“KAU
bergayut dengan dia tu lagi, eh? Kenapa kau tak pernah nak dengar cakap mak? Kau
ingat mak ni Radio Malaya? Mak…dengan abah tak suka kau berkawan dengan dia!”
Suara Puan Mariam menggegar gegendang. Mendudu-dudu denyut, rebah rempah
menyerang urat kepala menghasilkan gelombang migrain.
“Dalam
dunia ni, bukan dia sahaja kawan orang…mak,”
ujar Nayla mengerutkan dahi. Dipicit-picitnya. Kerutan yang sama melebar
di hati.
“Tapi
itu kawan yang paling kau sayang kan ?”
terjah Puan Mariam, sengaja dan dengan sinis pula.
“Mak…
berkawan tak semestinya berkahwin,” patah Nayla kembali. ‘Aduh, dia buat dah.
Aku letak kang! Aku letak kang!’ Nayla menggugut sendiri.
“Kau
masih nak berdegil…Nayla. Kalau ikutkan hati mak… mak nak ganyang si tak sedar
diri tu!!!” Tengkingan Puan Mariam mengegar. Tidak tergambar geram dan amarah
yang bekerjasama dengan baiknya daripada kata-kata itu.
Nayla
memutuskan talian dan membiarkan panggilan bertalu-talu dari Puan Mariam menjerit
masuk. Terusik hati dengan sikap orang tua yang tidak meletakkan kewajaran di
tempat yang sepatutnya. Kalau diukur
dengan penilaian derhaka, memang dia boleh dicampakkan dalam kategori derhaka. Masih berdegil meneruskan apa yang dilarang
keluarga.
Tetapi
penentuan jodoh (sekiranya jodoh telah menyeru) adalah hak milik istimewa
dirinya sebagai tuan punya diri. Sebagai manusia yang nanti akan mengorbankan
keseluruhan aspek rohani dan jasmani. Menerima kesan langsung daripada lafaz
ijab dan qabul yang menyatu dua hati dunia dan akhirat. Lantaran itu, tidak ada
sesiapa lebih-lebih lagi emaknya yang dirasakan diktator dalam hal ini
menentukannya.
Tambahan
pula, di hati Nayla belum terdetik keinginan untuk memberi komitmen kepada
rumahtangga biarpun Aizat beberapa kali memberikan petunjuk bersulam makna. Bukanlah
dia bodoh benar. Bukannya tidak dapat dibaca niat daripada bicara lelaki
berbadan gempal berwajah tenang itu hanya, Nayla mengabaikannya buat masa ini.
Dia
mencapai alat kawalan jauh. Kecelaruan akalnya yang terganggu dengan panggilan
tadi cuba
disalurkan kepada History Channel
yang menayangkan siri Pawn Stars. Kisah
realiti kedai pajak gadai. Juga informasi-informasi menarik tentang barangan
antik dan vintaj yang menjadikan ia siri kegemarannya di saluran itu. Saluran biasa menyiarkan drama-drama realiti
tidak mampu ditonton lagi kerana begitu sinonim dengan hidupnya. Teragak hati
untuk menyentuh komputer riba yang terbiar semenjak tadi. Laju tangannya menaip
menyusur laman sosial. Gambar profil semasa konvokesyen masih setia di
situ. Tangannya menekan pada paparan event.
‘Alumni
pengurusan perniagaan’
Tarikh,
masa bla..bla. Dia membacanya dengan hati
berbunga riang. Tiba-tiba. Kesempatan menguak kembali memori zaman kampus
memekar. Alam peralihan menginjak dewasa dalam cara yang tersendiri. Dia
meneliti senarai bekas pelajar yang sudahpun menjanjikan kehadirannya. Nama
Jijat Pijat sudahpun berada di dalam senarai.
Dada
Nayla kembali senak. Puan Mariam boleh
menghidu kehadiran lelaki itu di bumi semenanjung ini. Entah apa ilmu yang dipakai perempuan separuh
abad itu. Atau mungkin, kerana dia yang
salah; memberikan kata laluan untuk akses ke akaun laman sosialnya. Bukan
sukarela, suka tak rela. Dipaksa memberi! Kerana itu setiap gerak-gerinya seolah-olah
diperhatikan. Puan Mariam tentu tidak melepaskan peluang menyoalsiasat Nayla
seandainya terdapat bukti dia masih berhubungan dengan Aizat. ‘Emak terlalu
melindungi hingga ke taraf mengongkong,’ Nayla menghambur kesal.
“Kau
jangan ingat…kau duduk seorang di KL ni, mak tak tahu gerak geri kau. Sekilas
dengar suara kau pun mak tahu kau berbohong.” Nasihat atau lebih tepat lagi
amaran itu keluar sebaik sahaja Puan Mariam melangkahkan kaki meninggalkan
perkarangan kondominium yang disewanya itu.
Setelah setiap sudut rumah termasuk
bilik air diselidik dan ditentukan tahap keselamatannya. Ketika itu dia baru
melapor diri di cawangan yang menjadi rumah keduanya itu. Dia sayangkan Nayla,
sungguh. Tapi itulah caranya mempamer kasih sayang, semenjak dulu.
“Jaga
diri baik-baik. Jangan abaikan solat.” Pesan Encik Nasir pula. Lirih.
Abahnya
itu adalah anggota parti pendiam. Jika tiada keperluan, tiada suara akan
kedengaran. Berbeza dengan Puan Mariam yang tidak perlukan apa-apa pencetus
untuk mengeluarkan kata-kata. Dan, jarang perkataan yang dikeluarkan berlapik,
lebih-lebih lagi pada anak gadis yang berlainan iras dengannya itu. Semakin
Nayla dewasa, dirasakan jurang itu semakin melebar dan menjunam dalam menjadi
gaung. Dia cuba memahami Nayla dengan caranya, tetapi dirasakan sikap Nayla
terus dingin dengannya.
Berjauhan
daripada keluarga merupakan merdeka kecil buat diri Nayla. Bertembung dengan emaknya sentiasa hari akan meledakkan
api kontroversi yang setiap hari akan diisi dengan agenda yang berbeza. Terkadang,
akal fikirnya bejat memikirkan apa kehendak Puan Mariam sebenarnya. Mahu dia
sentiasa di depan matakah? Mahu kemahuannya yang Nayla rasakan bukan-bukan itu diikuti
atau mahu Nayla terbentuk mengikut acuannya.
Semenjak
di zaman persekolahan lagi, kawan-kawan Nayla arif dengan hati budi Puan Mariam.
Mereka hanya mampu menampakkan diri di rumah Nayla hanya pada hari raya. Terkecuali untuk kawan lelaki, langsung tiada
kompromi. Jangan cuba muncul di muka pintu rumah, akan disilat dek Puan Mariam
dengan soal siasat ala Nazi. Cuma Eza, anak Mak Ngah Jamilah yang paling bongsu
mampu bertahan leteran emak dan akan menjadi penyampai setia buat Nayla. Selain
itu, Nil! Dia masih menyusur laman sosial dan mesej daripada Jijat Pijat
terpapar.
Sengaja
Nayla menyakat lelaki yang setakat ini berada di sudut hati yang paling sipi.
Kali terakhir dia menjejakkan kaki ke kampung adalah hari raya tahun lepas. Jika dia rindukan abahnya, hanya melalui
talian mereka berhubung. Untuk berdepan dengan Puan Mariam, Nayla masih belum
bersedia selepas insiden di bank tahun lepas.
Nayla menekan
opsyen log out dan membiarkan
perbualan itu tergantung di situ. Gementar, resah, riang bergulat dalam diri.
Nayla tidak mahu membayangkan mimpi ngeri di depannya seandainya dia membiarkan
perasaannya hanyut.
“Ayat yang mana yang buat awak menyampah?” Suara Aizat kedengaran lembut dalam
malam yang semakin dingin. Telefon bimbit dialihnya ke telinga kanan. Nayla
menghenyak tubuh di sofa. Dia tahu Aizat
akan menggunakan sepenuh talian yang ada untuk terus mengurai kekusutan
hatinya.
“Sayang…saya
memang sayangkan awak. Saya memang rindukan awak.”
“Awak
tak faham Zat.” Nayla menghela nafas. Segala-galanya ini tak akan ke mana-mana.
Kalau Aizat mengistilahkan ini sebagai percintaan, percintaan ini tidak akan
berakhir dengan indahnya gerbang perkahwinan.
“Awak
yang tak pernah nak bagi saya faham,” Aizat memejalkan bicara.
“Bukan saya…”
“Habis
tu. Siapa? Awak ada orang lain ya? Yang lebih macho daripada saya? Yang lebih
kaya dari saya? Kenapa tak cakap dari dulu. Kenapa berdolak-dalik?” Kasar,
meninggi dan kebudak-budakan, bicara Aizat. Nayla membuat tafsiran. Terdengar
talian di corong sana
dimatikan. Nayla terperosok di dalam timbunan kusyen penghias sofa.
‘Merajuklah
pulak.’
NANTIKAN DI PASARAN - JUN INI, INSYA-ALLAH
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D