Sunday, 4 September 2016

Sepotong Tembikai

Ketika wanita lain fokus untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, emak membuat keputusan sebaliknya. Ketika baru berpindah ke tempat baru, emak bekerja di Mentakab Veneer % Plywood. Nama kampungnya -kilang plywood.

Ketika itu, MVP masih menggunakan tenaga tempatan sepenuhnya. Di seberang jalan berdepan dengan kilang tersebut berceracak umpama cendawan tumbuh rumah-rumah setinggan sehingga ke kilang sawmill. Di tepi jalan pula kedapatan kedai runcit kepunyaan Pak Cik Mad Shah.

Emak bekerja syif. Jujur, banyak masa saya dihabiskan bersama ayah. Ayah bawa saya bersama-sama ketika bekerja di kem. Saya kenal kebanyakan kawan-kawan ayah. Saya tahu aktiviti senggang mereka ketika itu.

Cuma saya ingat satu perkara. Kalau emak bekerja syif petang (balik sebelah malam) mak akan bawa balik sepotong tembikai yang sejuk, di dalam plastik. Berbeza dengan tembikai sekarang yang dipotong kecil-kecil.

Walaupun di tengah malam, saya akan bangun atau dikejutkan ayah atau emak. Dan saya akan makan tembikai itu sehingga air dan kulitnya mencecah pipi.

Saya rindu emak. Saya rindu ayah.
Semoga Allah mengasihani mereka sebagaimana mereka mengasihani saya semasa kecil.

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung