Tuesday, 13 May 2014

Perempuan Muda Bernama Ramlah

Ramlah binti Wahid, berasal dari Welch Estate, Jementah Segamat.
Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Catatan ini bukan membuka pekung di dada. Sekadar catatan untuk sesiapa yang mahu mengambil iktibar bahawa poligami di tangan yang bukan ahli akan menjadi badi.

Badi itulah yang menganggu kehidupan perempuan muda bernama Ramlah yang menjadi pengantin semalaman. Kemudian, ditinggalkan suaminya dengan ibu tiri yang aku kira klise dengan aliran fikiran masyarakat Melayu umumnya. Daripada saksi mata dan telinga yang masih hidup mahupun meninggal dunia, perempuan muda itu dijadikan hamba sekalipun ketika itu sarat membawa janin di dalam perutnya. Diarah mengangkat air daripada perigi yang jauh dari rumah. Itu yang aku dengar.

Kukira, Ramlah semakin derita kerana tiada sesiapa mahu mendengar laung azabnya disebabkan oleh kecacatan panca indera dan serba serbi kesibukan harian yang disengajakan dengan tujuan balas dendam.  Apalah lagi yang ada di hati seorang perempuan yang digelar isteri muda terhadap anak kepada madunya kalau bukan rasa sakit hati, rasa dendam walhal kau sudah memiliki lelaki itu keseluruhannya. 


Sampailah pada harinya, lebih kurang setahun selepas perkahwinan yang kalau boleh dipanggil perkahwinan itu, Ramlah melahirkan seorang bayi. Tanggal 1974 direkodkan pada 3 September beberapa hari selepas Malaysia merdeka.

Khabar kelahirannya sampai ke telinga sepasang suami isteri yang tidak berzuriat setelah lama berkahwin. Berdatanglah suami isteri ini untuk mendapatkan bayi ini yang sebelum itu mahu dijual oleh nenek tersebut kepada seorang askar dengan harga RM300.00 Pemerdagangan manusia, bukan kerana terpaksa, tetapi memang disengaja. Disengaja!

Menurut suami isteri itu, sewaktu mereka mendatangi bayi tersebut, anak kecil itu hanya dibaluti kain batik lusuh. Perempuan muda bernama Ramlah itu memang tidak mengeluarkan suara. Di belakang badan bayi tersebut sudah memerah digigit semut. Kata wanita yang mengambil bayi tersebut, emosi Ramlah sukar digambarkan. Pandangan matanya sudah tidak dapat ditafsir. Raut wajahnya menggambar derita sudah tidak menzahirkan apa-apa lagi.

Seminggu selepas itu, mereka mendatangi semula perempuan muda bernama Ramlah dengan hasrat menghadiahkan barang keperluan sebagai tanda terima kasih. Bukan membeli bayi itu tetapi terima kasih kerana sudi menyerahkan anak itu untuk dipelihara mereka.

Tetapi Ramlah sudah tiada. Ramlah sudah tiada. Ibu tirinya yang gembira dengan ketiadannnya hanya menceritakan versi sedih yang direka. Yang direka!


Nota :  Latar adalah kemestian dalam karya. Latar terbahagi kepada dua iaitu latar tempat dan masa. Karya tanpa latar ibarat pelakon berlakon di dalam kotak kosong.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung