkan saya buat sebab katanya saya buat tak sedap. Saya dan encik suami menyibukkan diri di pekan sehari Temerloh, menyertai hamba-hamba Allah pelbagai ragam dan rupa dalam keghairahan menyambut raya. Untuk memberi rasa gembira untuk anak-anak, dibelikanlah mercun pop ke apa ke (saya pun tak tahu).
Malam menjelang Aidil Fitri, sedaya upaya saya melakukan ibadat setakat yang terdaya. Esok, kena bangun pagi-pagi, kena sediakan juadah sebelum menunaikan solat sunat Aidil Fitri. Meraikan sunnah, kan pahala tu.
Pagi 1 Syawal, anak-anak menunjukkan wajah ceria, biarpun tiada seorang pun yang berbaju raya baru tahun ni. Alhamdulillah, mereka reda walaupun saya tahu di dalam hati mereka, ada sesuatu yang pedih tersimpan. Along, kami tinggalkan di rumah buat menemankan wannya. Yang lain, diangkut ke masjid untuk bersolat sunat.
Selepas anak-anak membesar, inilah kali pertama saya berpeluang bersolat sunat Aidil Fitri di masjid yang penuh nostalgia di kampung itu. Usai tahlil di masjid, kami bersiap pula untuk bergerak menuju ke Felda Sg Retang, Jerantut. Rumah siapa? Nanti saya sambung ya.
Eh...masih ada yang perlukan stok serunding atau nasi arab untuk jamuan rumah terbuka. Hubungi saya ya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D