Saturday, 9 November 2013

Duit Bolos

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Ada banyak definisi bagi pengertian di atas.  Saya bawakan satu cerita.  Awal tahun ini, saya, suami dan omak menyertai satu gotong royong di tanah perkuburan yang turut menyemadikan almarhum Munira Zahra, anakanda saya.  Sebelum itu, suami telah mengeluarkan duit dan tunai tersebut disimpan di dalam beg pinggangnya.

Kebiasaannya, lelaki ini tidak pernah meninggalkan beg pinggangnya, apatah lagi diletak di bawah kerusi di dalam kereta.  Yang biasa berbuat begitu ialah saya dan segala kemungkinan dibebelkan di telinga sebagai ingatan tentang sikap saya itu.

Ketika kami sibuk merumput dan membersihkan kubur almarhum adik omak, anak saya memberitahu yang kereta kami sudah dipecah di tempat duduk penumpang depan dan beg pinggang suami telah dilarikan.  Menurut anak saya, dia percaya ia dilakukan oleh pemandu teksi kerana dia melihat sebuah teksi mampir dengan keadaan pemandunya agak mencurigakan.  

Segala dokumen lain turut hilang bersama tunai tersebut.  Waima tidak mencecah ribuan, ada pelbagai keperluan perlu dilunaskan dengan wang itu.  Seorang sahabat yang turut sama di dalam gotong royong itu memberitahu, ini antara gejala wang bolos.

Ia tidak lekat di tangan oleh sebab musabab yang tidak dijangka.  Sebagai contoh cerita di atas.  Atas juga senario lain yang menyebabkan wang bolos seperti berbelanja tanpa membawa senarai sehinggakan kita menjadi keliru di antara keperluan dengan kemahuan.  

Nafsu perlu dididik dan akal perlu dipandu dengan ingatan bahawa duit yang ada di dalam tangan anda sekarang hanya untuk membeli barang A sahaja dan jika tangan anda membelek dan memegang barang B, ingatkan diri cepat-cepat.  Ia boleh dibeli tetapi BUKAN SEKARANG.

Menyelenggara kewangan sebenarnya tidak sahaja berasaskan analisis semata-mata.  Bagi saya menguruskan kewangan memerlukan kekuatan hati dan iman untuk istiqamah ketika berbelanja dan sentiasa beringat dan mengingat Allah kerana segalanya di dalam kawalan-Nya belaka. 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung