Saturday 30 November 2013

Baca Cerpen Dr Othman Puteh

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Siang tadi, tepat jam 12.00 tengahari, berakhir acara Baca Cerpen Dr Othman Puteh di tingkat 31 Menara DBP.  Acara ini seperti biasa dianjurkan oleh kumpulan Sasterawan Kayvan di bawah pimpinan sdr Uthaya Sankar SB.   Acara dirasmikan oleh Tuan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dato' Abang Sallehuddin.

Almarhum Dr Othman Puteh bukan nama asing lebih-lebih lagi dalam kelompok alumni Minggu Penulis Remaja.  Beliau adalah pembimbing saya ketika menjadi peserta MPR 1991.  Dengan izin Allah, peluang menimba ilmu dengan beliau, juga pembimbing lain seperti Tuan Rahman Shaari, Tuan Abdul Ahmad dan ramai lagi, karya saya mendapat tempat di antara lima yang terbaik di dalam Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1991, 1992 dan 1993.

Seperti yang saya beritahu di acara tadi, pertemuan terakhir saya dengan allahyarham adalah ketika berlangsungnya bengkel penulisan novel kanak-kanak di Kota Bharu pada pertengahan Ogos 1997.  Pada hujung bulan tersebut, saya naik pelamin.  sebab tu saya ingat sangat!

Ilmu yang ditinggalkan almarhum bukan kepalang nilainya.  Lebih-lebih lagi, acara ini berlangsung sehari selepas berita baik tentang novel terkini saya Kabus Rindu diperkenalkan kepada umum.  Ironinya, kini saya menyambung tugas almarhum dengan cara saya sendiri, menjadi guru kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif dan berusaha membantu para penulis yang ingin berkarya dengan niat memartabatkan bahasa Melayu.

Pada acara itu tadi saya menyampaikan cerpen Tua daripada antologi beliau Matra, Tasik dan Laut.  Entah kenapa, sehingga entri ini ditulis, hati terus larut dibawa rasa hiba yang mengocak sebaik membaca dua muka awal cerpen tersebut.  entahlah, mungkin naratifnya sudah menyucuk tangkai hati menyerapkan maknanya sealur dengan aliran darah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung