BAB SATU (1)
NADA
ketukan yang kelang-kabut masih menghuni meja sebelah. Sesekali dia mengerling
kepada empunya jari. Tiada respon diterima. Seolah-olah ketukan dan kalau
dikatakan tarian pen itu beserta tuan punyanya juga tenggelam dalam kotak dunianya
sendiri.
Nayla
menyelak-nyelak malas helaian pelbagai service
request yang menadah di depannya. Jujur sejujurnya dia benci bekerja dengan
kertas; dengan komputer yang tidak memberi reaksi dan sekadar mendengar dan
menadah apa sahaja luahannya.
Di
sebalik dinding sebelah sana ,
petugas kaunter hadapan masih sibuk melayan pelanggan yang semakin ramai menjelang
waktu makan tengahari. Kaunter perbankan komersial di kawasan sibuk itu
bertambah sibuk terutama pada awal minggu dan akhir minggu.
Kadang-kadang
kerana rutin begitu, para petugas kaunter memperlahankan kelajuan setiap satu
transaksi mereka. Bagi pelanggan mereka diberi dua pilihan. Menunggu atau
beredar. Pilihan ketiga; yang kadang-kadang ada; ialah pelanggan mengemukakan
aduan. Kadang-kadang terus ke media tempatan dan satu salinan kepada Bank
Negara. Ketika itu, akan menari zapinlah para pegawai atasan di kerusi empuk
mereka.
Tarian
pen yang memekakkan itu terhenti serentak beriring dengan sebuah keluhan. Nayla
tidak bereaksi waima mengerti ada yang membutuhkan bantuannya.
“Tolong
aku sekejap…” Wanita lebih kurang
sebayanya itu bersuara juga akhirnya. Nayla menolak kerusi, bangun mendapatkan
Hanisah tetapi tersentak dengan nada dering paling biasa di pendengaran yang menjengah
lagi.
“Ya
mak….” Suaranya perlahan sebaik sahaja melafazkan jawapan salam. “Tak ada.” Dia
menguis jatuhan rambut di dahi yang menganggu perbualan sambil menjawab dengan
wajah yang sukar dimaniskan, “betul. Orang tak tipu…” Nayla melontar keluhan
kecil sambil mengetuk-ngetuk pen di tangannya ke meja. “Itukan dah lama… cuba
mak tengok tarikhnya.”
Wanita kelahiran
bumi Cik Siti Wan Kembang yang berwajah manis di meja sebelah itu tersenyum
simpul setelah berjaya mencuri dengar perbualan mereka.
“Buat
apa nak tipu mak kau?”
Nayla tidak
menjawab soalan itu tetapi menarik kerusi. Duduk betul-betul mengadap komputer di
meja sebelah membuatkan Hanisah terpaksa mengengsot memberikan ruang.
“Dah
tahu gemuk tu…beranjaklah sikit,” rungut
Nayla tanpa menjawab soalan itu dan matanya lekap pada helaian Electronic Journal yang terpapar pada
perisian Words di komputer.
“Hey!
Dengar aku cakap ni.” Serentak dengan kata-kata Hanisah itu, Nayla spontan mengibas-ngibaskan
jarinya yang diketuk dengan pen. Hanisah ketawa tanpa kesal.
“Zalimnya
kau ni. Aku dah suka dan rela nak tolong,
kau sakitkan aku pulak.” Digosok-gosoknya belakang jarinya. Hanisah melambakkan
tawa lagi. Surana, yang berada di meja kanan bersebelahan meja Nayla meletakkan
jari ke bibirnya.
“Berdosa
tipu mak tau,” asak Hanisah.
“Mana
ada. Aku cakap yang betullah.” Nayla
membela diri sambil matanya dikecilbesarkan ke skrin monitor di depannya.
“Betullah
sangat,” ejek Hanisah, sinis.
“Okey
puan, sekarang comparison kau tak balance berapa dan EJ kau tak balance berapa?
Nak aku tolong ke tak nak?” Nayla membanting tubuh ke kerusi seraya berpeluk
tubuh. Bicaranya beralih serius.
Hanisah
mencantumkan kesemua tapak tangannya sambil memandang Nayla. Nayla kemudian berdiri
bercekak pinggang dalam kebaya Kota Bharu yang menyerlahkan keanggunannya
sebagai gadis graduan bertaraf eksekutif. Kulitnya putih kuning dengan hidung
mancung diapit mata bulat besar yang dikawal kening tebal di atasnya. Waktu
hampir menujah ke jam dua belas. Bermakna giliran mereka untuk keluar berehat
sudah hampir.
‘Wei…ma ada telefon kau?’ sebuah mesej pesanan
ringkas terpapar daripada Eza sebaik sahaja dia mematikan nada dering telefonnya.
Eza, sepupunya yang baru habis sekolah, kawan baiknya dan juga kawan ‘teramat
baik’ ibunya. Dia membalas melalui mesej juga kemudian berlalu ke mesin
pengimbas untuk mengimbas service request
yang akan dihantar ke Loan Center melalui
e-mel. CCTV yang melata di mana-mana akan memperlihatkan kerja sebenarnya nanti
kalau dia asyik melayan telefon bimbit.
‘Ma
nampak kau ada like post Pak Tam, dia tengah naik hantu ni.
Kau ni suka sangat cari penyakit lah.’ – Eza. Sebuah keluhan lagi terhambur daripada
bibir Nayla sebaik membaca mesej tersebut.
‘Naik
hantu ke naik syaitan ke, aku tak ada masa nak layan.’ Rungutnya, sedikit
mengkal namun hanya kedengaran di dalam hati. Nayla duduk kembali di kerusinya.
Hanisah sudahpun mengemaskan meja. Membetulkan tudung dengan tuntutan janjinya
agar Nayla menyelesaikan kes tertangguh mengenai transaksi pelik di dalam
jurnal imbangan mesin deposit cawangan. Nayla mencapai pengikat rambut dan
mengemaskan mahkota kesayangannya yang separas bahu itu. Diikat tinggi
seakan-akan sanggul. Menyerlahkan lehernya yang sederhana jinjang.
“Macam
dalam pantanglah pulak. Besar masalah ni,” sela satu suara. Nayla berpusing ke
arah kanannya. Surana tersenyum sambil menutup mulut.
“Aku
nak fokus ni. Hari ni nak balik cepat.” Nayla menetapkan matlamat untuk hari
itu.
“Cepatlah
sangat! Kalau mak tiri kau kata cek tak balance
nanti… kau ingat boleh balik ke?” Sindir Surana, merujuk kepada teman sekerja
yang berbadan dua dan berangin dua, Nalini. Kerana itu dia mendapat gelaran mak
tiri. Angin kus-kus yang sukar dibaca walaupun pada hakikatnya hatinya memang
baik.
Teman
bekerja yang juga teman bertekak. Mengisi hari-hari bekerja dan membuatkan masa
seakan tidak memberi izin untuk menarik nafas. Biarpun cabaran bekerja dalam organisasi
pelbagai bangsa ini terasa semakin hari semakin mencabar. Sebenarnya ia lebih memberikan dia ruang
untuk menjauhi apa yang dirasakan lebih menyesakkan dada. Namun, sepulang
bekerja nanti dia akan sendiri. Rumah sewa di belakang rumah kedai bertaraf
kondominium itu menjanjikan sepi dan tambah membuarkan rindu pada setiap inci
kenangan yang telah berlalu di dalam hidup.
Benarlah,
sepi itu menyiksa jiwa. Rindu itu membakar hati. Lantas, apalah lagi daya
seorang Nayla untuk mengucainya andai setiap kali dia ingin keluar dari kotak
itu; ada dinding yang terlalu kebal menghalang. Malam hanya terisi dengan
luahan rasa di laman sosial atau setidak-tidaknya mencuci mata dengan membaca post kawan-kawan. Jarang sangat dia
melepaskan komen kecuali untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan sepejabat atau
alumni universiti atau persekolahan.
‘Wei, kenapa tak balas mesej aku siang
tadi?’ Mesej SMS Eza yang tinggal sekampung di belakang rumahnya dan bersaudara
pula memenuhi ruang telefon bimbitnya.
‘Sibuk.’
Belum sempat Nayla meletakkan telefon itu ke sisi, nada mesej mengaum lagi.
‘Ma
tak habis marah lagi,’ Adu Eza.
‘Biarlah.’
Pendek-pendek jawapan ditaipnya menandakan dia mulai bosan dengan soalan-soalan
serta cerita yang sama dibawa Eza.
‘Kau
ada telefon Pak Tam?’ soal Eza dalam mesej barunya. Nayla sekadar menaip ‘x’
bermaksud tiada. Sekejap saja masuk pula imej emoticon botak sedang menjelirkan lidah sambil ketawa. Nayla menaip
perkataan ‘tak ada’ dan menghantarnya semula apabila merasakan Eza tidak
mempercayai jawapannya tadi. ‘Pak Tam ada telefon kau?’ Eza meminda soalan.
‘Ada.’-
Nayla.
‘Ha..
patut la ma marah. Jin kepala tujuh dia dah dapat bau.’ Balas Eza. Tersenyum
Nayla membacanya.
‘Habis
takkan aku tak nak jawab?’ -Nayla. Telefon bimbitnya tiba-tiba tidak disinggahi
nada dering mesej lagi.
‘Kau rindu Pak Tam
eh?’ Oi…nanti aku bayar baliklah.’ Mesej Eza menyusul selepas mesej pertama
meminta Nayla menambah kredit pra-bayar ke dalam telefonnya.
‘Rindu
jugaklah.’ – Nayla. Tersenyum dia ketika menaip mesej tersebut. Seakan-akan ada
Eza di depannya yang memerhati kedua-dua belah pipi yang memanas,
kemerah-merahan.
‘Apa
kata. Kau ambil cuti kita pergi makan angin. Kita pergi Sabah .’
- Eza. Menggeleng-geleng Nayla membaca mesej cadangan itu walaupun hatinya
girang dan lapang.
‘Siapa
yang rindu kat Pak Tam ni. Aku ke engkau?’
– Nayla. Pantas Nayla menekan lembut opsyen menghantar mesej itu.
‘Alah…menyelam
sambil minum air. Macamlah aku tak tahu apa yang ada dalam hati perut kau tu.’
- Eza
‘Apa pulak aku? ‘Dah
tua bangka takut kat Ma lagi.’ Ejek Eza apabila Nayla mengugut tentang
keberadaan ibunya, Puan Mariam. Nayla tersenyum. Aksi pandir manusia masa kini
bersama gajet, tersenyum, ketawa dan bercakap seorang diri.
‘Kalau
kau berani sangat pergi cakap kat ma lah.’ - Eza.
‘Aku
bukannya takut. Aku hormat. Okey lah. Ada
orang telefon ni.’ - Nayla
Nayla tidak lagi
membalas mesej Eza dan terus sahaja menjawab salam yang dilantunkan dari corong
sebelah sana.
“Kenapa
lambat angkat telefon? Ni mesti sibuk
layan mesej Eza.” Suara Aizat kedengaran
ceria di corong sana. Nayla menjawab kata-kata itu dengan ketawa pendek. “Rindu
kat saya tak?” Aizat mengumpan dengan persoalan hati yang tidak pernah terjawab
sejak dulu.
‘Tidak pernah seminit pun hati ini tidak
merinduimu.’ Seakan mengalir air jernih di birai mata saat rasa mengungkap
pernyataan itu.
“Adalah
sikit.” Nayla menjawab sombong.
“Hari
ni apa pula masalah awak? Apa yang tak balance?
Siapa pelanggan yang kacau awak lagi. Bos awak meroyan lagi ke…saya nak dengar
ni. Saya tak pernah penat nak mendengar.” Sinis ajuan bicara di Aizat di hujung
sana sebelum
ketawa kecil menyusul.
“Hari
ni tak nak cerita pasal kerja.” Nayla menjawab sedikit manja.
“Awak
tak nak tanya pasal kerja saya. Susah saya kat
sini. Rindu macam nak mati kat awak. Nayla… saya rindukan senyuman awak. Kan seronok kalau kita
tak payah habis belajar. Hari-hari saya boleh tengok muka awak.” Aizat
membariskan kemungkinan yang tidak mungkin berlaku.
“Lepas
tu, pinjaman PTPTN tak payah bayar. Pinjaman FAMA tak payah bayar. Suruh mak ayah pandang aje kita yang dah
habis belajar ni?” tukas Nayla. Aizat ketawa kecil lagi. Sebak hati saat
menyebut perkataan FAMA. ‘Mak dan abah
saya tak pernah menyukai awak, Aizat. Apa yang terhubung di antara kita memekar
di taman larangan.’ Rintih hati Nayla.
“Maaf,
Zat. Saya rasa ada panggilan masuk ni. Nanti saya telefon awak semula.”
“Awak
sembunyikan se…” Aizat tidak sempat
menghabiskan kata apabila talian telahpun diputuskan.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D