Friday, 8 November 2013

Hijrah Ke Arah Kehidupan Kewangan Yang Mengujakan

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan

Laungan ini akan memantak-mantak telinga pada setiap 1 Muharram ataupun pada majlis penganugerahan Tokoh Maal Hijrah pada setiap tahun.  Selepas itu, beberapa hari, kita kembali menjadi diri kita.  Sentiasa tercekik dengan kedudukan kewangan, merasa cemas apabila ada orang meminta sedekah atau penjual, terpandangkan iklan sesuatu yang sangat kita perlukan tetapi keinginan terpaksa disekat.  

Apa kata, hari ini, kita mula mencatat kesemua perbelanjaan kita.  Daripada yang sekecil-kecil anak kita yang paling bongsu sehinggalah kepada sebesar-besar ayahandanya.  Maksudnya, catatkan setiap perbelanjaan dalam sebuah buku, kerana dengan adanya catatan, otak akan lebih mudah bekerja dengan bantuan analisis dan fakta.  

Cuba belek-belek telefon bimbit kita seketika.  Jika terdapat mesej masuk yang bukan-bukan dan mengenakan caj, batalkan servis tersebut.  Lebih baik lagi, jangan benarkan anak-anak bermain-main dengan telefon bimbit anda.  Inilah rungutan yang saya dengar ketika bersama kariah masjid menyiapkan hidangan makan malam untuk majlis ceramah perdana bersama Ustaz Halim Din semalam.  Jika ia masih lagi kedapatan, hubungi pihak penyedia talian seperti Maxis, Digi, Celcom dan sebagainya.  Adukan kepada mereka dan minta mereka selesaikan. 

Jika kenderaan anda merupakan teksi pelbagai guna ~ menghantar mengambil anak ke sekolah ke kelas tuisyen, ke perpustakaan, berlibur, balik kampung, melancong, mengangkut saudara-mara ada baiknya anda menukar kepada gas NGV sebagai alternatif mengekang pengaliran tunai yang tenat akibat kenaikan harga minyak. 

Libatkan anak-anak dalam majlis tahkim kewangan keluarga.  Terangkan kepada mereka tentang kedudukan kewangan dan minta mereka berjimat daripada segi penggunaan elektrik, air.

Ubah tabiat berbelanja mewah seperti melancong ke luar negara, makan malam di hotel mahal-mahal setiap bulan untuk meraikan apa sahaja sambutan istimewa di dalam keluarga, berhenti ke pasar malam pada SETIAP malam dan mulai memasak untuk anak-anak dan suami.

Jika anda suka membaca dan membeli buku ada baiknya dihadkan kepada bacaan yang benar-benar bermutu dan perlu.  Jika tidak, dapatkan maklumat kedai-kedai yang menjual buku terpakai atau menjadi ahli di perpustakaan untuk meminjam buku dengan mudah.  

Ada baiknya anda memulakan bisnes kecil-kecilan bertepatan dengan minat dan kehendak anda.  Tidak perlu bisnes besar-besaran, kertas kerja setebal kamus untuk mendapatkan pinjaman bank.  Cukup sekadar bisnes dari rumah yang hanya memerlukan modal yang minima.

Ajar anak-anak untuk menjaga alatulis mereka dengan baik.  Kadang-kadang, kos membeli alat tulis mereka dalam masa setahun pembelajaran melebihi perbelanjaan sebulan belanja dapur.  

Didik diri dan keluarga untuk berlapang dada untuk bersedekah.  Tidak perlu tunggu kaya untuk bersedekah.  Lakukan dengan lapang hati kerana ganjaran bersedekah selain pahala telah dijanjikan Allah.  Jika mampu dengan RM1, sedekahlah dengan nilai itu.  Jangan lupa, ajar juga anak-anak 'memberi sedekah' supaya ia menjadi tabiat dan mereka tidak takut untuk berinfak apabila dewasa kelak. 

Kesimpulannya, ada pelbagai pilihan untuk berjimat sesuai dengan kedudukan kewangan dan latar ekonomi kita.  Terpulang kepada diri kita sendiri sama ada untuk memulakan hijrah itu sekarang, atau menunggu setahun demi setahun lagi. 

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung