1.0
Pengenalan
Bahasa
bertindak sebagai wahana penyatuan.
Apabila manusia memahami bahasa yang dituturkan oleh manusia lain, akan
wujud komunikasi yang akan merapatkan apa juga jurang ketidakfahaman mengenai
sesuatu perkara.
Raminah
Sabran (1993: iii) memperjelaskan bahawa bahasa adalah alat perhubungan yang
penting dalam kehidupan manusia.
Penyampaian kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, pengetahuan,
memperoleh maklumat juga memahami orang lain boleh dilakukan dengan adanya
bahasa.
Bahasa
Melayu sedang menghadapi cabaran dalam pelestariannya. Terutama sekali dalam mendepani cabaran
sebagai sebahagian daripada agenda peneguhan adab dan kesantunan bangsa. Meladeni era globalisasi untuk duduk sama
tinggi dan berdiri sama rendah dengan agenda pembangunan ekonomi, sains dan
teknologi, kerancuan berbahasa menjadi ban yang tidak harus dipandang sebelah
mata.
Kegawatan
penggunaan tatabahasa, peristilahan, kosa kata, ataupun sebutan dalam
penggunaan Bahasa Melayu akan merencatkan usaha pemerkasaaan Bahasa Melayu
sebagai bahasa supranasional yang
dituturkan secara tuntas oleh masyarakat dunia.
2.0 Objektif
Objektif
tugasan ini ialah mengumpulkan sebanyak mana maklumat yang membuktikan
kerancuan Bahasa Melayu oleh murid-murid sekolah disebabkan oleh faktor-faktor
seperti bahasa ibunda, bahasa dialek, bahasa asing, juga beberapa faktor lain yang akan
dibincangkan.
3.0 Kaedah
Tugasan
ini memanfaatkan penggunaan teknologi internet menerusi enjin carian Google
juga dengan bantuan buku-buku rujukan dan majalah daripada perpustakaan. Tidak ketinggalan juga temuramah dan
pemerhatian secara rawak dengan beberapa orang murid di sekolah.
4.0 Batasan
Tugasan
ini memfokuskan kerancuan Bahasa Melayu di kalangan murid-murid sekolah
berasaskan sebab-sebab yang akan dibincangkan terutama kesilapan penyerapan tatabahasa,
sebutan, istilah, kosa kata dan laras bahasa.
5.0 Definisi
Kamus
Dewan Edisi Keempat mendefinisikan rancu bermaksud tidak teratur, bercampur-aduk atau kacau. Kerancuan bahasa membawa maksud keadaan
penggunaan bahasa yang tidak teratur, mencampuradukkan bahasa iaitu bahasa
Melayu dengan bahasa lain.
Prof. Nik Safiah Karim
(1986) memberi istilah yang sinonim iaitu pencemaran bahasa. Pencemaran bahasa adalah pelanggaran
hukum-hukum bahasa yang telah dipersetujui sama ada pada peringkat sebutan,
pilihan kata atau susunan frasa dan ayat.
Pada
pandangan Zaaba pula, kesilapan itu ialah kerana ia menyimpang daripada
penggunaan umum yang biasa dipakai.
Menurut beliau, kesilapan bukanlah pencemaran, tetapi sekadar menyimpang
daripada peraturan-peraturan bahasa.
Bagaimanapun, kerancuan, kecelaruan, pencemaran, kesalahan, penyimpangan
tetap mengarah kepada sesuatu yang luar daripada jalurannya dan menyalahi
ketetapan.
6.0 Faktor-Faktor
Penyumbang Kerancuan Bahasa Melayu di Kalangan Murid-murid Sekolah
6.1
Bahasa Ibunda – (Sebutan/Ejaan)
Abdullah
Hassan (1980:28) menegaskan bahawa penutur bukan Melayu gagal membezakan é
dengan e (schwa) yang membawa kekeliruan
dari segi sebutan. Sebagai contoh sepak
yang membawa maksud tampar dengan sépak yang bermaksud menolak sesuatu
menggunakan kaki dengan kuat.
Mereka
juga didapati agak payah menyebut bunyi sengau lelangit keras seperti ny dan ng dengan tepat. Perhatikan
contoh di bawah:
Bunyi
|
Betul
|
Salah
|
ny
|
La-nyak
|
Lan-nyak, lan-niak, la-yak
|
|
Ke-nyang
|
Ken-nyang, ke-jang, ke-yang
|
|
Ba-nyak
|
Ban-nyak, ban-niak
|
ng
|
Ta-ngan
|
Ta-gan, tan-gan
|
|
Ung-gas
|
u-ngas, un-gas
|
|
Le-ngan
|
Len-gan, leng-gan, lé-ngan
|
Ini
kerana ejaan setiap bunyi mempunyai dua lambang iaitu n dan y dibaca secara dua
bunyi. Tidak mustahil juga kerancuan ini
akan menyebabkan ejaan dan makna perkataan itu berubah seratus peratus.
6.2. Bahasa Ibunda - (Tatabahasa)
Penterjemahan
bahasa ibunda secara terus akan mencaca-merbakan Bahasa Melayu daripada aspek
tatabahasa. Corder (1981) mengungkapkan
kesalahan bahasa berpunca daripada penukaran, pengalihan atau penghilangan
sesuatu bahagian ujaran seperti bunyi, morfem, perkataan dan rangkai kata yang
menyebabkan ayat yang dibentuk mengandungi kesalahan. Di bawah, diperturunkan beberapa contoh terjemahan
langsung:-
Ayat Asal
|
Terjemahan Langsung
Salah
|
Ayat Sebenar
|
Rumba nandri
|
Banyak terima kasih
|
Terima kasih banyak-banyak
|
Hsieh hsieh ni
|
Terima kasih awak
|
Terima kasih
|
Mera nam Joker
|
Saya nama Joker
|
Nama saya Joker
|
Ni chou shenme ming
|
Awak ini apa nama
|
Siapa nama awak?
|
Murid-murid
bukan Melayu cenderung menggunakan ayat-ayat terjemahan langsung sebegini
kerana perkataan-perkataan tersebut menjadi bahasa basahan atau bahasa
pertuturan mereka di rumah.
6.3. Bahasa Dialek/Daerah – (Sebutan/Ejaan/Kosa
Kata/Tatabahasa/Laras Bahasa)
Kamus
Dewan mendefinisikan dialek adalah kelainan bahasa dari segi loghat dan
pelat yang digunakan hanya di tempat
atau daerah tertentu sahaja. Dialek yang
dituturkan boleh menjadi identiti sesuatu lokasi ataupun penempatan selain
daripada faktor geografi. Perhatikan
kerancuan Bahasa Melayu yang berlaku di dalam senikata lagu Apo Kono Eh Jang
yang menjadi siulan setiap peringkat usia, kini, termasuk murid-murid sekolah.
Serangkap
lagu tersebut sudah meliputi keseluruhan aspek kerancuan bahasa Melayu berasaskan
faktor bahasa dialek.
|
Sebutan
|
Ejaan
|
Kosa kata
|
tatabahasa
|
Laras bahasa
|
Apo kono eh jang
|
Apa kena dengan kau
|
Apa kena eh jang
|
Penggunaan kosa kata yang lemah
|
Apakah yang berlaku pada kau/mu
Tiada penggunaan partikel kah,
tiada tanda soal,
|
Tidak dapat diklasifikasikan
|
Kau monong ajo
|
Kau menung aja
|
Kau menung aja
|
|
Kau termenung sahaja, tiada
imbuhan ter, penggunaan bahasa basahan ‘aja’
|
|
Orang ko bulan
|
Orang ke bulan
|
Orang ke bulan
|
|
Orang sudah sampai ke bulan,
tiada kata pemeri sudah dan predikat sampai
|
|
Ekau di mano
|
Engkau di mana
|
Engkau di mana
|
|
Engkau entah ke mana, tiada
predikat entah
|
|
Kebiasaannya, bahasa dialek digunakan untuk memudahkan
komunikasi dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Ia juga dapat mewujudkan suasana mesra di
antara guru dan murid-murid. Terkini,
kekacauan dalam bahasa Melayu disebabkan faktor bahasa dialek tidak lagi
berlaku di lokasi atau tempat-tempat tertentu seperti daerah atau negeri. Ia juga menular ke bandar-bandar besar
berikutan pengaruh media massa menggunakan jarumnya seperti lagu-lagu, filem,
iklan dan juga laman web.
6.4. Bahasa Inggeris – Peristilahan / Sebutan
/Laras Bahasa
Kamal
Shukri Abdullah Sani (2007) mengungkapkan bahawa murid-murid sekolah juga
didedahkan dengan penggunaan bahasa yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Terjadilah tragedi code-switching yang
berlebih-lebihan atau istilah Hassan Ahmad, (1996) bahasa Melayu ‘buruk’ atau
bahasa Melayu ‘main-main’.
Diperbesar-besarkan oleh golongan ibu bapa kelas menengah dan ditiru
oleh mereka. Selain itu, kerancuan juga
berlaku di dalam peristilahan dan laras bahasa perubatan dan sains seperti
contoh di bawah;-
Bajet - belanjawan
Infotaimen
-gabungan perkataan information dan entertainment yang dimelayukan
Kanser -
barah
Strok - angin ahmar
Diabetes -
kencing manis
Maritim -
samudera
Metereologi - kajicuaca
6.5. Media massa (filem/iklan/tv/radio/laman web)
– (Ejaan / Sebutan)
Media
massa berperanan mencacamerbakan lagi bahasa Melayu dengan memperkasakan
penggunaan bahasa rojak dan bahasa slanga.
Tidak ketinggalan juga penggunaan ayat yang tidak menurut laras
tatabahasa. Bahasa rojak boleh didengari jelas dalam iklan-iklan ataupun
produk-produk seni lain seperti filem dan drama. Contoh-contoh berikut boleh ditemui dengan
mudah dan menjadi ikut-ikutan murid-murid di sekolah.
Ini semua poyo!
Apa celop toq...
Jom heboh
Lawak ke Der...
6.6. Majalah , cerpen dan novel – (Sebutan /
Ejaan/ Laras Bahasa)
Mutakhir,
karya-karya picisan turut menyumbang ke arah kebobrokan Bahasa Melayu dengan
berleluasa penggunaan bahasa rojak, bahasa slanga dan bahasa basahan. Malangnya, karya-karya begini mendapat
sambutan hangat kerana dirasakan bahawa bahasa-bahasa yang digunakan ringkas
dan lebih dekat dengan pembaca. Para
pencinta bahasa mungkin menitiskan air mata mendengar tajuk-tajuk novel seperti
Cinta Awek dan Pakwe (2012), Aduhai Mat Skema (2013), dan sebagainya.
Apabila
menyelak isinya pula, anda akan menemui cakapan-cakapan juga ayat-ayat naratif
yang sangat leweh daripada segi laras bahasa juga kosa kata. Kebiasaannya, laras bahasa yang digunakan
adalah laras bahasa rendah yang tidak sesuai dengan konsep sastera hasanah yang
selari dengan pengukuhan Bahasa Melayu standard itu sendiri.
6.7. Teknologi
(sms,twitter, blog) – (Sebutan / Ejaan)
Penggunaan
bahasa baru yang dikenali sebagai bahasa sms adalah kerancuan yang paling
kronik kerana digunakan secara meluas dan selesa oleh pelbagai golongan sama
ada tua ataupun muda. Kini ia
terbawa-bawa pula di dalam komunikasi twitter
dan ada kalanya melarat sehingga ke dalam blog.
Contoh-contoh
bahasa sms yang kadang-kadang langsung tidak dapat difahami ialah:
Aq - aku
P - pergi
Soh - suruh
Kemsalam - kirim salam
6.8. Bahasa pasar/bahasa slanga/bahasa basahan
Bahasa
basahan didefinisikan di dalam kamus dewan sebagai bahasa yang digunakan di
dalam perbualan seharian di dalam situasi tidak rasmi. Bahasa slanga pula ialah bahasa yang tidak
diucapkan ketika perbualan tidak rasmi dan dikategorikan bukan baku.
Bahasa
pasar pula adalah bahasa Melayu yang dituturkan oleh penutur bukan Melayu yang
tidak fasih berbahasa Melayu. Atau ia
juga berlaku apabila dijadikan sarana berkomunikasi oleh penutur Melayu dengan
penutur bukan Melayu menggunakan bahasa yang bercampur aduk. Digaul adun dengan bahasa ibunda penutur
dengan bahasa kedua atau bahasa basahan.
Contoh-contoh bahasa pasar/bahasa basahan/bahasa slanga
Bahasa
pasar
1. Gua/wa - saya
2. Tumpat - tempat
Bahasa
slanga
1. Ayat
tak boleh blah - perkataan yang
menggelikan hati
2. Ada
aku kesah? - aku tidak
peduli
Bahasa basahan
1. Engko - engkau
2. Tak
de mende - tak ada
apa-apa
6.9.
Rabun Tatabahasa
Tambah
merumitkan keadaan terdapat kalangan murid-murid yang bertutur di dalam Bahasa
Melayu di rumah ataupun di sekolah tidak menggunakan hukum tatabahasa dengan
betul. Saya istilahkan sebagai ‘rabun
tatabahasa’ kerana kesalahan itu kurang jelas biarpun murid-murid tahu tentang
kesalahan itu. Pelanggaran hukum tanda bacaan, sebutan, penanda wacana dan
seribu satu rencam yang nampak remeh.
Walau bagaimanapun, jika dibiarkan, lama kelamaan Bahasa Melayu akan
beransur pupus ditenggelami faktor-faktor yang dibincangkan di atas tadi.
Contoh
paling mudah, penggunaan ‘di’ dan ‘ke’ sebagai awalan dan kata sendi. Hj
Muhammed Salehudin Aman (2008)
Fungsi ‘di’ dan ‘ke’ sebagai kata
awalan.
1. ‘di’
– pembentuk kata kerja pasif untuk pelaku ketiga, contoh: diangkat, dibawa,
dicuri
2. ‘ke’
– membentuk kata nama terbitan, contoh : ketua, kerajaan,
3. kata apitan dalam kata kerja pasif, contoh :
kenaikan, keturunan
Fungsi ‘di’ dan ‘ke’ sebagai kata sendi
Digunakan
untuk ayat yang terdiri daripada frasa nama yang menunjukkan tempat dan arah,
seperti di sana, di atas, ke mana, ke selatan
‘ke’ - digunakan dalam frasa nama yang
subjek/objeknya menunjukkan masa contohnya ke saat, ke hari
Jika
ia bertemu dengan angka kata sendi hendaklah dijarakkan dengan tanda sempang
sesudahnya sebagai contoh ke-7, ke-25.
Bagaimanapun jika angka itu angka roman sebagai contoh Sukan SEA V
(Sukan SEA kelima)
Sering
juga menjadi mauduk di kalangan murid-murid sehingga ke golongan pelajar dan
dewasa ialah penggunaan kata ‘bila’ dan apabila.
Bila
ialah kata tanya dan digunakan di dalam ayat tanya di dalam bahasa Melayu,
contohnya;
1. Bilakah
awak akan ke sana?
2. Sampai
bila harus begini?
Apabila
pula ialah kata hubung keterangan yang bertindak sebagai penanda klausa atau pembentuk klausa dalam ayat majmuk
pancangan keterangan. Contohnya;
1.Dia tersenyum apabila melihat
sahabatnya juga tersenyum
2. Apabila tamat berkursus, dia akan
pulang ke kampung sebagai guru bertauliah.
7.0. Itlakan
Sebagai
rumusannya dapatlah disimpulkan bahawa bukti-bukti kerancuan bahasa yang
menjadi racun dalam penggunaan Bahasa Melayu berpaksikan atas faktor-faktor
yang dibincangkan tadi. Semua pihak
baik ibu bapa, guru-guru, penguatkuasa bahasa juga pemerintah harus cakna dan
mempertimbangkan prakarsa untuk mengatasi gelombang faktor-faktor tersebut
sebelum ia menjadi tsunami bahasa yang akhirnya menjadikan nasib Bahasa Melayu
senasib dengan bahasa Chamicurodi di Peru, bahasa Tanema di Kepulauan Solomon
dan bahasa Njerep di Nigeria yang tidak lagi dituturkan.
Langkah-langkah
Yang Diambil Untuk Membantu Murid-murid Menguasai Bahasa Melayu Standard.
Mengambil
kira mauduk berasaskan faktor-faktor kerancuan Bahasa Melayu yang kronik
diperturunkan beberapa langkah yang patut diambil oleh seorang guru Bahasa
Melayu untuk membantu para pelajar menguasai Bahasa Melayu standard.
1. Guru
Bahasa Melayu sendiri sebagai model, haruslah menggunakan Bahasa Melayu
standard pada setiap ketika, dalam apa juga keadaan ketika berada di
sekolah. Tidaklah nanti, disamakan
dengan peribahasa seperti ketam mengajar anak berjalan betul.
Penerangan secara konsisten mengenai
kepentingan menggunakan Bahasa Melayu yang memberikan kesan jangka panjang
kepada murid-murid. Pemupukan berterusan
harus dilakukan dengan memberi dorongan kepada mereka kerana melalui dorongan,
tujuan akan terlihat jelas.
Mereka
hendaklah dijelaskan bahawa, tanpa kelulusan sekurang-kurangnya dengan kepujian
di dalam bahasa Melayu, peluang pekerjaan buat mereka akan mengecil. Sekaligus akan menyempitkan ruang ekonomi dan
menjejaskan kejayaan hidup mereka.
Kebolehan
menguasai Bahasa Melayu standard juga akan menjamin tempat murid-murid di
universiti yang mahu tidak mahu perlu dipatuhi oleh lepasan SPM dan SPTM untuk
menjejakkan kaki ke menara gading.
2. Guru
akan terlibat aktif di dalam menyusun aktiviti-aktiviti yang melibatkan
tugas-tugas penambahbaikan penggunaan Bahasa Melayu di sekolah. Antara kegiatan yang boleh dijalankan dengan
menggunakan Persatuan Bahasa Malaysia sebagai penggeraknya ialah:
Acara-acara
kesusasteraan seperti acara baca cerpen,
pesta pantun mini, debat mini, syarahan, puisi berirama, deklamasi puisi dan
sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini boleh
dilakukan di dalam masa yang singkat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru juga boleh memperkenalkan Sudut
Bicara untuk para murid yang terpilih mempamerkan kreativiti mereka
mempelbagaikan penyaluran maklumat menggunakan Bahasa Melayu standard.
3. Memperkenalkan
satu pasukan pengawas bahasa yang terdiri daripada murid-murid sendiri. Mereka bertindak sebagai penguatkuasa penggunaan
Bahasa Melayu standard di kalangan kawan-kawan sekelas mereka. Setiap daripada mereka akan diberikan sijil
penghargaan khas sebagai testimoni penglibatan mereka, sebagai dorongan.
4. Mengadakan
lawatan sambil belajar ke institusi-institusi yang bertanggungjawab dengan
pemertabatan Bahasa Melayu standard seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, ,
Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Institut Terjemahan Buku
Negara, Perpustakaan Negara dan lain-lain. Murid-murid akan didedahkan dengan pelbagai
ilmu baru oleh para pegawai yang berkenaan tentang usaha-usaha mereka menaikkan
taraf Bahasa Melayu.
5. Dari
aspek ko-kurikulum pula, para guru boleh menganjurkan kem motivasi tatabahasa
di sekolah atau pusat-pusat bina diri yang terpilih. Modul-modul
pengajaran boleh diserap daripada gerak kerja sedia ada. Hanya penambahan daripada aspek penggunaan
bahasa juga aktiviti-aktiviti yang mesti melibatkan bahasa sepenuhnya.
Dengan
itu adalah jelas bahawa usaha memertabatkan penggunaan Bahasa Melayu standard
di sekolah adalah usaha menyeluruh yang dicetuskan oleh seorang guru Bahasa
Melayu tetapi masih memerlukan
penggemblengan tenaga setiap entiti sekolah untuk memastikan kelestarian Bahasa
Melayu terus terpelihara.
BIBLIOGRAFI
Kerancuan Bahasa Melayu(2008, Februari
7) Gibon. Diperolehi Februari 28, 2013
daripada http://www.scribd.com/doc/3784928/Kerancuan-Bahasa-Melayu-
Kerancuan
Bahasa Melayu Baku Pelajar Lundayeh (2012, Jun 10) Cikgu Rozali. Diperolehi Februari 28, 2013
daripada http://cikgu-rozali.blogspot.com/2012/06/kerancuan-bahasa-melayu-baku-pelajar.html
Kerancuan Penggunaan Bahasa dalam Media (Dewan Bahasa, April 2012) Abang
Patdeli Abang Muhi, Diperolehi Februari 28, 2013 daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?p=638
Isu kerancuan bahasa, (2009 Ogos 1) Zin Mahmud. Diperolehi pada Februari 28, 2013 daripada http://abihulwa.blogspot.com/2009/08/isu-kerancuan-bahasa.html
Situasi 29 : Kerancuan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media (2012, April
19) Emilya Jimbun. Diperolehi Februari 28, 2013 daripada http://interpretasijiwapenimbailmu.blogspot.com/2012/04/situasi-29-kerancuan-penggunaan-bahasa.html
10 Bahasa Yang Hampir Punah di Dunia, (2012, Mac 6) diperolehi pada Mac 5,
2013) daripada
bhttp://palingseru.com/8231/10-bahasa-yang-hampir-punah-di-dunia
Aduhai Mat Skema, Levis Delisya, Cinta Awek dan Pakwe, Hasrudi Jawawi
diperolehi pada (Mac 5 2013) daripada http://www.bukuprima.com.my/
Kamal Shukri Abdullah Sani, 2007, Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi, PTS
Professional Publishing Sdn Bhd, Selangor.
Hj Muhammed
Salehudin Aman, 2008, Mari Kita Berbahasa Jilid 1, Citra Kurnia Enterprise
Selangor
Chong Sok
Fong, Dewan Bahasa November 2012, Bahasa
Kebangsaan Bahasa Milik Bersama
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D