Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi
Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.
Ini kali pertama saya membaca mana-mana karya terbitan Fixi. Mungkin juga saya ada pandangan yang sedikit skeptikal terhadap penerbitan ini. Namun apabila melihat novel Hilang berada di rak buku Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor cawangan Pekan Seri Manja, ringan tangan saya mencapainya dengan pandangan, ia tidak akan berada di rak perpustakaan jika isinya tidak memberi manfaat kepada masyarakat.
Penerbit ini menjunjung prinsip penulisan tersendiri, sudah diterangkan di helaian awal, maka kemahuan untuk membaca novel-novel terbitan mereka adalah pilihan pembaca sendiri. Saya membaca 'blurb' sebelum mula menyelak helaian awal novel ini. Tiada sebarang ekspetasi saya letakkan memandangkan kali terakhir saya membaca novel bergenre suspen adalah Magis karya RAM yang 'berbeza' sedikit alirannya.
Novel yang terbit pada 2012 ini mula menunjukkan belang pada awal-awal bab lagi. Berpandukan 'blurb' ada plot yang sudah boleh dijangka tetapi digarap dengan menarik oleh penulis. Perkaitan watak, estetika latar dan jalinan cerita, plot yang menggunakan teknik 'flash back' dan 'flash forward' tidak sedikit pun menjejaskan tumpuan penceritaan kepada subjek utama. Penulis menggunakan latar 1Malaysia dengan watak-watak majmuk yang rencam dan membawa pemikiran masing-masing.
Tidak keterlaluan saya katakan, novel 'Hilang' ini membawa gambaran realiti tentang Malaysia. Watak-wataknya adalah manusia biasa yang biasa kita temui dalam kehidupan seharian dan dalam diri kita juga. Tidak terkecuali juga naratif-naratif sinikal yang digarap secara santai namun membawa maksud tersendiri.
Ini bukan novel komedi, jauh sekali romantik. Namun penulis menyuntik elemen tersebut secara abstrak dan tidak terkesankan melalui dialog-dialog Jo dan monolog Shaziman juga Kay. Meskipun saya tidak menyarankan anak-anak remaja (walaupun saya tahu ramai remaja sudah membacanya - sila ambil sempadan pada setiap unsur negatif yang dipaparkan) 'Hilang' memaparkan sisi positif seorang anak yang sanggup berkorban untuk emak dan kakaknya. Tiada naratif yang mencatatkan watak Khairani merungut atau melawan emaknya pada ketika dia diminta memberikan duit untuk mengubat kakaknya, berkali-kali.
Satu paparan yang mengatakan novel Hilang ini sangat 'melayu dan dekat pada masyarakat' ialah nama-nama watak yang dimudahkan. Watak antagonis misalnya, hanya diberikan nama Jusoh yang mungkin kedengaran sangat 'kampung' namun sangat kejam sehingga sanggup mencacatkan pengikut setianya hanya semata-mata untuk memastikan rahsianya tidak terbongkar.
Saya terikat dengan plot sehingga akhir kerana penulis berjaya menghijab antagonis sebenar dengan baik sehinggalah ke bab-bab akhir. Namun, terdapat seperenggan naratif yang saya rasakan longgar sehingga saya membacanya berkali-kali. Bagi pencinta bahasa, tiada apa yang dapat anda harapkan daripada novel ini kerana penulis tidak meletakkan estetika tatabahasa Melayu di dalam novel ini. Namun, bagi penggemar novel suspen tempatan, 'Hilang' dapat mengisi kehilangan yang ditinggalkan oleh penulis-penulis novel suspen atau bercorak penyiasatan sebelum ini.
Jika ia ingin dialihkan ke layar perak, saya mengharapkan tiada sebarang perubahan pada plot dan skrip, kerana penulis sudah mencukupkan rencah di dalam karya ini. Tiada teknik CGI yang mahal diperlukan kerana latar masyarakat sedia ada sudah mencukupi.
Dimulakan pada sebelum Maghrib dan berakhir pada 10.44 malam , 5/8/2014
Wednesday, 6 August 2014
Tuesday, 5 August 2014
Syawal Itu Kemenangan
![]() |
| Add caption |
Gambar : Tak ada gambar raya yang diambil di rumah.
Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.
Hampir seminggu sudah Syawal berlalu. Puasa 6 sudah dilunaskan? Saya belum lagi. Masih rindukan Ramadan sebenarnya. Masih terkenang-kenang saat-saat manis berada di dalam zon makbul doa. Masih terngiang-ngiang rintih tangis dan rayuan sukma pada Dia yang satu. Masih teringat-ingat indahnya sillaturrahim yang terjalin sesama rakan maya, biarpun ada separuhnya tidak pernah bertemu muka.
Ramadan yang berakhir disambung dengan dugaan balik kampung yang menghadapi kesesakan tahap mega. Maka, dengan bantuan rakan-rakan maya, kami membelok masuk ke jalan Gombak-Bentong lama. Wah, segarnya udara hutan dan curam dan dalamnya jurang, semuanya mendebarkan. Tak sangka, masih terpelihara kesucian hutan yang memeluk kami di sepanjang perjalanan.
Persediaan hari raya di rumah mak, serba sederhana. Tiada lemang (ayah memang tak pernah buat lemang sejak dulu) Rumah mak tak boleh dikemas lebih-lebih, nanti dia bising. Cari tu tak jumpa. Cari ni tak jumpa. Jadi, kami biarkan aje dengan rupa asalnya.
Menjelang Aidil Fitri, ayah yang buat rendang. Mak tak benarkan saya buat sebab katanya saya buat tak sedap. Saya dan encik suami menyibukkan diri di pekan sehari Temerloh, menyertai hamba-hamba Allah pelbagai ragam dan rupa dalam keghairahan menyambut raya. Untuk memberi rasa gembira untuk anak-anak, dibelikanlah mercun pop ke apa ke (saya pun tak tahu).
Malam menjelang Aidil Fitri, sedaya upaya saya melakukan ibadat setakat yang terdaya. Esok, kena bangun pagi-pagi, kena sediakan juadah sebelum menunaikan solat sunat Aidil Fitri. Meraikan sunnah, kan pahala tu.
Pagi 1 Syawal, anak-anak menunjukkan wajah ceria, biarpun tiada seorang pun yang berbaju raya baru tahun ni. Alhamdulillah, mereka reda walaupun saya tahu di dalam hati mereka, ada sesuatu yang pedih tersimpan. Along, kami tinggalkan di rumah buat menemankan wannya. Yang lain, diangkut ke masjid untuk bersolat sunat.
Selepas anak-anak membesar, inilah kali pertama saya berpeluang bersolat sunat Aidil Fitri di masjid yang penuh nostalgia di kampung itu. Usai tahlil di masjid, kami bersiap pula untuk bergerak menuju ke Felda Sg Retang, Jerantut. Rumah siapa? Nanti saya sambung ya.
Eh...masih ada yang perlukan stok serunding atau nasi arab untuk jamuan rumah terbuka. Hubungi saya ya.
Thursday, 24 July 2014
Cadangan Waktu Perjalanan LLM
Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google
Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.
Perang dunia ketiga dah nak mula! Hah? Ini bukan pasal perang di Gaza, krisis di Sabah, krisis Rohingya, Syria (semoga Allah mengampuni mereka dan kita, semoga mereka beroleh pahala syuhada, semoga kita beroleh pahala mendoakan mereka)
Ni pasal nak balik raya. Bagi pasangan baru berkahwin, kalau suami berkeras nak tengok muka emak dia, walaupun emaknya tinggal di sebelah rumah, kalau intai pun boleh nampak, banyak-banyaklah bersabar. Jangan ikut hati, Ramadan ni selain menduga kesabaran menahan lapar dan dahaga, ia juga menduga banyak perkara lain. Kadang-kadang pasal sampah, pasal kerusi, pasal kuali, pasal beg, pasal giliran balik raya lagilah banyak.
Bagi pasangan yang sudah lama berkahwin, sudah kering air mata memohon giliran bersalaman di Aidil Fitri pertama dengan mak dan abah sendiri, saya pohon anda banyak-banyaklah berdoa. Kan, Ramadan masih ada. Hey, Ramadan belum pergilah! Masih ada masa untuk Qiamullail, masih ada masa untuk solat hajat, mohon lembutkan hati si dia, masih ada masa untuk tahajud dan menadah tangan. Minta, dan minta. Anda tahu betapa hebatnya Ramadan itu? tahu kan? Maka, apa lagi. Teruskan berdoa. Itu kan senjata kita...
Bukan nak cerita apa pun, nak lampirkan jadual perjalanan aja. Kalau tengok, jadual ni tak melibatkan perjalanan ke pantai timur. Namun begitu, di Tol Gombak dan Karak tu memang pesta sepanjang Aidil Fitri ni.
Bagaimanapun, bagi yang memulakan perjalanan hari ni, ada baiknya mulakan dengan solat sunat dua rakaat dengan niat sunat musafir. Perbanyakkan doa, bertawakkal dan isikan perjalanan dengan zikir. Penat lidah berzikir, bukalah CD yang berkenaan. Doa musafir itu mustajab tau.
Ramadan Kareem. Wallah hu alam.

Subscribe to:
Posts (Atom)