Monday, 28 April 2014

Kabus Rindu Bukan Cerita Hantu, Cik Bedah!

Please, don't judge her by it's cover....
Teks: Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi.

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Nak menangis mak...bila ada respon kata Kabus Rindu ni cerita hantu, bila diamati daripada kaver. Itu belum lagi yang kata novel ni novel jiwang. Saya perturunkan sedikit sedutan bab-bab dalam Kabus Rindu dan anda nilai sendiri ya.



1


“YAYA…!”

Tempikan kali kedua yang mengegar seluruh maya membangunkan Zaweeya keseluruhannya.  Tiada terpisat-pisat.  Tiada terpinga-pinga.  Bangun dan duduk di atas katil.  Bugar mata dan segar senyumnya menunggu kehadiran si penempik.  Biarpun rambutnya tidak ubah seperti lepas dikucai kucing.  Dalam kiraan tiga, mamanya yang disayanginya itu muncul di muka pintu.  Wajahnya manis biarpun sebentar tadi tempikan naga dari susur galur naga Tasik Bera menggegar seluruh isi rumah dua tingkat itu.

“Yaya tak nak pergi sekolahkah?  Sekarang dah pukul berapa?”  Hidayati bertanya lirih, selembut bayu pagi.

“Hari ni hari minggu.  Nanti bila kita pindah ke Kelantan, baru mama kejut ya,”  ujar Zaweeya tersengih-sengih. 

Mamanya tidak menjawab dan terus sahaja keluar dari bilik.  Tidak lama kemudian, dia masuk semula.  Kalendar ehsan bank yang diterimanya awal tahun lalu dicampakkan di atas katil.  Zaweeya mengelak lagak pesilat yang kehilangan bunga.  Hampir mahu melatah.

“Memang hari minggu.  Tapi tiga hari yang lepas.” 

Telunjuk Hidayati lurus ke arah tarikh hari ini.  Zaweeya tahu fiil mamanya.  Selagi dia tidak berganjak dari katil bujang itu, selagi itu mamanya akan bercekak pinggang di situ.  Malas-malas, dia bangun juga.  Kenapalah setiap hari perlu ke sekolah.  Kenapa tidak diselang sehari sekalikah.  Sebulan sekalikah.  Lebih baik lagi setahun sekali! 

Sebaik sahaja dia keluar dari bilik air, sangkanya tentulah wanita itu sudahpun turun ke bawah.  Menyanyi-nyanyi menyiapkan sarapan pagi.  Mamanya memang suka menyanyi di dapur.  Sebab itulah dapat suami tua.  Empat tahun lebih tua.  Papanya sahaja yang tidak suka mama menyanyi di dapur.  Kerana menurutnya, dia tidak dapat membezakan sama ada mama menyanyi atau menangis.

Tetapi, rupa-rupanya mamanya masih lagi tegak bak patung cendana berhampiran katilnya.  Mama bersandar di dinding berwarna biru muda yang tidak pernah ditukar catnya semenjak mereka berpindah masuk ke rumah itu.

“Apa lagi, mama?”  Rengek Zaweeya.

“Mama paling pantang kalau orang bangun dari tidur terus buat kerja lain.  Tempat tidur tu kemas dulu.  Selimut tu lipat elok-elok.  Bantal tu letakkan di tempatnya.  Kau tu perempuan.  Nanti dah…”

Hidayati menjeling sebuah lagi katil bujang yang dipisahkan dengan katil Zaweeya oleh meja belajar berwarna coklat.  Katil itu sudahpun dikemaskan.  Zakeeya bangun awal pagi kerana lokasi sekolah rendah agak jauh dari taman perumahan mereka, maka dia ke sekolah dihantar papanya.

Dahulu, Zakeeya dan Zaweeya tidur berkongsi katil.  Tetapi Zakeeya selalu merungut, saban pagi kaki Zaweeya akan mendarat di atas mukanya setiap kali dia tersedar dari tidur.  Untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk, Hidayati  meminta papa mereka  mengasingkan kedua-dua mereka.


Mak-mak, boleh beli untuk anak-anak, terutama untuk anak remaja.
Mak-mak yang rindukan kawan-kawan lama atau nak menyelami rasa jatuh cinta pada umur 40-an, boleh juga baca.
Cikgu-cikgu, Kabus Rindu boleh digunakan di dalam kelas untuk P&P Bahasa Melayu.
 
Dapatkan Kabus Rindu di sini sepanjang Pesta Buku berlangsung
 

Sunday, 27 April 2014

PBAKL 2014 : Hari Raya Dalam Erti Sebenarnya

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Kalau dah nama pun hari raya kan, sudah tentunya tidak boleh lari daripada perkataan sillaturrahmi. Hari ini, saya bertugas di booth Online Book Seller di Bilik Mawar (M30).
Klon Norhayati Samadi


Seawal jam sembilan pagi, saya sudah menerima panggilan telefon daripada seseorang mengkhabarkan ketibaannya di PWTC. Ya Allah, paginya! kata saya. Tapi, macam mana pulak, dah tentunya dia datang dengan rombongan bas sekolah, lain kalau dia yang jadi drebar bas tu kan...sukalah dia nak datang jam berapa pun.
Klon Norhayati Samadi dan Klon Monalita Mansor, diletakkan sebelah menyebelah.

Jam 10, barulah saya, suami, Affan dan Ummi bergerak (kalau bertolak...mintak ampun...tak tiba) perjalanan, biarpun agak lancar mengambil masa sejam juga. Seperti semalam, suami mengambil langkah selamat dengan memarkir nun jauh berhampiran simpang masuk ke Sek Seri Puteri. Yang tak selamatnya ialah saya dan anak-anak yang terpaksa sekali lagi menyertai kejohanan menghenjut sedunia....aduh mak! Alhamdulillah juga PBAKL hanya setahun sekali. Kalau tiap-tiap hari?
Kak Maria menandatangani Erti Cinta

Sebaik tiba, walaupun sudah panik juga mencari lokasi, saya bertemu dengan seraut wajah. Orangnya kecil molek dan dia menegur saya terlebih dahulu. Eh! siapa agaknya...Cik Puan Maria Kajiwa, sifu dan idola saya. Sesi ramah mesra beliau sudah bermula seawal jam 11.00 pagi. Sambil berbual-bual, saya keluarkan Novel Erti Cinta, untuk ditandatangan Kak Maria. Perasaan teruja tak terkatakan sampai lupa nak bergambar berdua.

Sambil duduk-duduk sempat juga sifu berpengalaman ini menurunkan ilmunya. Dah, nama pun sifu kan. Beliau langsung tidak lokek berkongsi ilmu, sedikit pun. Bersyukurnya saya menemui wanita rendah diri ini. 

Kemudian, muncul sesusuk tubuh mirip seorang yang sangat saya kenali. Allah hu akbar, saya bagai melihat klon seorang sahabat bernama Norhayati Samadi.Zulaikha Shahrudin atau nama manjanya Azue menghampiri saya, dengan santun menyalami saya ditemani gurunya. Tanpa sedar, saya memeluknya, saya rindukan Yatt sebenarnya. Karektor anak gadis ini memang saling tak tumpah ibunya.

Booth yang kecil ini mulai dipadati dengan peminat-peminat kak Maria Kajiwa sebaik sesi beliau berakhir. Tidak lama kemudian, seorang wanita mendatangi saya, menghulur tangan. Dia memperkenalkan diri sebagai Mariannah, salah seorang ahli Grup Mari Menulis di facebook yang gigih menulis. Kabus Rindu siap ditanda tangani untuknya. Kemudian booth terus kecoh dengan kehadiran pelajar kelas asas blog saya, Nur Dila, Nur Hidah dan kedatangan kak Imaniah, admin guru Geng Hantu Novel.

Sebab itu saya namakan PBAKL membawa erti hari raya sebenarnya. Tidak ketinggalan juga kehadiran Ainin Naufal dan Cik Noraz Ikaz yang dipaksa menandatangani novel masing-masing. Hari terus berlangsung menyeronokkan, disambung pula ke Restoran Mee Tarik di Jalan Dang Wangi. Fuhh! masya-Allah. Sambil mengumpatkan novel masing-masing, Nur Dila yang ditemani anak gadisnya (saya menemuni Yaya - karektor dalam Kabus Rindu) pada dirinya. Manakala Nur Hidah ditemani anak saudaranya.

Memang tak ingat dunia. Hujan yang renyai jadi berhenti, tapi kami masih belum mahu berhenti....

Bersambung catatan pada 3 Mei 2014 pula ya...insya-Allah.

Nota : Plot yang mengikut kronologi adalah latihan yang paling mudah untuk pemula dalam bidang penulisan.

Saturday, 26 April 2014

PBAKL 2014 - Hari Berjalan Kaki Sedunia

Alamat booth sudah bertukar ke M37 bukan MH307 ya
Teks : Monalita Mansor
Gambar: Koleksi Peribadi dan Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung dari 24 April sehingga 4 Mei 2014 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur tidak dinafikan merupakan hari kebesaran bagi para pencinta buku. Selain hari raya buku, sepanjang dua minggu ini adalah hari menyeksakan bagi warga yang akan sentiasa tersekat di dalam kesesakan, juga ditambah hari berjalan kaki sedunia.

Pesta Buku 2014 adalah sejarah baru bagi saya. Selama bertahun, tanpa alpa (kecuali 2012) saya mendatangi dewan serba gah itu sebagai pengunjung. Namun hari ini, 26/4/2014 saya hadir sebagai seorang penulis untuk mengisi slot sesi ramah mesra bersama penulis dipayungi Fumi Edar. Bohonglah kalau dikatakan saya tidak gementar.

Sepanjang perjalanan menuju ke PWTC, saya membisu sehingga ditegur suami. Saya nyatakan kerisauan saya seperti biasa,"ada ke orang nak ambil tanda tangan saya?" "ada ke orang kenal saya?" lantas dia ketawa.

"Lapangkan fikiran. Bukan kerja awak nak fikir tu semua. Kalau tak ada, tak apalah, kita datang suka-suka...kenapa nak stres?"

Hujan merintik kemudian merimbunkan air matanya ketika kenderaan kami diparkir berhampiran simpang masuk ke Sek Seri Puteri. Aduhai, trafik memang melekat bagai digam, berjalan kakilah jawabnya. Hujan terus membasahi biarpun tidak sehingga melencunkan tubuh. Diam-diam, doa saya panjatkan, semoga seagalanya dipermudahkan.

Sesampai di sana, Najwa Abd Rahman penulis "Dia Imanku" belum usai tugasannya. Terserempak pula dengan AC Jaffry atau Ayahanda Chik, penulis "Salju Rindu". Booth ini walaupun terletak di lokasi yang kurang strategik (tingkat empat berkongsi dengan kategori buku antarabangsa) tetap kencang dikunjungi dan petugasnya juga tidak menang tangan.
Bersama Najwa Ulfah Abd Rahman

Kabus Rindu, akhirnya berpindah ke tangan dua orang pembeli. Syukur alhamdulillah. Ditambah berita gembira lagi, booth Fumi Edar akan berpindah ke Dewan Mawar pada keesokan hari 27/4/2014 berdekatan dengan booth Kaki Novel.

Andai berkelapangan, jemput menyertai saya pada jam 12.00 tengah hari, esok.
Dapatkan Kabus Rindu beserta tanda tangan penulisnya sekali...


Nota : Pengimbuhan Membentuk Kata Terbitan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung